Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Khamis, 26 November 2009

Salam Aidil Adha.

Selamat Menyambut Aildil Adha. Selamat juga dalam mengerjakan ibadah korban. Moga keikhlasan dan kesungguhan melakukan ibadah korban akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Moga kisah disebalik ibadah korban ini akan dijadikan ikhtibar dan panduan kita dalam menjalani kehidupan sebagai hambaNya yang soleh.

Salam kemaafan juga kerana tak dapat update kan blog ini seperti lazimnya kerana keadaan tidak mengizinkan. Dan maaf kepada semua mengirim email kerana tak dapat membalas email anda semua. InsyaAllah,email akan dibalas bila keadaan mengizinkan.

Salam ukhuwwah.

Jumaat, 20 November 2009

UPSR: 48,171 gred A..Rohaninya bagaimana?


Seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran tahun ini berbanding 46,641 calon tahun lalu, meningkat 0.32 peratus.

Baki 319,336 calon memperoleh minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran, manakala 3,266 lagi memperoleh gred E atau sangat lemah bagi semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) yang menggunakan indeks cemerlang (semua A), baik (minimum C) dan sangat lemah (semua E).

GPN adalah indeks yang digunakan bagi merumus pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan serta ia dihitung berdasarkan lima gred pernyataan iaitu gred A (satu), B (dua), C (tiga) dan D (empat) dan E (lima).

Seterusnya di sini

# Tahniah kepada semua pelajar yang telah mengambil UPSR 2009.
Satu sindrom yang meluas di kalangan masyarakat kita ialah anak anak mesti dapat 5A. Sindrom yang jarang kita sedari sebenarnya sangat menekan pelajar itu sendiri.

Sikap sebegini tanpa disedari telah menanamkan rasa rendah diri yang serius bila anak gagal mendapat apa yang ditarget. Lebih serius bila pelajar 5A memasuki sekolah berasrama penuh yang mana rata rata pelajar di situ merupakan pelajar yang bijak bijak. Kegagalan mengekalkan prestasi terbaik boleh membuatkan pelajar tersebut putus asa dan tertekan.

Ini yang berlaku pada anak seorang rakan. Mujur perkara ini sempat disedari oleh ibubapanya. Itupun setelah anaknya dua minggu sakit tanpa dapat dikesan apa penyakitnya. Setelah diselidiki barulah rakan tersebut menyedari anaknya mengalami tekanan perasaan kerana gagal mendapat prestasi terbaik dalam exam tahunan.

Seminggu cuti rehat yang diberikan digunakan sepenuhnya untuk memulihkan kembali semangat dan keyakinan anaknya. Peringkat awal rakan tersebut menyatakan sangat sukar untuk meyakinkan anaknya bahawa penurunan keputusan hanyalah salah satu dari ujian dan dugaan hidup sebagai pelajar. Pelbagai hadis, ayat Al Quran dan sirah Nabi diberikan untuk memulihkan keyakinan anaknya.

Sebenarnya bukan anaknya sahaja yang mengalami keadaan tersebut. Kecemerlangan dalam pelajaran akademik sewajarnya hendaklah seiring dengan kecemerlangan rohani. Tidak salah untuk mendapat 5A,tidak salah juga untuk menjadi cemerlang tapi bila hanya akademik sahaja yang diutamakan maka jiwa akan kekosongan. Bila kejayaan dan kegagalan tidak disandarkan pada qada' dan qadar Allah maka syaitanlah yang akan memainkan peranannya. Kerana itu jiwa anak anak perlu disemai dengan asas asas aqidah. Anak anak perlu dididik bahawa berusahalah bersungguhnya sungguh dan bertawakkallah pada Allah. Anak anak perlu diberitahu ketentuan Allah mengatasi segala usaha manusia dan ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buatnya.

Sering seringlah bertanya anak anak apa khabar imannya hari ini...

Akibat cuba mengubah anugerah Tuhan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Hajat pelik seorang wanita yang bersungguh-sungguh mahu mengecilkan payudaranya menyebabkan dia menderita hampir lima bulan selepas dibedah doktor tidak bertauliah yang turut membuang puting buah dadanya.

‘Doktor’ berkenaan yang membedahnya hampir tiga jam menyebabkan payudara wanita itu mengecut mendadak sebelum dijangkiti kuman pada dada.

Lebih malang, mangsa yang membayar kos hampir RM24,000 untuk pembedahan kecantikan itu kini bimbang jangkitan kuman terbabit merebak, sekali gus meragut nyawanya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yew, 36, berkata dia yang juga seorang ‘pengkid’ mempunyai impian untuk mengecilkan payudara supaya kelihatan seperti lelaki normal.

Menurutnya, saiz buah dadanya yang besar menyebabkan emosinya terganggu sebelum berhasrat mengecilkannya.

“Atas nasihat rakan, saya berjumpa seorang pemilik salun kecantikan di Subang Jaya bernama Nancy. Hasil perbincangan pada awal Mei lalu, saya dipujuk menjalani pembedahan kecantikan dengan kos RM12,000.

“Bagaimanapun, jika mahukan hasil yang lebih ‘menawan’ saya diminta menambah RM3,500 selain beberapa bayaran lain.

Seterusnya di sini..


# Manusia selalu tidak puas dengan apa yang dimiliki.Al Khaliq Maha Menciptakan telah menciptakan manusia dengan sebaik baik penciptaan. Lelaki sempurna dengan sifat yang perlu ada pada lelaki dan wanita sempurna dan indah dengan penciptaan yang cukup halus. kenapa naluri manusia selalu mahukan sesuatu yang bukan diciptakan untuknya.
Sesungguhnya Al Muqsit, Al Adl Maha adil dalam menciptakan makhluknya. Bayangkan andainya diciptakan hidung manusia mendongak ke atas...bagaimanalah akan terjadi masa musim hujan. Perlukah hidung kita berpayung?
Bagaimana jika diciptakan lelaki boleh mengandung dan melahirkan? Sesungguhnya Al Musawwir Yang Maha Membentuk rupa mengetahui bentuk dan rupa apakah yang terbaik untuk manusia yang bernama lelaki dan wanita.

Salam Ukhuwah

Khamis, 19 November 2009

Kelebihan memuliakan tamu & Bersedeqah



Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata: "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik saja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.

Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut.

Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata: "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu: "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.


Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu keberkatan dan seribu kerahmatan.

#Kita berada dalam zaman yang sudah tidak begitu mengambil berat dalam soal memuliakan tetamu. Kadang kita terasa tetamu hanya menyusahkan kita kerana itu kita tidak begitu meraikan tetamu. Sedangkan tetamu membawa seribu keberkatan ke dalam rumah kita.

Begitu juga dengan amalan bersedeqah. Memberilah dengan ikhlas. Janganlah memberi sambil mulut membebel dan muka yang masam mencuka. Ingatlah mereka yang miskin juga mempunyai maruah dan harga diri. Jangan kita lupa harta dan kekayaan yang kita miliki sebahagiannya adalah untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.


Sesungguhnya amalan yang ikhlas akan mendapat ganjaran pahala dari Allah.


Rabu, 18 November 2009

Puasa di Bulan Zulhijjah


Puasa sunat pada hari Arafah. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Puasa pada hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim).

Hari Arafah adalah bertepatan dengan 9 Zulhijjah. Tidak ada dalil syarak yang menetapkan bahawa puasa Arafah mesti dilakukan serentak dengan masa wukuf jemaah haji di Arafah. Sebaliknya, ia disunatkan pada tanggal 9 Zulhijjah. Bahkan, dengan bentuk dunia yang bulat dan perbezaan waktu, puasa yang dilakukan di benua dan rantau selain dari tanah suci, tidak akan dapat dijalankan serentak dengan wuquf, walau dilaksanakan pada hari wuquf itu sendiri.

Bertakbir, bertahmid dan bertahlil kepada Allah, serta berselawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W. bermula dari subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar hari tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Ini berdasarkan Hadith Jabir r.a. yang bermaksud bahawa “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bertakbir pada solat Fajar hari Arafah, sehingga waktu Asar daripada hari tasyriq yang terakhir, selepas Baginda memberi salam dari solat fardhu.” (riwayat Ad-Daruqutni)

Melaksanakan ibadat korban pada EidulAdha sehinggalah penghujung hari tasyriq. Ibadat ini mengingatkan masyarakat Islam untuk sentiasa bersifat ikhlas dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ibadat ini juga dapat merapatkan hubungan dan menyebarkan kasih sayang di antara manusia, dengan perkongsian daging bersama mereka yang memerlukan, keluarga, sahabat dan jiran tetangga.


Apakah kelebihan berpuasa dalam bulan Zulhijjah? Apa pula kelebihan puasa hari Arafah?

Dari Hafsah r.a. menceritakan;أربع لم يكن يدعهن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم صيام عاشوراء والعشر وثلاثة أيام من كل شهر والركعتين قبل الغداة

“Empat amalan yang tidak ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘ashyr (yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah), puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, at-Thabrani dan an-Nasai)Maksud al-‘Ashyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Dzulhijjah hingga hari ke sembilannya. Disunatkan puasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari Arafah. Malah terdapat hadis lain yang menegaskan bahawa sepuluh hari awal Dzulhijjah adalah hari-hari paling baik untuk beramal dengan apa sahaja amal kebaikan, tidak tertumpu kepada puasa sahaja, iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى اللَّه من هذه الأيام:يعني أيام عشر ذي الحجة
“Tidak ada hari-hari di mana mengejakan amal soleh padanya paling disukai oleh Allah dari hari-hari ini; yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Adapun fadhilat puasa hari ‘Arafah iaitu hari ke 9 Dzulhijjah, Abu Qatadah r.a. menceritakan;

سئل رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم عن صوم يوم عرفة؟ قال: يكفر السنة الماضية والباقية
“Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang”. (Riwayat Imam Muslim)

Hari ‘Arafah adalah hari yang paling afdhal dari segala hari.[1] Ini kerana Rasulullah bersabda;

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْداً مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Tidak ada satu hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari api neraka dari hari ‘Arafah”. (Riwayat Imam Muslim)

Namun demikian puasa pada hari ‘Arafah itu hanya disunatkan kepada yang bukan jamaah Haji. Adapun jemaah Haji, mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut, akan tetapi disunatkan berbuka sebagai mengikuti Rasulullah s.a.w. dan untuk memperolehi kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut. Abu Hurairah r.a. menceritakan;

أنَّ النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم نهى عنْ صوم يومْ عَرَفَة بعَرَفةَ
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; “Orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w, berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah”. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya. (Riwayat Imam Muslim).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah.
2. Nailul-Authar, Imam as-Syaukani, 4/239.
3. Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253.
4. Subulus-Salam, Kitabu as-Shiyam, bab Shaumu at-Tatawwu’ wa Ma Nuhiya ‘An Shaumihi.

[1] Di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie ada dua pandangan berhubung hari yang paling afdhal iaitu;

a) Pandangan pertama; hari jumaat. Berdalilkan hadis Nabi s.a.w.;
خير يوم طلعت فيه الشَّمس يوم الجمعة
“Hari terbaik muncul padanya matahari ialah hari jumaat”. (Riwayat Imam Muslim)

b) Pandangan kedua; hari ‘Arafah. Berdalilkan hadis di atas. Inilah pandangan yang ashah. Adapun hadis kelebihan hari Jumaat, maka ditakwilkan sebagai hari paling afdhal di kalangan hari-hari dalam seminggu, bukan hari-hari secara keseluruhannya dalam setahun.
(Rujuk; Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, juz. 9, Kitab al-Hajj).

Jika ditanya; bagaimana pula dengan lailatul-Qadar? Maka apakah hari ‘Arafah lebih mulia dari lailatul-Qadar? Jawapannya; hari ‘Arafah adalah adalah hari paling mulia di antara hari-hari dalam setahun. Adapun Lailatul-Qadar, maka ia adalah malam yang paling mulia di antara malam-malam dalam setahun. Kerana itulah dalam hadis di atas disebutkan (من أيام), bukan (من ليال). (Lihat: Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253).


Makcik peragut

ALOR STAR: “Saya tak sedar peragut itu rentap rantai leher anak tapi nasib baik beberapa peniaga di sini ternampak perbuatan wanita terbabit.

“Anak saya pula tak menjerit atau menangis ketika rantai lehernya diragut, mungkin dia tak sedar,” kata Hamidah Ishak, 46, ibu mangsa ragut di pekan Kota Sarang Semut, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Nur Afza Adlina Ibrahim, 3, mengikut ibunya ke pasar pagi itu untuk membeli keperluan harian.

Difahamkan, peragut terbabit yang memakai baju kurung krim berbunga dan bertudung hitam ala mak cik mengekori mangsa sejak mereka tiba di pasar berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Hamidah yang tinggal di Kampung Alor Nibong, dekat ini, berkata sebaik sampai di pasar itu, dia terus mencari barangan keperluan harian sambil memimpin tangan Nur Afza.

“Tiba-tiba seorang peniaga lelaki di pasar itu menjerit beritahu ada seorang wanita meragut rantai leher anak saya.

“Dia dan beberapa peniaga lain mengejar wanita itu dan menahannya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star di sini, semalam.

#myMetro


Panduan pencegahan Penyakit Taun

Apakah itu Taun?
Taun adalah penyakit jangkitan bakteria Vibrio cholerae pada usus kecil dan ini menyebabkan cirit birit yang teruk.


Apakah tanda-tanda dan gejala?
•Cirit- birit mendadak yang banyak dan cair. Cirit - birit ini berbau busuk dan merupai air basuhan beras.
•Dehidrasi ( keadaan kekurangan air )
◦Kadar nadi/degupan jantung yang laju
◦Kulit kering
◦Terlalu dahaga
◦Mata cengkung
◦Tiada air mata
◦Letih lesu
◦Teramat mengantuk / lemah
◦Kurang kencing
◦Cengkung bahagian ‘ubun ubun ‘ bagi bayi
•Kekejangan abdomen
•Loya
•Muntah
Tanda / gejala muncul dalam beberapa jam hingga lima hari selepas terdedah kepada jangkitan.


Bagaimanakah penyakit ini merebak?
•Melalui makanan dan minuman yang tercemar dengan kuman taun.
•Kurang penjagaan kebersihan diri.
•Kurang rawatan pada air untuk di minum dan kumbahan/pembetungan.
Komplikasi
•Kehilangan cecair dari badan yang menyebabkan dehidrasi dan renjatan ( shock )
•Kematian / maut boleh berlaku dalam masa yang singkat jika tidak mendapat rawatan.


Rawatan
•Menggantikan cecair badan dan garam yang hilang.
•Berikan terapi Cecair Rehidrasi Mulut (ORS)
•Pemberian cecair cecara infusi intravena
•Pemberian antibiotik seperti; tetracycline, Doxycline dan Ciprofloxacin.


Bagaimanakah penyakit taun boleh di cegah?
•Sentiasa amalkan kebersihanan diri:
◦Basuh tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas dan sebelum penyediaan makanan.
◦Kekalkan kebersihan dan (sanitasi) sistem pembuangan tinja (najis)yang sesuai terutamanya selepas banjir atau bencana alam
•Elak makanan yang berisiko semasa berlaku wabak:
◦Sayuran mentah / ulam dan buah-buahan, makanan penjaja dan ais semasa berlaku wabak
◦Makanan dan jenis minuman dari penjual di tepi jalan (cendol dan buah potong)
◦Ais kecuali ais dibuat dari air masak atau air yang telah dibotolkan
◦Makanan tidak masak atau ikan mentah atau jenis kekerang
•Hanya makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna ataupun masih panas
•Gunakkan air yang bersih sahaja
•Hanya minum air yang telah masak atau air yang telah dibotolkan sahaja

Apakah tindakkan jika saya disyaki mendapat penyakit taun?
Jumpa Doktor anda dengan segera.

#ctkay's

Panduan khusus buat penduduk Terengganu yang sedang dilanda wabak taun.

Selasa, 17 November 2009

Kota Siputeh: SPR mohon penangguhan keputusan




KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah kosong.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah pun menetapkan untuk mendengar permohonan SPR Jumaat ini.

"Penasihat undang-undang SPR berkata mahkamah akan mendengar permohonan kita untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan terbabit Jumaat ini.


Berita Harian ONline

#Nak minta tangguh lagi ke..
Dah menang di Bagan Pinang hari tu bukan main yakin lagi bahawa sokongan rakyat dah mula kembali pada BN. Tugas SPR bukankah mengistiharkan kekosongan kerusi dan mengadakan pilihanraya..kenapa nak merayu lagi.
Kalau ada yang kata itu prosedur biasa..memanglah prosedur biasa kalau itu kes yang berlainan tapi ni kekosongan kerusi Kota Siputeh. Apa kena mengena dengan SPR..laksanakan aje tugas untuk wat pilihanraya kecil.
Lagipun rakyat di Kota Siputeh tentu sedang tertunggu tunggu hujan RM turun di kawasan mereka. Paling tidak lepaslah kos untuk buka sekolah tahun depan.


19 tahun PAS lulus KPI dengan cemerlang - Lim Kit Siang


Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama lima penggal berturut-turut adalah KPI cemerlang kerajaan PAS mengekalkan sokongan rakyat di negeri ini.

Kejayaan tersebut seharusnya menjadi landasan kepada Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha untuk menumbang kerajaan Umno – Barisan Nasional (BN) seterusnya menguasai Puterjaya.

Perjuangan ke arah itu mesti diperkasakan sepanjang masa demi menghapus ataupun melenyapkan sistem pemerintahan kerajaan Umno yang angkuh, sombong serta banyak menyusahkan rakyat.

Lim menyedari banyak kepincangan berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno terutama berkaitan struktur menangani sesuatu isu yang mana rakyat ingin melihat kesannya dari sudut yang adil seperti fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, beliau tetap malah terus dengan pendirian bahawa penubuhan SPRM adalah semata-mata demi untuk menjaga kepentingan politik kerajaan Umno dan ianya jelas menyimpang dari prinsip asal penubuhannya.

“Sampai ke hari ini kes penyelewengan jutaan ringgit dalam Umno melibatkan orang-orang ternama dalam politik Umno hanya bisu. Siasat juga, tapi siasatan tinggal siasatan sampai bertahun-tahun,” katanya pada satu majlis ceramah umum, dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyokong kenyataan Lim merujuk kepada beberapa isu seperti Perwaja, PKFZ yang hingga kini belum ada apa-apa tindakan terhadap mereka terbabit.

Lalu Abdul Hadi menegaskan kezaliman serta pembohongan dilakukan kerajaan Umno tidak boleh dimaafkan kecuali Umno bertaubat kerana perbuatan khianat dilakukan melibatkan hak rakyat.

“Kita mesti faham konsep ini, kalau sebut sahaja hak kerajaan, maknanya ia adalah hak rakyat,” katanya.


# Malangnya Umno berpandangan harta kerajaan adalah hak milik umno dan kroni sebab itu sesiapa yang pro kepada pembangkang di anak tirikan. Macam yang berlaku pada seorang rakan yang juga sorang ibu tunggal..nak mohon bantuan untuk buat bisnes kecil kecilan tapi bila sampai pejabat..depa duk bisik2 tu orang Pas..akhirnya balik dengan tangan kosong..

Sabtu, 14 November 2009

Kita cakap tak serupa bikin

1. Seseorang masuk kerja 8.35 pagi sedangkan waktu mula kerja ialah 8.30 pagi sudah dikira lewat datang kerja TETAPI sembahyang zohor pukul 2.00 atau 2.30 petang masih dikira awal mengikut tafsiran umum sedangkan waktu zohor adalah sekitar 1-1.30 petang. Bukankah ini salah faham namanya?

2. Kita mengeji dan mengutuk Amerika terutama di saat perang TETAPI ramai antara kita tidak boleh tinggalkan rokok yang dibuat oleh Amerika dan tidak kurang diantara kita peminat dan pembeli setia filem filem Amerika yang kaya dengan propaganda itu terutama filem aksi dan perang. Di satu sudut kita penentang dan di sudut yang lain kita penyokong dsn pendokong mereka.

3. Bila ada pelancaran skim amanah saham maka berduyun duyunlah orang pergi untuk melabur TETAPI bila pelancaran untuk Tabung derma(saham akhirat) untuk mengumpul 1 jutapun payah untuk rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 22 juta. Malah memakan masa berbulan bulan walaupun telah mendapat publisiti meluas.


4. Kita sangat sensitif dan terharu bila mendengar atau melihat ibubapa yang mendera fizikal anak anak kecil dan membuang bayi merata rata seperti sampah TETAPI kita jarang rasa sedih dan terharu apabila ramai ibubapa yang mendera anak anak secara maknawinya dengan tidak mendidik mereka menjadi anak anak yang soleh. Tidak mengenalkannya dengan kalamullah,tidak mengajar dan bertegas tentang solat,tidak menyuruh menutup aurat dengan sempurna dan sebagainya agar mereka tidak didera oleh malaikat di dalam kubur dan neraka. Bukankah penderaan seperti ini lebih meluas di dunia ini. Bukankah ini juga perbuatan membuang anak iaitu membuang anak ke dalam api neraka. Mana lebih hina membuang anak dalam tong sampah atau membuang anak ke dalam neraka.Anak yang dibuang dalam tong samapah belum tentu akan masuk neraka jika dia hidup tapi anak yang rosak hidupnya kesudahannya akan ke neraka jua.

5. Kita selalunya akan cepat cepat mengucapkan terima kasih pada sesiapa yang membantu kita dan akan mengenang jasanya sampai bila bila TETAPI dengan Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya,setiap detik,setiap saat,kita jarang rasa terhutang budi dan berterima kasih padaNya menurut cara yang dituntutNya.Walaupun Dia tidak berhajat pada rasa terima kasih kita.

6. Kita pasti merasa malu dan terhina apabila ada yang mendedahkan keaiban kita TETAPI tidak pula merasa malu dengan Tuhan yang sudah sedia tahu kesalahan kita lahir dan batin,kecil atau besar. Malah kita boleh bersembunyi melakukan dosa kerana takut diketahui oleh manusia lain sedangkan kita tidak mempunyai tempat untuk bersembunyi dari pengetahuan Allah.

7. Kita selalu merasakan dia salah,dia jahat,dia tak betul,dia menyeleweng dan sebagainya TETAPI kita jarang sekali merasakan bahawa aku jahat,aku berdosa,aku tak betul,aku bersalah kerana mungkin kerana aku dia jadi begitu.

Renung renungkan mungkin ke tujuh tujuh sifat ini ada dalam diri kita.

#Kenapa Allah Murka

Jumaat, 13 November 2009

Perkara Aneh

Nabi Allah Isa A.s pernah mendaki sebuah gunung dan melihat seorang tua sedang menyembah Allah di tengah panas matahari.

Nabi Isa menegurnya.
"mengapa anda tidak mencari tempat naungan untuk berteduh?"

"Wahai Nabi Allah,aku mendengar dari para nabi bahawa aku tidak hidup lebih dari 700 tahun. Maka aku tidak memikirkan apa yang namanya tempat berteduh."

"Akan kusampaikan kepadamu sesuatu hal yang lebih ajaib dari itu." Ucap Nabi Isa

"Apa?"Tanya ahli ibadah itu.

"Pada akhir zaman akan ada kaum yang usianya pendek tidak lebih 100 tahun.Namun mereka mendirikan bangunan dan gedung gedung. Mereka punya angan angan untk hidup 1000 tahun."

Ahli ibadah itu menjawab:
" Wallahi! Andai aku sempat sampai zaman tersebut akan kujadikan usiaku dalam sekali sujud."

Nabi Isa berkata lagi:
"Ada yang lebih aneh lagi apabila anda masuk ke gua ini."

Dan setelah abid tua itu masuk. dia melihat sebuah ranjang dari batu yang di atasnya ada satu mayat berbujur dengan alas batu yang bertulis:

"Aku si polan,seorang raja. Telah dipanjangkan usiaku sampai 1000 tahun,membangunkan 1000 kota,memperisterikan 1000 gadis dan telah mengalahkan 1000 askar. Tapi akhirnya menjadi seperti apa yang engkau lihat ini."

#Letakkan dunia yang fana di dalam tangan. Akhirat yang kekal di dalam hati. Sehebat manapun manusia,sekaya manapun manusia namun akan tetap mati kerana yang kekal hanya Allah. Dunia hanya sekadar persinggahan untuk menghimpun amalan yang baik sebagai bekal di persinggahan abadi. Allah telah membentangkan kita dua jalan,jalan kebaikan dan jalan kemungkaran. Beruntunglah orang orang yang mensucikan jiwanya dan rugilah orang orang yang mengotorkannya.

Rabu, 11 November 2009

Gegaran Allah untuk Pas


Mutakhir ini pelbagai 'insiden' melanda Pas. Ujian dalam perjuangan,inilah mehnah dan tribulasi yang mesti ditempuhi bermula dari Mursyidul Am,Presiden,Pemimpin pusat,Perhubungan Negeri,Kawasan dan cawangan hatta orang yang berada diluar PAS pun turut merasai dan tumpang sekaki 'kemelut' yang melanda. Samada ianya terjadi kerana kesalahan individu dalam PAS sendiri ataupun diciptakan dengan tambahan rempah ratus untuk memanaskan dan menyedapkan lagi cerita,Tafsirlah dengan pemikiran yang berhemah.

Tak salah kalau kita melihat dari sudut yang lain. Mesyuarat Khas sudah,seminarpun sudah..tunggulah apa keputusan dan tindakan dari Jawatankuasa Disiplin pula. Harapnya ianya mampu menutup mulut dan menghentikan tulisan tulisan liar yang menghentam 2 TG dan pemimpin PAS.

Manusia tidak hebat. Tuan Guru pun tidak hebat. Yang lebih hebat ialah Allah Taala. Allah mengaturkan segala sesuatu kerana Allah tahu segalanya. Sesekali Allah memberikan goncangan dan tamparan kecil bila kita mula lupa dan lalai. Tamparan yang bukan untuk melumpuhkan tapi untuk menyedarkan kita agar kembali kepada matlamat dan prinsip sebenar.

Apa yang berlaku adalah kasih sayang Allah. Bila manusia merasakan dia hebat dan manusia merasakan ada manusia lain yang hebat maka Allah memberikan peringatan bahawa Allah lebih hebat.Bila manusia mulai lalai,maka Allah datangkan peringatan agar sedar. Apa yang berlaku adalah satu proses pembersihan samada untuk membersihkan hati hati dari cinta pangkat,harta dan dunia atau membersihkan perjuangan dari insan yang tidak ikhlas.

Segala amal kebaikan akan terhapus hanya dengan ada sedikit rasa riya'. Rasa riya' bukan sesuatu yang boleh dikawal dengan tangan atau mulut. Ianya berada jauh di dasar hati. Yang boleh mengawalnya hanya apabila kita benar benar ikhlas dengan apa yang dilakukan. Tidakkah merugikan bila pelbagai kebaikan dilakukan tapi di sisi Allah,ianya kosong,hampas saja. Mungkin kerana itu Allah memberikan sedikit gegaran.
Itu tanda Allah kasih,Allah sayang.Bukan kerana Allah benci dan bukan kerana jalan perjuangan itu salah.

Musuh musuh Allah samada dari jenis syaitan atau manusia,akan terus mengintai ruang ruang yang kosong untuk mencucuk jarum berbisa bagi melumpuhkan gerakan Islam. Mereka akan sentiasa menyusun strategi dan perancangan untuk menghancurkan Islam. Dan kadang kita tidak sedar kita menolong melengkapkan perancangan itu atau kita sudah terlupa siapa sebenarnya musuh kita lalu 'pisau pisau tumpul' dihunuskan pada sahabat sendiri. Walau tidak sampai mematikan tetapi tercalar dan rasa sakit tetap singgah di hati sahabat tadi.

Musuh akan terus melaksanakan tugas untuk menghancurkan Islam. Dan tugas kita yang berada dalam jamaah Pas,teruskan kerja kerja dakwah untuk mendaulatkan prinsip prinsip Islam. Kalaupun adapun sesuatu yang tidak dipersetujui,tegurlah dengan berhemah. Seperti kata TGHH,jangan jadi seperti beruang yang menampar lalat di pipi tuannya.

Ingatlah kisah Syaidina Ali bila ditanya dikalangan sahabatnya: Mengapa di zaman engkau banyak berlaku perselisihan tidak seperti di zaman Umar dan Abu Bakar? Jawab Ali: kerana di zaman Abu Bakar dan Umar,rakyatnya adalah aku. Tapi di zaman aku,rakyatnya adalah kamu"

Sekadar untuk renungan:
"Adakah kamu menyangka kamu akan dimasukkan ke dalam syurga padahal kamu belum menempuh pengalaman umat terdahulu daripada kamu,mereka mengalami pelbagai penderitaan,kemudaratan dan gegaran sehingga Rasul dan orang yang bersamanya berkata:"Bilakah lagi pertolongan Allah akan tiba." ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir tiba."
Al Baqarah:214

Salam ukhuwah.

Isteri Datuk Kamarudin meninggal dunia

Sekalung takziah kepada Datuk Kamarudin Jaafar dan keluarga di atas kematian isteri beliau, Datin Kamariah Kamarudin yang meninggal dunia jam 6 pagi ini selepas sekian lama melawan kanser.

Datin Kamariah meninggal di rumahnya di No 2, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya, di hadapan anak-anaknya kerana suami beliau, Datuk Kamarudin, anggota Parlimen Tumpat yang juga AJK PAS Pusat masih dalam perjalanan pulang dari Qatar.

Beliau bergegas pulang ke Malaysia selepas mengetahui isterinya tidak sihat malam tadi. Kamarudin, bekas Setiausaha Agung PAS, dijangka akan sampai ke KLIA tengahari ini.

Allahyarhamah Datin Kamariah, 50-an, telah sekian lsama menghidap kanser usus dan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) termasuk kimoterapi.

Suami beliaulah, walaupun dalam keadaan sibuk, sentiasa berada di sisinya termasuk berada bersama beliau setiap kali mendapatkan rawatan kimoterapi di SJMC.

Semoga roh allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh. Al Fatihah.



Selasa, 10 November 2009

Liputan akhbar Cina: "PAS terus bersama PR"

"Seminar politik memperkasakan parti" yang diadakan pada 7 November boleh menjadi detik sejarah yang penting untuk PAS, khususnya dilihat dalam konteks politik Malaysia, tetapi tidak mendapat liputan yang luas dalam media cetak bahasa Cina. Sebaliknya, akhbar Cina lebih berminat terhadap Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua MCA, lantaran pergelutan parti itu yang belum selesai.

Antara media cetak bahasa Cina, Sin Chew Daily memberi liputan yang paling luas (secara perbandingan) untuk laporan seminar politik PAS. Malah, isu ini disentuh dalam kolum dan ruang lidah pengarangnya pada 9 November. Selain itu, komen terhadap seminar PAS boleh didapati di Nanyang Siang Pau, sementara media cetak Cina selainnya tidak/belum mendalami isu ini dalam bentuk analisa ataupun komen.

Kesemua media cetak Cina menonjolkan "PAS terus bersama Pakatan Rakyat" sebagai tajuk laporan utama pada 8 November. Kandungan laporan merangkumi pandangan kedua-dua orang ahli panel yang berlatar-belakangkan akademik, selain reaksi perwakilan yang menyelar Profesor Abdul Aziz Bari.

Sinchew Daily

Muka surat ketiga Sinchew Daily pada 8 November disarat hampir penuh dengan laporan seminar politik PAS, bertajukkan "Tiada rundingan kerjasama dengan UMNO lagi". Selain ucapan Presiden PAS, pembentangan survey oleh Profesor Abu Hassan Hasbullah yang menunjukkan penurunan sokongan terhadap PAS, khususnya terhadap pimpinan Hadi Awang, juga dijadikan tumpuan.

Timbalan Ketua Pengarang Sinchew Daily, Tay Tian Yan dalam kolumnya pada 9 November yang bertajuk "Pak Lah versi PAS", membandingkan Hadi Awang dengan bekas Presiden PAS, Allahyarham Fadzil bin Mohd Noor. Tay menuduh Hadi Awang tidak menunjukkan prestasi, berdasarkan kenyataan bahawa PAS Terengganu yang dipimpininya telah kehilangan kerajaan negeri, sehingga "tsunami politik" pun gagal menyelamatkannya.

Tay menulis, "Hadi Awang tidak memahami masalah PAS, malah nampaknya lebih tidak memahami dirinya. Beliau hanya menggunakan logik yang mudah, iaitu pertandingan bola sepak baru masuk separuh, mana boleh ketua pasukannya ditukar?"

"Teruknya, beliau tidak tahu pun peraturan asas dalam bola sepak. Di gelanggang, seandainya prestasi ketua pasukan tidak baik, apa yang dilakukan terlebih dahulu adalah menukarkannya. Kalau tidak, satu pasukan akan dibebankan olehnya... "tambah Tay.

Lawan PAS bukan lagi Pak Lah

Walau bagaimanapun, Tay menganggap Hadi bukannya jahat, cuma Hadi lebih sebagai ulamak daripada seorang pemimpin politik. "Beliau mengurung dirinya dalam suasana politik yang lama, bermundar-mandir antara ideologi keagamaan dan kemelayuan yang konservatif, dan gagal mengatasinya... Sehingga tsunami politik gagal melambungkannya ke puncak, lebih-lebih lagi, beliau dipengaruhi orang di sisinya yang membataskan perspektifnya."

Tay menyimpul, "(Gelaran) 'Pak Lah versi PAS' amatlah sesuai untuknya (Hadi). Persoalannya, lawan PAS kini bukan lagi Pak lah, tetapi Najib yang lebih cerdik".

Sementara itu, Lidah Pengarang Sinchew Daily pada 9 November yang bertajukkan "PAS perlu menghadapi realiti politik", menulis "...melihat kepada iklim politik selepas PRU Mac tahun lalu, PAS tidak ada lagi pilihan. Seandainya PAS ingin melakukan sesuatu dalam gelanggang politik Malaysia, maka ia perlu mengambil pendirian Islam yang sederhana, mengubal dasar yang lebih memperlihatkan keterbukaan. Amalan Islam Fundamentalist tidak menguntungkan PAS."

Malah, lidah pengarang ini menyimpulkan bahawa PAS, bahkan PR perlu berhenti mengungkit isu yang sensitif dan emosi, menghormati kemajmukan, mempertingkatkan kemampuan pentadbiran, bersaing secara sihat dengan BN untuk memanfaatkan rakyat.

Nanyang Siang Pau

Nanyang Siang Pau pula membubuh tajuk "Hadi: Idealisme perjuangan tidak diketepikan, PAS terus bersama PR" dalam laporannya pada 8 November, di muka surat A7.

Walau bagaimanapun, Nanyang Siang Pau mengikuti perkembangan isu ini pada 9 November dengan satu temuramah bersama Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang mendakwa "tiada lagi rundingan antara PAS dengan UMNO", dan hubungan pemimpin PAS kini semakin rapat.

Dalam satu analisa berjudul "Dua aliran dijangka membuka gelanggang baru" yang disiarkan pada muka surat A10, menganggap "pendamaian" ini hanya bersifat sementara, dan kedua-dua aliran ini dijangka bakal membuka gelanggang baru.

"Pertentangan antara dua aliran ini wujud dari segi idealisme mentadbir negara dan pengagihan kuasa dalam parti. Punca yang menjurus kepada keretakan ini adalah 'rundingan antara PAS-UMNO'."

Analisa ini melihat isu "kerajaan perpaduan" dibangkitkan pada zaman pemerintahan Najib hanya sebagai "pertimbangan strategi politik", memberi amaran agar golongan profesional dalam parti tidak terlalu cenderung kepada Anwar Ibrahim, di samping mengingatkan kedua-dua rakan sekutu PR agar jangan memperlekehkan kedudukan dan pengaruh PAS.

"Apa yang menarik selepas ini adalah, selepas menggugurkan strategi 'kerajaan campuran' ini, apakah pula strategi aliran 'ulamak' yang diketuai Hadi Awang untuk mengukuhkan kuasa dan pengaruh dalam parti," simpulnya.
BMW XPo. 3 days only. Click for details.

China Press

Tiada ulasan selanjutnya mengenai seminar politik PAS di China Press, setelah laporan pada 8 November di muka surat A19.

Lebih setengah muka surat diperuntukkan untuk seminar politik PAS pada 8 November, dengan tajuk utama berbunyi, "Hadi Awang: Bersama PR-- PAS tidak bekerjasama dengan UMNO".

Apa yang menarik ialah tajuk kecilnya, misalnya "Tuduhan 'Pak Lah versi PAS', Penceramah dikritik perwakilan" (merujuk kepada Abdul Aziz), "Tidak puas hati kerana kesetiaan dipertikai, Perwakilan bidas rakan sekutu PR" (merujuk kepada perwakilan Wilayah Persekutuan), "Hadi:Membawa perubahan untuk rakyat, terus berjuang bersama PR", "Hadi: Tidak letak jawatan biarpun dikritik", "Melenting kerana kritikan umpama orang primitif" (merujuk hujah Abu Hassan Hasbullah), "Masuk PR: Cakap tak serupa bikin" (merujuk kepada hujah Abdul Aziz Bari), "Abdul Aziz: PAS gagal jadi alternatif jika tidak menerima bukan muslim", "Hu Pang Chaw: Tidak pernah Melayu berpecah belah."

Oriental Daily dan Kwong Wah Yit Poh

Oriental Daily memperuntukkan keseluruhan muka surat A9 (tabloid) pada 8 November untuk laporan Seminar Politik PAS, dengan tajuk utama "Hadi menjaminkan peranan yang aktif, PAS tidak akan meninggalkan PR". Selain itu, wujud juga laporan yang bertajukkan "Penyokong Hadi bidas penceramah", dan "Profesor tegur PAS untuk menerima masyarakat bukan Islam." Tiada analisa disusuli pada hari berikutnya.

Kwong Wah Yit Poh yang berpusat di Pulau Pinang pula hanya melaporkan seminar ini pada 8 November, di muka surat A19, dengan tajuk "Hadi: Memimpin perubahan, PAS terus bersama PR".

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 8 dan 9 November 2009, berkisar pada Seminar Politik Memperkasakan Parti, PAS.

MerdekaReview

Isnin, 9 November 2009

Jangan Tebuk Kapal Kalau Tak Setuju Dengan Kapten

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sekiranya ada dikalangan ahli-ahli PAS tidak bersetuju dengan beliau, mereka tidak boleh melakukan perkara yang menyebabkan PAS menjadi rosak.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penanguhan menggantikan Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Seminar Memperkasakan PAS di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Taman Melewar semalam.

Tuan Guru Nik Aziz terpaksa pulang awal kerana tidak sihat dan uzur.

”Tak setuju dengan kapten, jangan tebuk kapal, walaupun ada ahli yang mabuk laut dalam pelayaran (pejalanan PAS), (namun) tak ada yang terjun dari kapal,”katanya

Beliau menegaskan akan terus menerajui PAS kerana amanah yang telah diberikan kepadanya melalui Muktamar PAS yang lalu.

”Kepimpinan adalah amanah, baju amanah tak akan dibuang, walaupun ujian yang hebat dan jauhnya perjalanan,”jelasnya.

Beliau juga mengingatkan perwakilan yang hadir, menegur pemimpin jangan jadi seperti beruang yang tampar lalat di muka tuannya.

Jumaat, 6 November 2009

Kita sebenarnya........


......lebih gembira menyambut 1 Januari daripada 1 Muharram !

......lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal !

......lebih membesarkan hari Sabtu dan Ahad daripada hari Jumaat !

......lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan !



......lebih suka lepak, tidur, tengok TV..dll daripada Solat dan mengaji !

......lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah !

......lebih suka menyebut hello! dan hi! daripada Assalamualaikum !

......lebih suka menyanyi dangdut, rap, hip-hop...dll daripada berwirid atau bertahmid!

......lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri !

......lebih suka membaca majalah hiburan daripada buku-buku agama !

.

......lebih suka ke konsert, karaoke daripada ke ceramah agama !

......lebih suka memaki, mengumpat orang daripada memuji mereka !

......lebih suka mencarut, @#!*@!! daripada menyebut MasyaAllah !

......lebih suka kemungkaran daripada membuat kebaikan !

......lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan
keimanan kita !

......lebih cintakan dunia daripada urusan akhirat !

TETAPI bila ditanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab bahawa...

KITA SEBENARNYA......lebih suka menuju ke Syurga daripada ke Neraka !

Layakkah kita dengan Syurga milik Allah???

#iluv Islam

Renung renungkan di mana diri kita.
Cukupkah dengan solat,puasa dan zakat kita ATAU masih ada ruang ruang kosong yang diisi dengan sesuatu yang menzalimi diri kita sendiri atau ruang ruang yang kita biarkan ianya berlalu yang merugikan diri kita. Kerana hidup hanya sekali. Apakah sudah memadai benih benih yang disemai semasa hidup untuk dipungut hasilnya d akhirat nanti

Rabu, 4 November 2009

Kelantan Hanya dapat Wang Ehsan...

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ekoran pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan sahaja kepada rakyat Kelantan dan bukannya royalti, Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini.

Ia bermula apabila ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub meminta Najib menjelaskan bilakah tuntutan royalti kerajaan negeri Kelantan akan dilangsaikan oleh Petronas.

Menjawab soalan itu, Najib menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan wang ehsan langsung kepada rakyat Kelantan.

Dewan menjadi kecoh dengan njawapan yang diberikan Najib itu kerana ia dianggap menipu dan menafikan hak rakyat Kelantan.

Beberapa ahli Parlimen bangun lalu menegaskan bahawa persoalan royalti itu adalah penting untuk rakyat Kelantan.

Mereka yang terbabit, termasuk Salahuddin sendiri diminta duduk oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Salahudin kemudiannya diberi amaran keluar dewan beberapa jam jika enggan mendengar penjelasan Najib

"Yang penting, kita nak tolong rakyat Kelantan. selepas kita ada semangat nak runding dengan kerajaan negeri, yang penting rakyat dapat manfaat daripada wang ehsan," kata Najib.

"Apa nak dipertikai lagi? Yang penting, rakyat Kelantan mendapat wang ehsan dari (kerajaan) Persekutuan," sindir Najib.

Tanpa laluan Speaker, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bangkit dan menjelaskan bahawa penjelasan yang diberikan itu tidak menyelesaikan soal kuasa persekutuan dan negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Petronas bersama kerajaan persekutuan-negeri.

Pun begitu, Speaker memberi laluan kepada Siti Zailah Mohd Yusoff bercakap mengenai isu royalti Kelantan itu dengan alasan ahli Parlimen Rantau Panjang itu boleh dikatakan mewakili rakyat Kelantan.

"Kenapa sebelum ini kerajaan (Persekutuan) tidak pernah mempertimbangkan hak rakyat Kelantan diberikan wang ehsan?" soal Siti Zailah dengan nada yang tegas.

"Setelah rakyat dinafikan hak bertahun-tahun, sekian lama, sekarang hak rakyat Kelantan baru nak dipertimbangkan."

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat meminta Najib menjelaskan soal jaminan persekutuan melangsaikan tuntutan royalti minyak tersebut.

"Apa jaminan kerajaan (persekutuan) bahawa royalti ini disalurkan kepada kerajaan Kelantan dan rakyat, bukannya kepada JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) yang dilantik kerajaan Persekutuan?" soalnya lagi.

Najib dalam nada yang sinis menjelaskan bahawa sepatutnya rakyat Kelantan tidak ada hak mendapat royalti tersebut.

"Selama ini, kerajaan Kelantan tidak ada hak menerima (royalti minyak), sebab ini melibatkan kawasan pertindihan. Sekarang ini, kita dapat sahkan bahawa ada blok (kawasan minyak dalam laut) yang boleh dipertimbangkan...kita pastikan hanya rakyat Kelantan akan dapat manafaat," kata Najib.

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekali lagi bangkit memprotes jawapan lisan itu.

Bagi mengelakkan Najib terus dipertikai, anggota dari Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusoff bangkit lalu memohon laluan Speaker untuk menjawab soalan lisan seterusnya, yang melibatkan kementeriannya.

Mengikut pengalaman di Terengganu, wang ehsan diberikan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan diagihkan menerusi jabatan dan egensi di bawah kerajaan pusat.

Dari segi pelaksanaannya pula, ia akan melalui ketua-ketua bahagian Umno di negeri itu.

Petang semalam, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub mendesak kerajaan pusat supaya membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana yang dilakukan kepada negeri-negeri lain.


Cadangan Salahudin ini berikutan dari tuntutan kerajaan negeri Kelantan agar Petronas membayar royalti petroleum sebanyak 5 % sebagaimana yag dinikmati oleh negeri-negeri yang lain yang dikeluarkan minyak dari perairannya.

Tuntutan Kelantan ini disokong oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian ini bagi pihak Petronas dahulu.

Ketika itu beliau adalah Pengerusi Petronas.

Tuntutan ini juga disokong oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka akan menjawab perkara ini di Dewan Rakyat hari ini.
HarakahDaily

Selasa, 3 November 2009

ATM telan duit laa..


Pernah guna MESIN ATM untuk deposit duit masuk dalam akaun tak? Apa anda akan lakukan jika Mesin tersebut menelan duit anda tapi menedang kad anda? Maka, dimana duit anda disimpan? Hilang !!

Mr. Mao seorang warganegara China di shenzhen memasukkan 7,000 yuan (hampir 1000 dollar) ke dalam mesin ATM untuk disimpan setelah bekerja penat. Tetapi setelah duit dimasukkan, Kadnya telah ditendang dan duitnya telah ditelan hilang begitu sahaja.

Kemudian Mao cuba mesin ATM yang lain dan mendapati duitnya tidak masuk di dalam akaunnya. Maka Mao membuat keputusan untuk menunggu di hadapan mesin tersebut untuk tidak benarkan sesiapa pun menggunakannya selagi dia tidak mendapatkan semula duitnya.

Oleh kerana Mao ingin menunggu di hadapan mesin itu sehingga bank buka, Mao telah menghubungi keluarganya untuk membawakan bantal dan tilam untuk dia tidur di hadapan mesin itu.

Keesokkan paginya, pemilik bank tersebut memeriksa semula mesin tersebut dan memulangkan semula duit Mao.


Isnin, 2 November 2009

Dr. Asri diitangkap!

Mon | Nov 02, 09 | 12:24:03 am MYT
KUALA LUMPUR,2 Nov:Bekas MuftiPerlis Dr Asri Zainul Abidin telah ditangkap oleh pihak polis dan pegawai JAIS jam 12.15tengah malam tadi. Iklan

Dipercayai tangkapan itu,berikutan dakwaan beliau yang dikatakan mengajar tanpa tauliah.

Beliau dipercayai di bawa ke balai polis Hulu Kelang untuk diambil keterangan.Turut serta bersama beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang,Shaari Sungib.

Berita menyusul kemudian_


http://harakahdaily.net/

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails