Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.
Memaparkan catatan dengan label KENANGAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KENANGAN. Papar semua catatan

Khamis, 31 Januari 2013

HARI HARI TERAKHIR SITI HAJAR AHMAD SABIR

RENTETAN PENGALAMAN DI HARI HARI TERAKHIR SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.

Dah lama saya tak menulis di blog ini..kekangan masa selalu di hadapan. Kisah adik  Siti Hajar ini saya baca dalam facebook. 

Berkebetulan dengan jadual ceramah kelompok yang perlu saya isi, maka dalam setiap ceramah tersebut saya sentuh tentang kisah Siti Hajar. 

Saya tidak langsung mengenali arwah ataupun ibubapa arwah namun kisahnya menjadi satu asas yang sangat kuat untuk saya dan semua orang untuk kembali kepada betapa dekatnya kita dengan kematian dan betapa dekatnya Allah dengan hambaNya, tinggal hanya kita sedar atau tidak sahaja. 

Al Fatihah untuk arwah Siti Hajar binti Ahmad Sabir. 

_________________________________________________________

6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami  tidak mencukupi’

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi,  kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang  kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar . 
                                   
Lawatan  Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke  telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami  perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Takada rahsia lagi.  Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya, dia akan bersyukur. Pasti ade hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci kepadanya, dia kata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan  diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung  tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang  tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan  yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis. Kami tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2  waktu sahabat ziarah” Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher”  lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak  solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab  “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari  Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu.  Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka  Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi,  Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan.  Ultrasound pula  diambil.  Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn bimbang, kita orang  Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” . Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar  ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.Dalam termengah2 dia berkata”mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan  nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan  menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak  katil Hajar ke ICU okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.

18 Jan 2013Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja  lagi 99% .Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran  pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir

20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap  tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya


SITI HAJAR 
                                                                                                                
Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah 

Sabtu, 16 Julai 2011

Catatan 907...liku liku perjuangan..


Hari ini genap seminggu selepas BERSIH 907. Kenangan turun bersama rakyat Malaysia yang kedua selepas PPSMI. Dengan liputan meluas media massa tentang keganasan yang mungkin berlaku semasa Himpunan Bersih sedikit merisaukan saya. Beberapa kali suami bertanya betulkah hendak turun bersamanya dan saya menjawab ya, sekalipun sebenarnya hati bersulam bimbang. Kebimbangan pertama, saya risau kalau kalau sakit sendi yang saya hadapi menyerang pada hari itu. Kedua saya risau kerana saya akan membawa bersama anak kami Sumaiyah yang berusia 7 tahun.

Saya masih ingat sewaktu PPSMI dulu. Sumaiyah dan kakaknya saya bawa bersama. Teruk dia terkena gas pemedih mata. Dia betul betul marah sehingga dia memanggil FRU dengan nama Yahudi.

Jumaat, sehari sebelum 907, kami turun ke Bandaraya Kuala Lumpur. Jalan masih seperti biasa hanya road block di 3 tempat itupun polis sekadar memandang tanpa memeriksa apa apa. Kami tidak menempah mana mana hotel untuk menginap. Kami cuma memilih untuk menumpang di pejabat Agung PAS itupun kerana suami mempunyai 2 program pada malam itu.

Sabtu, jam 3.30 saya sudah bangun kerana dikhabarkan jam 4.00 pagi solat hajat akan diadakan. Jam 8.00 kami keluar dari pejabat agung. Hajat kami untuk bersarapan sebelum memulakan perjalanan ke Masjid kg Baru.

Suasana yang berbeza dari sebelumnya. Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur tiba tiba lenggang. Menyusuri jalan ke Chow Kit, saya terasa kesunyian yang menyeramkan. Anggota polis di sana sini.

Dari jauh terlihat orang awam yang berjalan berdua atau bertiga. Rasanya lebih ramai anggota polis dari orang awam. Kedai kedai tertutup rapat. Sempat bertanya penjual surat khabar di tepi jalan, kenapa semua kedai ditutup. Sepatah jawabnya...takut! Ketakutan yang diciptakan media.

Kami meneruskan perjalanan mencari kalau kalau ada kedai yang dibuka.. Sampai di jalan Chow Kit barulah nampak ada orang awam yang sedikit ramai. Suami mencuit saya..SB! Barulah saya perasan rupanya agak ramai SB yang berkeliaran di situ lelaki dan wanita..

Kami bertemu dengan seorang sahabat. Dengannya kami menuju ke warung di belakang hotel Grace Villa. Di situ kami bertemu dengan ramai kenalan suami. Malah bertemu dengan kak Ani sekeluarga (kakak suami) dan abang saya abang Din. Kemudian suami memaklumkan pejabat agung sudah di kepung. Saya menelefon adik adik Nisa' yang bermalam bersama saya di pejabat agung. Mereka mengesahkan dan mereka tidak dibenarkan keluar dari pejabat agung. Terperangkap di situ.

Kami mula bergerak bersama sama..saya,suami dan anak kecil Sumaiyah, kak Ani sekeluarga dan abang Din..bergerak dalam kumpulan yang agak ramai 12 orang. Hajat awal untuk ke masjid kg Baru tapi kemudian dimaklumkan masjid telah dikepung polis kemudian kami mengubah haluan untuk ke Pudu. namun rupanya walaupun jalannya lenggang dari kenderaan tapi tidak lenggang dari polis dan SB.

Saat itu kami dimaklumkan ramai yang sudah ditangkap. Di hujung jalan Trak polis sudah kelihatan. Polis semakin ramai. Saya agak risau. Kerisauan kerana Sumaiyah yang masih kecil ada bersama. Kerisauan andainya kami tidak berjaya berhimpun di tempat yang telah ditentukan. Kami meneruskan perjalanan sehingga berselisih dengan seorang pakcik yang memaklumkan di hujung jalan ramai muslimat telah ditangkap. Kereta polis yang perlahan lahan melintasi kami menyebabkan kami memilih untuk masuk ke sebuah kedai pakaian. Dari cermin sisinya, jelas polis tersebut sedang memerhati kami.

Bila dirasakan selamat,kami keluar untuk meneruskan perjalanan. Kemudian kami berselisih lagi dengan seseorang yang menasihatkan agar tidak berjalan dalam kumpulan yang ramai kerana polis telah mula membuat tangkapan. Dari jauh sudah mula kedengaran jeritan polis.

Kami berbincang. Kami perlu berpecah. Kak Ani memilih untuk kembali ke hotel memandangkan anak perempuan bongsunya demam dan menawarkan agar Sumaiyah mengikutnya ke hotel. Alhamdulillah terasa hilang kerisauan saya. Akhir saya,suami,abang Din dan Anis anak kak Ani yang juga merupakan aktivis muslimat Johor akan meneruskan perjuangan kami.

Kami menyusuri jalan yang saya sendiri tak tahu kerana sesungguhnya saya memang 'buta' dengan jalan jalan di KL. Kami melintasi anggota peronda polis wanita yang berpusing melihat saya dan Anis. Sehingga di satu sudut kami terpaksa berhenti kerana polis mula membuat sekatan dan teriakan semakin kuat. Kami cuba hampiri sedekat mungkin namun tiba tiba mereka mengejar.. Bunyi derapan kaki anggota keselamatan yang sepatutnya menjaga rakyat menyebabkan kami dan peserta BERSIH yang lain berundur. Kami bergegas ke sebuah restoren yang rasanya hampir keseluruhan pelanggannya adalah peserta BERSIH.

Kami menunggu di dalam, polis pula menunggu di luar. Tiba tiba terdengar bunyi teriakan polis dan derapan kaki yang mengejar. Rupanya ramai lagi peserta BERSIH di laluan kami tadi. Kami mengambil kesempatan untuk keluar dan cuba meneruskan perjalanan namun ternyata ada sebahagian lagi anggota polis menunggu di tempat yg sama. Tidak ada jalan tikus yang boleh kami mencelah kerana deretan kedai menyebabkan kami terpaksa menunggu.

Sehingga tengahari. Polis yang berkawal mungkin penat dan berehat sambil makan. Kami mengambil kesempatan untuk cuba melepasi mereka. Pada anggapan kami,mungkin kami akan terlepas kerana mereka sedang makan tengahari. Melepasi beberapa polis yang berunifom dan mereka hanya sekadar melihat kami namun merapati kumpulan polis yang sedang duduk tiba tiba polis yang tidak berunifom bangun mengejar dengan cota sambil berteriak. Kemudian rakan rakannya yang lain turut bangun. Kami terpaksa tergesa gesa berundur. Suami mengisyaratkan agar masuk ke jalan lain sedang yang lain berundur ke jalan tadi.

Kami berhenti di bangku batu bawah pokok bersebelahan tandas awam. Di situ ada SB yang sedang duduk. Awalnya cuma kami kemudian entah dari mana ramai pula peserta yang muncul dari celah bangunan. Kemudian kami solat zohor di kaki lima bangunan yang diikuti oleh peserta lain.

Meneruskan perjalanan melalui lorong hingga terjumpa jalan mati, menyusuri sungai kemudian sampai di Stesyen LRT. Hujan yang turun menyejukkan dan menyegarkan badan yang kepenatan. Ramai yang berteduh di stesyen LRT tersebut. Termasuklah ramai juga SB SB yang berkeliaran. Mungkin mereka menyangka kami tidak mengenali mereka namun seperti sudah tertulis SB di dahi mereka. Suami cuba mendapatkan tiket untuk ke pudu namun diberitahu laluan ke Pudu ditutup. Saya sendiri tidak tahu di mana kami berada. Suami mencuit dan menunjukkan arah bawah. 2 buah trak polis baru sampai di bawah stesyen. Bimbang tangkapan akan dibuat di situ, Kami berlalu sambil mencuit beberapa peserta yang bersama sama kami sepanjang perjalanan tadi.

Berjalan terus meredah hujan. Melalui jalan raya dan lorong lorong. Berundur dan mengelak bila ternampak polis. Akhirnya kami sampai di Jalan Petaling dan terus ke masjid India. bau yang kurang menyenangkan bila sampai di perkarangan masjid India. Hidung terasa sebu dan mata mula pedih. Rupanya gas baru saja dilepaskan di kawasan tersebut. Bertanya khabar dengan beberapa muslimat yang berada di situ. Tak lama kelihatan sekumpulan peserta yang tergesa gesa berlari dikejar polis dan FRU. Kami berundur ke belakang bangunan,melintasi jambatan dan menuju ke jalan besar. Ramai yang berada di situ. Melayu, cina dan India. Sebahagiannya masih menyapu mata dengan tuala kecil. Episod perjuangan sudah bermula.

Hati kecil saya gembira bercampur cemas. Hasrat untuk berkumpul dalam satu kumpulan yang besar hampir terlaksana. Cemas mengigatkan pedihnya gas pemedih mata yang mungkin akan kami hadapi namun untuk perjuangan, ianya sesuatu yang wajib kami tempuhi. Tak lama berada di situ. Di belakang kedengaran laugan takbir, Bersih dan reformasi. Terasa teruja bila muncul kumpulan yang besar diketuai oleh cikgu Bard.

Suami terpisah dari kami bila dia masuk kebarisan depan dan kami masuk ke barisan tengah. Bersemangat rasanya bila dapat bersama bertakbir dan menyuarakan hasrat rakyat untuk menikmati keadilan dalam memilih pentadbir negara. kami yakin hasrat kami itu tidak salah atau menyeleweng apatah lagi menderhaka pada tanahair sendiri. Tak tersedar bila masanya saya dan Anis terpisah dari abang Din. Di kiri kanan depan dan belakang ternyata rata rata anak anak muda yang berjiwa kental. kami diminta oleh seorang pemuda untuk berjalan disebelah tepi untuk memberi laluan kepada Dr Hatta yang rupanya berada di belakang kami. Di depan kami seorang muslimah berjalan tanpa kasutnya namun dia tetap meneruskan perjalanan. Bergandingan berjalan bersama kaum cina dan India. Melalui jalan yang entah di mana riuh rendah bunyi hon kereta dan motosikal menandakan sokongan untuk BERSIH. Kaum India dan cina yang berada di tepi jalan mengangkat tangan tanda sokongan. Yang berada di jejantas bertepuk tangan, yang berada di tangga jejantas melompat turun menyertai kami.

Kepuasan yang tak terhingga. Kami berhenti bila diisyaratkan berhenti. Duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pimpinan Bersih. Ucapan tanpa sebarang pembesar suara kadang terdengar dari jauh kadang suara hilang dibawa angin lalu. Namun kesungguhan yang dipamerkan membangkitkan semangat kami. Untuk sekian kalinya saya bertepuk tangan untuk diri sendiri kerana menyanyikan lagu negaraku bersama sama warga negara Malaysia yang lain dengan rasa kecintaan kepada tanah air sendiri. Sesuatu yang tidak dapat difahami kenapa kecintaan kami pada tanah air ini dicemuh sebagai satu pengkhianatan hingga dilayan seperti penjenayah.

Perhimpunan aman kami diganggu oleh polis dan FRU. Maka bertempiaranlah peserta cuba loloskan diri. Saya dan Anis masih bersama. Memegang erat tangannya sebagai satu amanah yang mesti saya lindungi. Hanya mengikut langkah kaki peserta di hadapan saya yang rata rata lelaki muda. Hampir terjatuh namun sempat dihalang oleh seorang anak muda. keadaan makin tegang bila water canon betul betul berada di tepi kami. Muncungnya masih mengalir air kimia yang memeritkan. Kami terperangkap di tepi tembok batu. Jalan yang ada hanya di hadapan yang bersesak dengan peserta lain. Alhamdulillah rupanya ada lorong di tepi sebuah bangunan dan kami berlari ke belakang bangunan. Rupanya di belakang bangunan adalah jalan mati yang berpagar.

Merasakan agak selamat saya mengambil kesempatan duduk dan meneguk air minirel namun belum sempat menyimpan botol kami dikejutkan dengan derap kaki dan peserta yang makin ramai melarikan diri. Kami panik kerana jalan di hadapan kami hanyalah pagar berkawat hijau dan disebelahnya jalan yang agak jauh ke bawah.
Namun kami tetap bangun dan berlari menuju ke arah pagar. Beberapa anak muda yang berada di bawah menjerit agar kami ke hujung pagar. Saya tertanya tanya mungkinkah ada pintunya, untuk melompat adalah mustahil namun kami bertawakkal dan yakin Allah akan membantu menemui jalannya. Sampai di hujung tidak ada pintu untuk kami lalui, saya panik. Namun Allah masih membantu, seorang anak muda yang berada di bawah menarik pagar ke atas bagi membolehkan kami meloloskan diri. Tak tersedar bagaimana saya mengelongsor turun melalui bawah pagar yang di bawahnya berbatu. Kami berlari masuk ke sebuah restoren India. Tidak ada meja yang kosong. Saya menarik tangan Anis untuk duduk di meja bersama 3 remaja lelaki yang sedang merokok. Keadaan di restoren agak kecoh. Masing2 berusaha mencari kerusi yang kosong untuk menyelamatkan dari dikesan polis.

Sekejap saja depan dan tepi restoren dipenuhi polis dan FRU. Saya kira keadaan akan tenang dan selamat namun teriakan berulang kali polis yang mengarahkan supaya kami balik menyebabkan sebahagian besar yang berada di restoren tersebut berlari keluar menerusi belakang restoren. Saya memilih untuk berdiam di situ. Saya beritahu Anis, kita tak akan lari lagi. Kalau polis nak tangkap biar mereka tangkap di sini. kami kiranya sudah bernasib baik terselamat dari water canon. Lama kami berada di situ. Fru dan polis termasuk SB juga tidak berganjak. Sayang hp berkamera saya kehabisan bateri untuk kami rakam aksi mereka. Suami saya menghubungi untuk mengetahui kedudukan saya. Jelasnya suami bersama Ustaz Nik Abduh dan beberapa pimpinan lain terperangkap dekat KLCC. Abang Din pula terperangkap dalam MCDonald yang telah dikunci pintunya oleh pekerjanya.

Bila polis beredar,kami cuba untuk balik ke hotel penginapan Anis di Chow Kit. Menahan beberapa teksi untuk balik namun tak satupun berhenti walaupun kosong. Akhirnya kami memutuskan untuk berjalan kaki pulang ke Chow Kit. Berpandukan arah jalan oleh kawan Anis melalui hp, kami berjalan walaupun badan mula terasa penat. Sampai di kampung Baru,suami bersama kawannya datang mengambil kami.

Kepuasan menyertai suara rakyat mengatasi rasa letih. Alhamdulillah walaupun perjalanan yang diambil jauh dan panjang namun saya kira masih bernasib baik berbanding pengalaman sewaktu PPSMI yang lebih mengetirkan kerana betul betul berada dalam asap gas pemedih mata. Pengalaman yang mengetirkan sebenarnya makin menguatkan jiwa kita. Semakin kita diasak semakin kita bersemangat kerana kita tahu permintaan kita bukan sesuatu yang salah. Perjuangan kita juga bukan hanya untuk diri kita tapi untuk anak cucu generasi mendatang. Perjuangan kita untuk membersihkan segala kekotoran. Itu keyakinan saya dan itu juga keyakinan mereka yang bersama sama dalam BERSIH 907.

Tahniah dan syabas buat semua peserta BERSIH 907 dan sekalung simpati pada pasukan keselamatan yang membenarkan diri mereka menjadi alat kepada pemimpin yang mementingkan diri sendiri. Malah melakukan kezaliman kepada rakyat Malaysia sendiri. Ditangkap, kecederaan malah kematian yang berlaku akan menuntut keadilannya nanti. Mungkin PM dan menterinya serta ketua Polis malah SPR boleh menafikan namun mata lensa kamera dn video tidak mampu menutup kekejaman yang dilakukan. Ianya bukan saja menjadi parut yang terpahat dalam minda peserta BERSIH 907 tapi juga terpahat pada minda sejarah negara.

Saya bersyukur kerana Allah mempermudahkan perjalanan saya pada hari yang bermakna ini. Bermula dengan dikurangkan rasa bimbang yang dicetuskan oleh media, dihilangkan sakit sendi, dipermudahkan sumaiyah untuk duduk bersama makciknya hinggalah diselamatkan saya dari water canon dan jalan mati. Benarlah bila kita membantu Jalan Allah maka Allah akan membantu kita.
Untuk sekian kalinya saya berazam untuk terus bersama dalam perjuangan ini. Selagi kaki terlarat membawa badan..selagi keadilan dan Islam belum tertegak..patah sayap bertongkat dagu..Perjuangan akan diteruskan.

Rabu, 12 Ogos 2009

Tinta Kenangan Institut Berakan

(Klik gambar untuk lebih jelas)

Himpunan Bekas guru Dan pelajar Intitut Berakan/Maahad Tahfiz Wal Terbiyyah pada Ahad 09.08.09. Rasa syukur dan gembira kerana berkesempatan bertemu kembali dengan bekas guru dan teman yang pernah bernaung di bawah satu institusi pendidikan. Walaupun agak terkilan kerana teman yang pernah akrab dulu tidak hadir sama,namun terubat juga rindu melihat wajah wajah bekas guru yang telah banyak menabur budi dalam dunia pendidikan.

Antara pengasas Institut Berakan(IB) ustaz Abu Bakar chik(ABC),Ustaz Abu Bakar Abdullah(ABA),cikgu Safinah dan cikgu Raja Hindun.Ustaz Awang,Cikgu Li,Ustaz Hamdan,cikgu Mat Mina,ustaz Zahid dan ustaz Mat Yaakob. Sejujurnya merekalah yang telah memberi didikan,tarbiyyah dan membimbing ke jalan perjuangan.

Masih terasa suasana belajar di IB. Walaupun hanya sebuah bangunan yang kayu dengan serba kekurangan namun ilmu dan pengalaman yang digarap sangat berharga. Bilik perpustakaan yang kecil. Kelas dengan kerusi dan meja kayu. Bersebelahan pula dengan bukit. Laluan ke kelas belakang dengan menyusuri tepi bukit. Kerap kali tamrin diadakan dan setiap pelajar wajib menghadirinya. Masih ingat lagi saat masak kawah dengan dapur kayu. Lauknya hanya ikan keras ekor (cencaru)kering dan sayur air kangkung tapi cukup menyelerakan.Tamrin 3 hari 2 malam,selalunya malam pertama memang tak tidur. Bukan tahajjud sangatpun tapi sembang yang lebih.

Disiplin di IB sangat ketat. Etika pakaian sentiasa dijaga. Kelebihan di IB,disiplin dipantau bukan saja di kawasan sekolah tapi juga di luar sekolah. Sentiasa ada mata mata yang memerhati dan melaporkan pada guru disiplin yang waktu itu dipegang oleh Ustaz Awang.

Hari Jumaat kalau tak pulang ke kampung,destinasi wajib adalah Rusila. Keluar awal pagi dengan kawan kawan mengejar bas ke Rusila. kalau lambat sampai,alamak terlepaslah nak sarapan pagi nasi dagang di warung tepi masjid sebab bila kuliah Tok guru bermula semua gerai akan ditutup.Terpaksalah menunggu selepas kuliah untuk sarapan. Dah habis kuliah Tok Guru,sessi ronda ronda di gerai geraipun bermula.Beli hanya yang betul betul perlu saja,maklum masih belajar manalah ada duit. Agak agak dah reda kesesakan kereta barulah kami ke hentian bas menunggu bas untuk balik ke rumah sewa.

Selalunya kami balik memang berkumpulan. Kenangan yang tak mungkin dilupakan,kami selalu terserempak dengan 'Pok DO' seorang yang sakit mental (gila). Kadang kadang dia mengacah saja,kadang kadang dia betul betul kejar kami,apa lagi buka langkah seribu. Masing masing bertempiaran lari,jarak 1KM dari bas berhenti dengan rumah kami membuatkan kami betul betul jadi pelari marathon. Dah sampai di rumah masing masing berebut nak masuk dulu. Cemas dan lucu. Bayangkan berlari dengan jubah dan tudung labuh.

Cikgu Safinah selalu mengajak ke surau atau masjid dengan keretanya. Kadang kadang kami berebut nak ikut tapi selalu juga bertolak tolak siapa yang kena ikut cikgu Safinah. Bila ada ceramah,kami berebut rebut nak ikut. Entah apalah bezanya kuliah dengan ceramah tapi bila ada ceramah memang semangat berkobar kobar. Itulah antara kenangan berharga waktu di IB.

1991 tahun yang tragis bagi IB dan kami yang mengenali IB. Tahun IB dirobohkan oleh kerajaan BN. Dirobohkan dengan ganas dan paksaan. Semua isi IB dilanyak jentolak samada buku sekolah,buku agama atau al Quran. Cubaan BN untuk mematikan pusat pendidikan yang mendidik anak anak muslim mengenali perjuangan. Namun mereka merancang,Allah jua merancang Dan perancangan Allah adalah lebih baik. IB yang dirobohkan,MTT pula yang bangkit. Mana mungkin ilmu Allah nak dipadamkan. MTT akan menyambung perjuangan IB dalam mendidik anak anak muslim mengenali perjuangan dan bersama sama dalam perjuangan mendaulatkan khalimahNya.

Titisan air mata Ustaz ABC sewaktu memberikan ucapan membangkitkan rasa pilu semua yang hadir. Apatah lagi dengan kehadiran Tuan Guru Haji Hadi yang walaupun uzur tapi berusaha juga untuk bersama sama dalam majlis tersebut. Besarnya harapan agar 20,000 bekas pelajar IB/MTT diharap dapat memberikan sumbangan dalam memajukan MTT.

Buat rakan rakan yang dah lama tak bersua dan hilang khabar berita..ilmu dah diberi,pengalaman dah diperolehi,jalan perjuangan dah ditunjukkan..rugilah kalau tidak terjemahankan ilmu dan pengalaman itu dalam realiti perjuangan. Walaupun kita dah tak bersama dalam perjalanan hidup kita tapi harapnya kita masih bersama dalam wadah perjuangan. Buat semua guru guru IB jutaan terima kasih kerana telah memberikan mutiara kehidupan yang berharga buat kami. Pengorbanan dan jasa bakti kalian yang sanggup mengenepikan wang ringgit demi mengharapkan keredhaan Allah sangat sangat dihargai. Kalian adalah permata dan doa ribuan bekas pelajar kalian akan sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian. Moga segala jerit perih,air mata dan titisan keringat warga IB/MTT akan menjadi saksi di hadapan Allah nanti.
Salam Ukhuwwah..

Jumaat, 26 Jun 2009

Kenangan

Tragedi yang menimpa Allahyarham cikgu Nizar Zainudin mengigatkan kepada peristiwa yang pernah menimpa anak saudara kira2 10 tahun yang lalu. Arwah Mohamad Sufian Adam,12 tahun yang lemas dan hilang di pantai Cerating,Kuantan ketika sedang mandi manda bersama sepupunya yang lain. Arwah hilang dalam sekelip mata. Dijumpai dua hari selepas itu kalau tak silap ingatan. Waktu itu,kami sekeluarga masih menetap di Keningau Sabah. Jarak yang jauh tidak mengizinkan untuk pulang.
Hakikat yang harus diyakini kematian datang tanpa diundang.Moga pergi kita dalam husnul khatimah. Pergi dalam kecintaan kita pada perjuangan Islam.

Innalillah



Alhamdulillah. Allah memanjangkan sehari lagi usia pada hari ini. Petang semalam jenazah Allahyarham cg Nizar Zainudin selamat sampai di kampungnya dan telah selamat dikebumikan. Cg Nizar berpindah ke Sarawak pada hujung tahun lalu. Ahad 21 Jun, Cg Nizar hanyut ketika sedang mandi di Sungai Rajang,Belaga,Kapit, Sarawak (gambar di atas). Jenazahnya hanya ditemui pada Rabu 24 Jun jam 6 pagi. Khamis, jenazahnya diterbangkan ke Semenanjung untuk dikebumikan di kampung halamannya. Masih muda dan masih solo.
Dari Dia kita datang dan kepadaNya kita kembali. Ajal maut jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah swt. Manusia hanya mampu merancang sedang Allah jua merancang dan sesungguhnya perancangan Allah itu adalah jauh lebih baik.
Maut boleh menjemput bila bila masa saja. Tak kira tua atau muda. Sakit atau sihat.Berkeluarga atau bujang. Bila ia datang,terpisahlah kita dari dunia ini. Akan sendirianlah kita di dalam sana.Apa agaknya bekalan kita? Harta berjuta? Isteri cantik? Suami hensem? Anak2 yang pintar cerdik? Hanya amalan soleh dan doa anak anak yang soleh yang akan menjadi pelita di alam kubur. Agaknya adakah kita memilikinya?
Hanya iman yang mampu menjawabnya.
Hanya kekuatan iman yang mampu mengarahkan akal fikiran untuk berbuat amalan soleh. Hanya kekuatan iman yang mampu mengarahkan kita menyuruh isteri dan anak2 menutup aurat. Hanya kekuatan iman yang mampu meringankan tangan untuk menghulurkan sedeqah dan bantuan.Jadi tanyalah iman kita sekuat manakah ia.
Al Fatihah untuk Allahyarham Cg Nizar.
Salam ukhwah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails