Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Kemalangan itu 'mengajar' bahawa Allah sentiasa di sisi...

Gambar hiasan

Maaf lewat menulis, kerana saya terlibat kemalangan jalan raya tempoh hari.Alhamdullilah, Allah masih sayangkan saya dan mengajar hidayah baru, buat manfaat semua.

Kejadian itu berlaku beberapa hari lalu, kira-kira 8.30 pagi dalam perjalanan saya menuju ke pejabat Harakahdaily yang baru. Hari baru dengan semangat yang baru, getus hati.

Waktu itu, saya memandu laju mengekori sebuah kereta Avanza putih yang menuju hampir ke persimpangan Setiawangsa, di mana lampu isyarat simpang sedang menyala kuning...lalu

Dengan tidak semena-mena Avanza itu, mengambil keputusan untuk berhenti!

Saya tergamam lantas menekan brek secepat mungkin sambil cuba membelok ke kanan untuk mengelak sipi. Namun takdir Allah sampai jua, apabila kereta saya bertembung bahagian belakang Avanza tersebut.

"Dummm!!!!"

Berdentum kereta saya. Bergegar tubuh dan kejang kaki tangan menahan stering dan brek. Kereta terbabas ke tepi, nyaris tidak 'dibalas' kereta dari belakang. Ketika itu, mata saya mula berpinar dan sempat mengucap panjang serta beristighfar. Minit yang pertama, saya tersentak dan diam seketika. Pelbagai perkara menerpa dalam kepala tanpa dipaksa.

Masalah-masalah dunia timbul secara borong. Saya mula memikirkan perjalanan kehidupan anak-anak, isteri esok hari. Bagaimana ke sekolah, ke tempat kerja? Apa cara untuk kais wang ribuan ringgit akibat kemalangan ini? Bagaimana kerjaya saya dan terfikir juga, bagaimana kalau pemandu Avanza mengeluarkan beluti atau besi, paling tidak memaki saya, seperti kebiasaan bergaduh dan bertengkar selepas pelanggaran kereta yang berlaku, di mana-mana?

Minit kedua, saya melihat tubuh masih sempurna cukup sifat. Tiada secebis darah yang terbit di muka. Tuhan Maha kuasa, walau terasa seinci nyawa hampir 'terpisah' dari jasad pemandu, namun saya masih bernafas lagi.

Asap mulai merayap keluar dari sudut bucu kereta 'marhaen' saya. Habis kereta saya, remuk bahagian depan, bonet dan enjin. Gear tidak berfungsi.Lampu hancur manakala pintu sukar dibuka, namun saya berjaya meloloskan diri dengan payah untuk keluar, lantas bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Dengan tenang saya berdoa dalam hati: "Ya Allah, permudahkanlah urusanku ini..."

Saya lalu, terpa pemandu Avanza tersebut, dan syukur dia juga selamat tanpa sebarang luka. Sebelum dia sempat mengeluarkan butiran kata-katanya, saya terus meminta maaf berulang kali atas kejadian yang terjadi.

Saya terus mengaku bersalah. Biarpun dia berhenti ketika lampu isyarat kuning masih menyala dan keretanya tidak 'cedera' teruk, saya tetapwajar dipersalahkan.

Sambil menggeleng kepala, dia berbahasa inggeris satu persatu memperkenalkan dirinya kepada saya. Rupanya dia warga Korea dan tidak fasih berbahasa Inggeris.

"What to do now?" soalnya agak panik dan sangkut-sangkut kepada saya, sambil melihat kenderaan berjujut panjang kerana kesesakan yang baru saya 'cipta' sebentar tadi.

"Both of us have to make a police report, to settle this down..." jelas saya.

Dia setuju, lalu dengan rasa malu, saya memohon untuk menumpangnya, memandangkan kereta saya sangat 'parah' dan tidak boleh dipandu lagi. Selepas menyalakan lampu 'Hazard' di kereta, kami bersama-sama ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk membuat laporan.

Dalam perjalanan hampir sejam dicampur gelumang kesesakan lalu-lintas, maklumlah waktu puncak jam 9.00 pagi, saya sempat bersembang dan 'tekanan tinggi' yang kami hadapi sebentar tadi, kami 'tukarkan' menjadi satru perkenalan persahabatan yang baik.

"Maybe, you don't trust me, so would you like to call your friend or agent or anybody to inform your situation, so that, they can advise you whatsoever...," kata saya 'broken' English.

Di balai polis, kedua-dua membuat laporan, dan saya menjadi penterjemah tak bertauliah kepadanya. Sekali lagi, nilai-nilai kemanusiaan juga menyerlah apabila anggota polis di sana turut melayan kami dengan baik

Seorang sarjan polis kehairanan, dengan tingkah laku saya yang prihatin terhadap pemandu Korea itu. Iyalah...saya rasa bersalah dan rasa patut membantunya sehingga selesai.

"Encik... selesaikan urusan encik dahulu. Tak perlu bimbang hal dia, dan biar dia serta syarikat insurannya uruskan.

"Maaf sarjan, dia orang Korea, dia tak berapa tahu prosedur dan kalau boleh saya nak tahu caranya," jawab saya.

"Tak pe, nanti saya jelaskan padanya dan minta dia hubungi agen dia. Encik tak perlu bimbang ya. Tapi saya nak minta maaflah, terpaksa keluar saman RM300.00 kerana kesalahan encik melanggar kereta dia," katanya membuatkan saya mula resah sedikit dan tunduk, sambil akui kesalahan saya.

Melihat raut wajah saya yang mulai kusut, sarjan itu tersenyum :" Sudahlah encik, yang berlaku dah berlaku...bertenanglah. Tak pe saman ini, saya bagi tempoh selepas Raya nanti ya," katanya membuatkan saya kembali lega.

Sarjan, itu cukup baik melayan kami berdua. Ya , dia polis, pun manusia yang punya hati dan perasaan juga. Kami lantas beredar setelah selesai semua urusan. Ketika warga 'Sonata Musim Salju' menghantar saya berhampiran pejabat, dia ucapkan terima kasih seraya berkata

"You are good person. Thank you,"

Allah, telah permudahkan urusan saya, maka benarlah janji Allah untuk menolong saya, ketika saya ditimba musibah. Dan antara hikmah yang upaya saya terokai, dengan pelanggaran saya ini, orang lain dapat menjalankan tugas dan tanggangjawab dengan baik. Dan antaranya merupakan 'rezeki' buat mereka.

Dari penarik kereta (tow truck), agen syarikat insuran, polis, bengkel kereta semuanya berperanan hari itu, malah mendapat rezeki yang ditentukan Allah, akibat kecuaian saya, seperti pemandu teksi yang menghantar saya ke tempat kerja hari ini, mendapat hasil RM12.00 dari poket saya.

Selain itu, Allah mahu menampakkan nilai-nilai baik yang ada pada manusia, yang mungkin belum pernah ditemui sebelum ini. Malah Allah, mengajar saya, bersangka baik dengan manusia dan melakukan yang terbaik sesama insan.

Itu semua janji Allah. Adakalanya ianya saling berkait antara satu sama lain. Selain itu, hikmah paling besar, ialah menghapus dosa lampau, dan mengajar saya bukan untuk berhati-hati tetapi 'lebih' berwaspada di atas jalan raya dan di mana-mana.

Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya."

Ujian bertali arus, bertubi-tubi

Setelah selesai semua, kereta ditarik ke bengkel berhampiran Kampung Baru untuk diperbaiki selama dua minggu. Sebaik pulang ke rumah, isteri memaklumkan pula anak sulung saya demam dan batuk-batuk.

Aduhai, betapa debarnya hati dan saya terus kuatkan semangat dengan ujian yang menimpa sambil terus tidak putus-putus berdoa.

Semua Allah 'aturkan' dengan baik. Dengan simpati pengasuh, saya dapat meminjam kereta, lalu membawa anak ke klinik pula. Di klinik, berpusu orang ramai cuba mendapatkan rawatan, semua bimbang wabak maut influenza A H1N1 ini. Syukur, anak saya disahkan demam biasa dengan simpton-simpton yang ada.

Berselirat juga fikiran saya pada mulanya untuk menangani semua. Rupanya, sehebat mana kita sekalipun, kita akhirnya kena bergantung sepenuhnya untuk Allah menjaga kita dan seisi keluarga setiap hari, ketika dan masa. Tak mampu saya nak buat semuanya. Udara yang merayap dan wabak yang merebak, hanya Allah sahajalah yang mampu membendung.

"Senjata orang mukmin itu, doa. Berdoalah, nescaya Allah kabulkan," itu kata-kata nasihat ahli agama.

"Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Al-Israa :82)

Rupanya setiap masalah kita kena selesaikan kes demi kes atau satu persatu dan bukan cuba menyelesaikannya secara borong. Dari masalah kewangan, kerjaya, kesihatan, keluarga dan apa saja, kita kena selesaikan secara tenang dan satu demi satu.

Itulah saya tidak tahu apakah, hikmah Allah menumpahkan ujian bertubi-tubi kepada saya. Yang pasti Allah tidak pernah zalim dan tidak buat perkara sia-sia atau untuk suka-suka.

Sebenarnya, boleh dikatakan hampir setiap hari, saya akan memanjatkan doa yang lebih kurang bunyinya begini:

"....ya tuhanku, selamatkanlah kedua ibu bapa kandungku, isteri, anak-anakku, adik-adikku dan kaum keluargaku daripada pelanggaran kereta, kemalangan jalan raya atau apa saja bencana yang disebabkan oleh kecuaian manusia.......,"

Tetapi saya tetap menerima ujian cukup hebat ini. Bila saya fikir dan ingat balik, rupanya saya hanya berfikir kecuaian manusia, sedangkan kecuaian diri sendiri saya tidak minta Allah hindarkan dan sepatutnya saya berdoa....

"Ya, Allah selamatkanlah kaum keluargaku daripada kecuaian dan kelemahan disebabkan oleh aku....."

Saya ceritakan hal doa kepada bonda, yang mengalirkan air mata melihat keadaan saya, yang bertali-arus ditimpa pebagai ujian.

"Azamin doa setiap hari mak, tapi jadi juga, kenapa ya?

"Sebenarnya, takdir itu telah Allah janji pasti terjadi... namun doa itu, menyebabkan kita tidak cedera parah, kereta tidak teruk sangat, dan kedua-duanya tidak melayang nyawa.

"Dan doa kita tidak boleh putus, terhenti akibat kejadian ini, dan kita disuruh berdoa lagi supaya, ianya tidak berulang lagi atau kalau takdir terjadi tidak teruk lagi," jelas ibu sambil teresak-esak bersyukur anaknya selamat.

"Demi waktu matahari sepenggalahan naik, dan demi malam apabila telah sunyi, Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada pula benci kepadamu, dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan.Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Surah ad-Dhuha ayat 1- 5

Sebenarnya, kemalangan yang hampir meragutkan nyawa ini, bukanlah pertama kali bahkan telah melintasi saya sudah tujuh kali sehingga menjadi trauma kepada saya, namun tidak berhasrat menceritakan semua, bimbang perasaan riak dan takbur tiba-tiba menerpa. Cuma yang pasti, kuasa semua di tangan Tuhan.

Jip terbalik seiring laungan Takbir!

Ketika itu, saya berkerja buruh bersama rakan Muhammad Fadhil, memunggah anak-anak benih getah di kaki bukit di suatu lokasi di Sungai Buloh dan dengan kerjasama RISDA, kami perlu menanam lebih 3,000 anak-anak pokok getah. Memunggah ke kaki bukit kerja kami dan menanamnya pula kami upah Orang Asli.

Kami lakukan kerja memunggah dari bawah ke kaki bukit pada sebelah pagi. Kami menaiki jip 1 tan, boleh muatkan 3 orang. Sekali naik boleh letak 200 benih pokok getah di bahagian belakang.

Saya melakukan kerja itu, sebulan lebih, sehingga kulit saya hitam, bertukar warna, kerana terik dibakar mentari. Ketika balik kampung, ibu saya, bercucuran menangis melihat keadaan saya yang kurus, hitam dan botak seolah-olah baru keluar dari penjara ataupun baru melakukan kerja teramat teruk.

Memang kerja teruk, memunggah anak-anak pokok getah setiap hari. Itu belum campur, gerun kalau-kalau harimau menjelma di balik belukar.

Suatu pagi yang bening, ketika jip 'mendaki' bukit, tiba-tiba di pertengahan jalan, enjin jip terhenti serta-merta. Tiba-tiba 'brek' dan 'hand brek' 'tak makan' dan tak berfungsi.

Apa lagi, mengelungsurlah jip kami ke belakang dengan lajunya menuju curam di bawah. Saya dengan panik bertempik dan jerit:

"Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!

Sekuat hati kami laungkan kalimah besar Tuhan itu, dan entah macamana, jip kami terbalik sebanyak dua kali dan tersadai di tengah-tengah bukit serta-merta, tidak jatuh ke curam yang dalam.

Saya dan rakan ketika itu berada dalam keadaan terbalik, kepala di tanah mendongak ke langit dan kakit terapung ke atas. Dengan saki-baki kekuatan yang ada, saya dan rakan cepat-cepat keluar daripada jip, khuatir ia jatuh ke curam.

Saya dan rakan dalam keadan mabuk-mabuk angin. Dan saya tidak dapat menahan lagi, lalu muntah.....

Kemudian secepat mungkin kami pergi ke gigi sungai berhampiran, membasuh muka, sambil meneguk air menghilangkan rasa loya dan pening. Sekembalinya ke tempat kejadian, kami lihat 'sekampung' Orang Asli telah mengerumuni jip tersebut sambil memandang kami dengan mata yang buntang.

Terus bercerita tentang Kuasa-Nya...

Kata Tok Batin, dia sudah mengarahkan orang-orangnya mencari saya dan rakan kalau-kalau jumpa di celah curam.

"Kami cari mayat tak jumpa, rupanya kamu masih hidup," katanya sekaligus membuatkan berjurai air mata saya, mengenangkan nyawa saya diselamatkan Allah jua.

Begitu juga, ketika masih kecil sekitar 1980 ketika usia 6 tahun, saya dan seisi keluarga terlibat dengan kemalangan jalan raya apabila sebuah kereta Nissan melanggar kereta kami, Toyota berwarna merah. Hari itu, minggu Tahun Baru Cina.

Nissan itu terbabas di dalam parit besar betul-betul berhadapan Balai Polis Bagan Serai, Perak manakala kereta kami kemek dan remuk teruk dihentam kereta itu, dan di seret ke tiang elektrik berhampiran.

Mujurlah, walaupun dalam keadaan bahagian hadapan dan belakang kereta kami hancur dan terpaksa guna khidmat polis dan bantuan orang ramai untuk mengeluarkan kami, namun kami tidak cedera. Maha kuasa tuhan yang menciptakan manusia.

Tahu saya di mana ketika itu? Saya terperusuk di bawah kerusi belakang, ketika sedang nyenyak tidur. Maha suci Allah menyelamatkan saya untuk terus bercerita...tentang kekuasaan-Nya sehingga kini. Amin.

"Selamat menyambut dengan penuh gembira dan ceria kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, moga terus tingkatkan doa dan amalan kepada Tuhan yang menyayangi kita sentiasa..." - dari saya Azamin Amin.

Setiap apa yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah Taala. Samada yang mengembirakan atau menyedihkan. Samada kesenangan atau kesusahan. Semuanya adalah peringatan dan isyarat dari Allah agar kita tidak terus alpa dan dalam kelalaian.
Kesenangan dan kegembiraan adalah untuk kita sentiasa mengigati betapa banyak nikmat dan kasih sayang Allah untuk kita. Dan betapa perlunya kita agihkan kesenangan dan kebahagian itu untuk yang memerlukan kerana Allah mengirimkan rezeki mereka melalui kesenangan dan kegembiraan kita.
Kesusahan dan kesedihan yang dilalui adalah untuk kita sentiasa sedar betapa kerdilnya diri kita. Betapa perlunya kita pada pertolongan dan perlindungan Allah. Betapa sebenarnya kita tak punya apa apa tanpa Rahmat dan kasih sayang Allah.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive