Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Rabu, 18 November 2009

Puasa di Bulan Zulhijjah


Puasa sunat pada hari Arafah. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Puasa pada hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim).

Hari Arafah adalah bertepatan dengan 9 Zulhijjah. Tidak ada dalil syarak yang menetapkan bahawa puasa Arafah mesti dilakukan serentak dengan masa wukuf jemaah haji di Arafah. Sebaliknya, ia disunatkan pada tanggal 9 Zulhijjah. Bahkan, dengan bentuk dunia yang bulat dan perbezaan waktu, puasa yang dilakukan di benua dan rantau selain dari tanah suci, tidak akan dapat dijalankan serentak dengan wuquf, walau dilaksanakan pada hari wuquf itu sendiri.

Bertakbir, bertahmid dan bertahlil kepada Allah, serta berselawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W. bermula dari subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar hari tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Ini berdasarkan Hadith Jabir r.a. yang bermaksud bahawa “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bertakbir pada solat Fajar hari Arafah, sehingga waktu Asar daripada hari tasyriq yang terakhir, selepas Baginda memberi salam dari solat fardhu.” (riwayat Ad-Daruqutni)

Melaksanakan ibadat korban pada EidulAdha sehinggalah penghujung hari tasyriq. Ibadat ini mengingatkan masyarakat Islam untuk sentiasa bersifat ikhlas dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ibadat ini juga dapat merapatkan hubungan dan menyebarkan kasih sayang di antara manusia, dengan perkongsian daging bersama mereka yang memerlukan, keluarga, sahabat dan jiran tetangga.


Apakah kelebihan berpuasa dalam bulan Zulhijjah? Apa pula kelebihan puasa hari Arafah?

Dari Hafsah r.a. menceritakan;أربع لم يكن يدعهن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم صيام عاشوراء والعشر وثلاثة أيام من كل شهر والركعتين قبل الغداة

“Empat amalan yang tidak ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘ashyr (yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah), puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, at-Thabrani dan an-Nasai)Maksud al-‘Ashyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Dzulhijjah hingga hari ke sembilannya. Disunatkan puasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari Arafah. Malah terdapat hadis lain yang menegaskan bahawa sepuluh hari awal Dzulhijjah adalah hari-hari paling baik untuk beramal dengan apa sahaja amal kebaikan, tidak tertumpu kepada puasa sahaja, iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى اللَّه من هذه الأيام:يعني أيام عشر ذي الحجة
“Tidak ada hari-hari di mana mengejakan amal soleh padanya paling disukai oleh Allah dari hari-hari ini; yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Adapun fadhilat puasa hari ‘Arafah iaitu hari ke 9 Dzulhijjah, Abu Qatadah r.a. menceritakan;

سئل رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم عن صوم يوم عرفة؟ قال: يكفر السنة الماضية والباقية
“Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang”. (Riwayat Imam Muslim)

Hari ‘Arafah adalah hari yang paling afdhal dari segala hari.[1] Ini kerana Rasulullah bersabda;

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْداً مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Tidak ada satu hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari api neraka dari hari ‘Arafah”. (Riwayat Imam Muslim)

Namun demikian puasa pada hari ‘Arafah itu hanya disunatkan kepada yang bukan jamaah Haji. Adapun jemaah Haji, mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut, akan tetapi disunatkan berbuka sebagai mengikuti Rasulullah s.a.w. dan untuk memperolehi kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut. Abu Hurairah r.a. menceritakan;

أنَّ النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم نهى عنْ صوم يومْ عَرَفَة بعَرَفةَ
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; “Orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w, berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah”. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya. (Riwayat Imam Muslim).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah.
2. Nailul-Authar, Imam as-Syaukani, 4/239.
3. Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253.
4. Subulus-Salam, Kitabu as-Shiyam, bab Shaumu at-Tatawwu’ wa Ma Nuhiya ‘An Shaumihi.

[1] Di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie ada dua pandangan berhubung hari yang paling afdhal iaitu;

a) Pandangan pertama; hari jumaat. Berdalilkan hadis Nabi s.a.w.;
خير يوم طلعت فيه الشَّمس يوم الجمعة
“Hari terbaik muncul padanya matahari ialah hari jumaat”. (Riwayat Imam Muslim)

b) Pandangan kedua; hari ‘Arafah. Berdalilkan hadis di atas. Inilah pandangan yang ashah. Adapun hadis kelebihan hari Jumaat, maka ditakwilkan sebagai hari paling afdhal di kalangan hari-hari dalam seminggu, bukan hari-hari secara keseluruhannya dalam setahun.
(Rujuk; Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, juz. 9, Kitab al-Hajj).

Jika ditanya; bagaimana pula dengan lailatul-Qadar? Maka apakah hari ‘Arafah lebih mulia dari lailatul-Qadar? Jawapannya; hari ‘Arafah adalah adalah hari paling mulia di antara hari-hari dalam setahun. Adapun Lailatul-Qadar, maka ia adalah malam yang paling mulia di antara malam-malam dalam setahun. Kerana itulah dalam hadis di atas disebutkan (من أيام), bukan (من ليال). (Lihat: Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253).


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails