Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Ahad, 5 Julai 2009

Kelebihan Usrah

Assalamualaikum warahmatullah.
Pagi tadi saya menghadiri usrah yang dah lama 'terberhenti' atas sebab yang tak dapat dikenalpasti. Inilah first time saya menghadiri usrah sejak berpindah ke sini. Kalau kuliah tu biasalah tapi usrah tak sama dengan kuliah.

Usrah adalah keluarga. Bermakna takde usrah tak adalah keluarga. Usrah adalah satu proses untuk mengikat hubungan di kalangan ahlinya untuk melakukan kerja kerja Islam dengan lebih mantap. Tegur menegur dan nasihat menasihati adalah asas kepada kekuatan jamaah. Seperti yang disarankan dalam surah Al Asr "Hendaklah kamu nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran..."

Bukan mudah untuk menegur dalam perkara kebenaran dan bukan mudah juga untuk menegur tanpa menyinggung perasaan seseorang. Bukan mudah juga untuk sabar dalam menegur dan mengajak orang lain bersabar. Apatah lagi bila yang ditegur itu lebih dari kita samada dalam ilmunya,statusnya atau 'anginnya'. Tapi itulah yang diajar dalam Islam. Itulah yang diajar dalam Surah Al Asr "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang orang yang beriman dan beramal soleh,nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.

Semua ini boleh dipraktikkan dalam usrah kerana ahli usrah adalah ahli keluarga. Dalam usrah juga dapat diperkukuhkan ikatan ukhwwah malah dapat dipertingkatkan lagi mutu ukhwwah atau persaudaraan di antara ahli usrah. Itu adalah kelebihan usrah. Kemanisannya hanya dapat dirasai bila pelaksanaannya menepati kehendak usrah .

Inilah kerugian besar yang didapati bila tidak berada dalam program usrah. Lama tak berusrah menyebabkan kotak pemikiran pun sedikit jumud kerana lama tidak diasah dan digasak dengan perbincangan dengan ahli usrah. Perbincangan yang terbimbing. Perbincangan yang menjadikan sirah perjuangan nabi nabi dan para sahabat sebagai garis panduan dan idola. Perbincangan yang peringkat awalnya adalah perbualan dan pandangan teori kepada peringkat amalan dan perbuatan. Semuanya tidak mampu secara sendirian. Nabi SAW berpesan " Orang mukmin bagi seorang mukmin yang lain ibarat bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain"

Dalam Usrah ada rukunnya;
1. Taaruf atau berkenalan-'Tak kenal maka tak cinta'.
Asas kepada gerakan dakwah ialah kasih sayang dan ia bermula dari pengenalan mendalam antara dua sahabat. Berkenalan bukan hanya kenal nama dan hobinya tapi juga keluarganya malah 'peel' perangainya. Yang lebih utama kenal dan berkasih sayang atas semangat cinta kepada agama Allah. Tautan ukhwah yang kukuh akan membuahkan hasil yang baik dalam pergaulan dan seterusnya kerja kerja dakwah.
2.
Tafahum iaitu bersefahaman
-Tidak akan ada ikatan ukhwah tanpa adanya persefahaman. Persefahaman yang kuat akan dapat menggelakkan sebarang perasaan syak wasangka,hasad dengki,jauh hati yang banyak memberi kepincangan dalam tautan ukhwah. Persefahaman menjadikan amalan memberi dan menerima nasihat berlangsung dengan baik.
3.
Takaful iaitu berseimbangan
-Membantu dan membela nasib saudaranya,jangan sampai ada yang terbiar atau terlantar. Takaful ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhwwah. Ianya dilaksanakan bermula dengan bertanya khabar,menziarahi dan tolong menolong. Sabda Nabi SAW,"Keluar seorang dari kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf selama sebulan di masjidku ini"

Inilah 3 rukun usrah yang perlu diamalkan dan dipelihara agar matlamat usrah tercapai dan supaya usrah itu tidaklah semata mata menjadi satu beban yang tidak mempunyai sebarang erti.
Salam Ukhwwah.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Salam. Matlamat Usrah hanya berjaya klu dapat kerjasama dari ahli usrah. Kalau tak,jadi macam sembang kosong jelah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails