Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Sabtu, 16 Julai 2011

Catatan 907...liku liku perjuangan..


Hari ini genap seminggu selepas BERSIH 907. Kenangan turun bersama rakyat Malaysia yang kedua selepas PPSMI. Dengan liputan meluas media massa tentang keganasan yang mungkin berlaku semasa Himpunan Bersih sedikit merisaukan saya. Beberapa kali suami bertanya betulkah hendak turun bersamanya dan saya menjawab ya, sekalipun sebenarnya hati bersulam bimbang. Kebimbangan pertama, saya risau kalau kalau sakit sendi yang saya hadapi menyerang pada hari itu. Kedua saya risau kerana saya akan membawa bersama anak kami Sumaiyah yang berusia 7 tahun.

Saya masih ingat sewaktu PPSMI dulu. Sumaiyah dan kakaknya saya bawa bersama. Teruk dia terkena gas pemedih mata. Dia betul betul marah sehingga dia memanggil FRU dengan nama Yahudi.

Jumaat, sehari sebelum 907, kami turun ke Bandaraya Kuala Lumpur. Jalan masih seperti biasa hanya road block di 3 tempat itupun polis sekadar memandang tanpa memeriksa apa apa. Kami tidak menempah mana mana hotel untuk menginap. Kami cuma memilih untuk menumpang di pejabat Agung PAS itupun kerana suami mempunyai 2 program pada malam itu.

Sabtu, jam 3.30 saya sudah bangun kerana dikhabarkan jam 4.00 pagi solat hajat akan diadakan. Jam 8.00 kami keluar dari pejabat agung. Hajat kami untuk bersarapan sebelum memulakan perjalanan ke Masjid kg Baru.

Suasana yang berbeza dari sebelumnya. Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur tiba tiba lenggang. Menyusuri jalan ke Chow Kit, saya terasa kesunyian yang menyeramkan. Anggota polis di sana sini.

Dari jauh terlihat orang awam yang berjalan berdua atau bertiga. Rasanya lebih ramai anggota polis dari orang awam. Kedai kedai tertutup rapat. Sempat bertanya penjual surat khabar di tepi jalan, kenapa semua kedai ditutup. Sepatah jawabnya...takut! Ketakutan yang diciptakan media.

Kami meneruskan perjalanan mencari kalau kalau ada kedai yang dibuka.. Sampai di jalan Chow Kit barulah nampak ada orang awam yang sedikit ramai. Suami mencuit saya..SB! Barulah saya perasan rupanya agak ramai SB yang berkeliaran di situ lelaki dan wanita..

Kami bertemu dengan seorang sahabat. Dengannya kami menuju ke warung di belakang hotel Grace Villa. Di situ kami bertemu dengan ramai kenalan suami. Malah bertemu dengan kak Ani sekeluarga (kakak suami) dan abang saya abang Din. Kemudian suami memaklumkan pejabat agung sudah di kepung. Saya menelefon adik adik Nisa' yang bermalam bersama saya di pejabat agung. Mereka mengesahkan dan mereka tidak dibenarkan keluar dari pejabat agung. Terperangkap di situ.

Kami mula bergerak bersama sama..saya,suami dan anak kecil Sumaiyah, kak Ani sekeluarga dan abang Din..bergerak dalam kumpulan yang agak ramai 12 orang. Hajat awal untuk ke masjid kg Baru tapi kemudian dimaklumkan masjid telah dikepung polis kemudian kami mengubah haluan untuk ke Pudu. namun rupanya walaupun jalannya lenggang dari kenderaan tapi tidak lenggang dari polis dan SB.

Saat itu kami dimaklumkan ramai yang sudah ditangkap. Di hujung jalan Trak polis sudah kelihatan. Polis semakin ramai. Saya agak risau. Kerisauan kerana Sumaiyah yang masih kecil ada bersama. Kerisauan andainya kami tidak berjaya berhimpun di tempat yang telah ditentukan. Kami meneruskan perjalanan sehingga berselisih dengan seorang pakcik yang memaklumkan di hujung jalan ramai muslimat telah ditangkap. Kereta polis yang perlahan lahan melintasi kami menyebabkan kami memilih untuk masuk ke sebuah kedai pakaian. Dari cermin sisinya, jelas polis tersebut sedang memerhati kami.

Bila dirasakan selamat,kami keluar untuk meneruskan perjalanan. Kemudian kami berselisih lagi dengan seseorang yang menasihatkan agar tidak berjalan dalam kumpulan yang ramai kerana polis telah mula membuat tangkapan. Dari jauh sudah mula kedengaran jeritan polis.

Kami berbincang. Kami perlu berpecah. Kak Ani memilih untuk kembali ke hotel memandangkan anak perempuan bongsunya demam dan menawarkan agar Sumaiyah mengikutnya ke hotel. Alhamdulillah terasa hilang kerisauan saya. Akhir saya,suami,abang Din dan Anis anak kak Ani yang juga merupakan aktivis muslimat Johor akan meneruskan perjuangan kami.

Kami menyusuri jalan yang saya sendiri tak tahu kerana sesungguhnya saya memang 'buta' dengan jalan jalan di KL. Kami melintasi anggota peronda polis wanita yang berpusing melihat saya dan Anis. Sehingga di satu sudut kami terpaksa berhenti kerana polis mula membuat sekatan dan teriakan semakin kuat. Kami cuba hampiri sedekat mungkin namun tiba tiba mereka mengejar.. Bunyi derapan kaki anggota keselamatan yang sepatutnya menjaga rakyat menyebabkan kami dan peserta BERSIH yang lain berundur. Kami bergegas ke sebuah restoren yang rasanya hampir keseluruhan pelanggannya adalah peserta BERSIH.

Kami menunggu di dalam, polis pula menunggu di luar. Tiba tiba terdengar bunyi teriakan polis dan derapan kaki yang mengejar. Rupanya ramai lagi peserta BERSIH di laluan kami tadi. Kami mengambil kesempatan untuk keluar dan cuba meneruskan perjalanan namun ternyata ada sebahagian lagi anggota polis menunggu di tempat yg sama. Tidak ada jalan tikus yang boleh kami mencelah kerana deretan kedai menyebabkan kami terpaksa menunggu.

Sehingga tengahari. Polis yang berkawal mungkin penat dan berehat sambil makan. Kami mengambil kesempatan untuk cuba melepasi mereka. Pada anggapan kami,mungkin kami akan terlepas kerana mereka sedang makan tengahari. Melepasi beberapa polis yang berunifom dan mereka hanya sekadar melihat kami namun merapati kumpulan polis yang sedang duduk tiba tiba polis yang tidak berunifom bangun mengejar dengan cota sambil berteriak. Kemudian rakan rakannya yang lain turut bangun. Kami terpaksa tergesa gesa berundur. Suami mengisyaratkan agar masuk ke jalan lain sedang yang lain berundur ke jalan tadi.

Kami berhenti di bangku batu bawah pokok bersebelahan tandas awam. Di situ ada SB yang sedang duduk. Awalnya cuma kami kemudian entah dari mana ramai pula peserta yang muncul dari celah bangunan. Kemudian kami solat zohor di kaki lima bangunan yang diikuti oleh peserta lain.

Meneruskan perjalanan melalui lorong hingga terjumpa jalan mati, menyusuri sungai kemudian sampai di Stesyen LRT. Hujan yang turun menyejukkan dan menyegarkan badan yang kepenatan. Ramai yang berteduh di stesyen LRT tersebut. Termasuklah ramai juga SB SB yang berkeliaran. Mungkin mereka menyangka kami tidak mengenali mereka namun seperti sudah tertulis SB di dahi mereka. Suami cuba mendapatkan tiket untuk ke pudu namun diberitahu laluan ke Pudu ditutup. Saya sendiri tidak tahu di mana kami berada. Suami mencuit dan menunjukkan arah bawah. 2 buah trak polis baru sampai di bawah stesyen. Bimbang tangkapan akan dibuat di situ, Kami berlalu sambil mencuit beberapa peserta yang bersama sama kami sepanjang perjalanan tadi.

Berjalan terus meredah hujan. Melalui jalan raya dan lorong lorong. Berundur dan mengelak bila ternampak polis. Akhirnya kami sampai di Jalan Petaling dan terus ke masjid India. bau yang kurang menyenangkan bila sampai di perkarangan masjid India. Hidung terasa sebu dan mata mula pedih. Rupanya gas baru saja dilepaskan di kawasan tersebut. Bertanya khabar dengan beberapa muslimat yang berada di situ. Tak lama kelihatan sekumpulan peserta yang tergesa gesa berlari dikejar polis dan FRU. Kami berundur ke belakang bangunan,melintasi jambatan dan menuju ke jalan besar. Ramai yang berada di situ. Melayu, cina dan India. Sebahagiannya masih menyapu mata dengan tuala kecil. Episod perjuangan sudah bermula.

Hati kecil saya gembira bercampur cemas. Hasrat untuk berkumpul dalam satu kumpulan yang besar hampir terlaksana. Cemas mengigatkan pedihnya gas pemedih mata yang mungkin akan kami hadapi namun untuk perjuangan, ianya sesuatu yang wajib kami tempuhi. Tak lama berada di situ. Di belakang kedengaran laugan takbir, Bersih dan reformasi. Terasa teruja bila muncul kumpulan yang besar diketuai oleh cikgu Bard.

Suami terpisah dari kami bila dia masuk kebarisan depan dan kami masuk ke barisan tengah. Bersemangat rasanya bila dapat bersama bertakbir dan menyuarakan hasrat rakyat untuk menikmati keadilan dalam memilih pentadbir negara. kami yakin hasrat kami itu tidak salah atau menyeleweng apatah lagi menderhaka pada tanahair sendiri. Tak tersedar bila masanya saya dan Anis terpisah dari abang Din. Di kiri kanan depan dan belakang ternyata rata rata anak anak muda yang berjiwa kental. kami diminta oleh seorang pemuda untuk berjalan disebelah tepi untuk memberi laluan kepada Dr Hatta yang rupanya berada di belakang kami. Di depan kami seorang muslimah berjalan tanpa kasutnya namun dia tetap meneruskan perjalanan. Bergandingan berjalan bersama kaum cina dan India. Melalui jalan yang entah di mana riuh rendah bunyi hon kereta dan motosikal menandakan sokongan untuk BERSIH. Kaum India dan cina yang berada di tepi jalan mengangkat tangan tanda sokongan. Yang berada di jejantas bertepuk tangan, yang berada di tangga jejantas melompat turun menyertai kami.

Kepuasan yang tak terhingga. Kami berhenti bila diisyaratkan berhenti. Duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pimpinan Bersih. Ucapan tanpa sebarang pembesar suara kadang terdengar dari jauh kadang suara hilang dibawa angin lalu. Namun kesungguhan yang dipamerkan membangkitkan semangat kami. Untuk sekian kalinya saya bertepuk tangan untuk diri sendiri kerana menyanyikan lagu negaraku bersama sama warga negara Malaysia yang lain dengan rasa kecintaan kepada tanah air sendiri. Sesuatu yang tidak dapat difahami kenapa kecintaan kami pada tanah air ini dicemuh sebagai satu pengkhianatan hingga dilayan seperti penjenayah.

Perhimpunan aman kami diganggu oleh polis dan FRU. Maka bertempiaranlah peserta cuba loloskan diri. Saya dan Anis masih bersama. Memegang erat tangannya sebagai satu amanah yang mesti saya lindungi. Hanya mengikut langkah kaki peserta di hadapan saya yang rata rata lelaki muda. Hampir terjatuh namun sempat dihalang oleh seorang anak muda. keadaan makin tegang bila water canon betul betul berada di tepi kami. Muncungnya masih mengalir air kimia yang memeritkan. Kami terperangkap di tepi tembok batu. Jalan yang ada hanya di hadapan yang bersesak dengan peserta lain. Alhamdulillah rupanya ada lorong di tepi sebuah bangunan dan kami berlari ke belakang bangunan. Rupanya di belakang bangunan adalah jalan mati yang berpagar.

Merasakan agak selamat saya mengambil kesempatan duduk dan meneguk air minirel namun belum sempat menyimpan botol kami dikejutkan dengan derap kaki dan peserta yang makin ramai melarikan diri. Kami panik kerana jalan di hadapan kami hanyalah pagar berkawat hijau dan disebelahnya jalan yang agak jauh ke bawah.
Namun kami tetap bangun dan berlari menuju ke arah pagar. Beberapa anak muda yang berada di bawah menjerit agar kami ke hujung pagar. Saya tertanya tanya mungkinkah ada pintunya, untuk melompat adalah mustahil namun kami bertawakkal dan yakin Allah akan membantu menemui jalannya. Sampai di hujung tidak ada pintu untuk kami lalui, saya panik. Namun Allah masih membantu, seorang anak muda yang berada di bawah menarik pagar ke atas bagi membolehkan kami meloloskan diri. Tak tersedar bagaimana saya mengelongsor turun melalui bawah pagar yang di bawahnya berbatu. Kami berlari masuk ke sebuah restoren India. Tidak ada meja yang kosong. Saya menarik tangan Anis untuk duduk di meja bersama 3 remaja lelaki yang sedang merokok. Keadaan di restoren agak kecoh. Masing2 berusaha mencari kerusi yang kosong untuk menyelamatkan dari dikesan polis.

Sekejap saja depan dan tepi restoren dipenuhi polis dan FRU. Saya kira keadaan akan tenang dan selamat namun teriakan berulang kali polis yang mengarahkan supaya kami balik menyebabkan sebahagian besar yang berada di restoren tersebut berlari keluar menerusi belakang restoren. Saya memilih untuk berdiam di situ. Saya beritahu Anis, kita tak akan lari lagi. Kalau polis nak tangkap biar mereka tangkap di sini. kami kiranya sudah bernasib baik terselamat dari water canon. Lama kami berada di situ. Fru dan polis termasuk SB juga tidak berganjak. Sayang hp berkamera saya kehabisan bateri untuk kami rakam aksi mereka. Suami saya menghubungi untuk mengetahui kedudukan saya. Jelasnya suami bersama Ustaz Nik Abduh dan beberapa pimpinan lain terperangkap dekat KLCC. Abang Din pula terperangkap dalam MCDonald yang telah dikunci pintunya oleh pekerjanya.

Bila polis beredar,kami cuba untuk balik ke hotel penginapan Anis di Chow Kit. Menahan beberapa teksi untuk balik namun tak satupun berhenti walaupun kosong. Akhirnya kami memutuskan untuk berjalan kaki pulang ke Chow Kit. Berpandukan arah jalan oleh kawan Anis melalui hp, kami berjalan walaupun badan mula terasa penat. Sampai di kampung Baru,suami bersama kawannya datang mengambil kami.

Kepuasan menyertai suara rakyat mengatasi rasa letih. Alhamdulillah walaupun perjalanan yang diambil jauh dan panjang namun saya kira masih bernasib baik berbanding pengalaman sewaktu PPSMI yang lebih mengetirkan kerana betul betul berada dalam asap gas pemedih mata. Pengalaman yang mengetirkan sebenarnya makin menguatkan jiwa kita. Semakin kita diasak semakin kita bersemangat kerana kita tahu permintaan kita bukan sesuatu yang salah. Perjuangan kita juga bukan hanya untuk diri kita tapi untuk anak cucu generasi mendatang. Perjuangan kita untuk membersihkan segala kekotoran. Itu keyakinan saya dan itu juga keyakinan mereka yang bersama sama dalam BERSIH 907.

Tahniah dan syabas buat semua peserta BERSIH 907 dan sekalung simpati pada pasukan keselamatan yang membenarkan diri mereka menjadi alat kepada pemimpin yang mementingkan diri sendiri. Malah melakukan kezaliman kepada rakyat Malaysia sendiri. Ditangkap, kecederaan malah kematian yang berlaku akan menuntut keadilannya nanti. Mungkin PM dan menterinya serta ketua Polis malah SPR boleh menafikan namun mata lensa kamera dn video tidak mampu menutup kekejaman yang dilakukan. Ianya bukan saja menjadi parut yang terpahat dalam minda peserta BERSIH 907 tapi juga terpahat pada minda sejarah negara.

Saya bersyukur kerana Allah mempermudahkan perjalanan saya pada hari yang bermakna ini. Bermula dengan dikurangkan rasa bimbang yang dicetuskan oleh media, dihilangkan sakit sendi, dipermudahkan sumaiyah untuk duduk bersama makciknya hinggalah diselamatkan saya dari water canon dan jalan mati. Benarlah bila kita membantu Jalan Allah maka Allah akan membantu kita.
Untuk sekian kalinya saya berazam untuk terus bersama dalam perjuangan ini. Selagi kaki terlarat membawa badan..selagi keadilan dan Islam belum tertegak..patah sayap bertongkat dagu..Perjuangan akan diteruskan.

1 ulasan:

Cikli berkata...

terima kasih kerana berjuang untuk kami semua.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails