Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Rabu, 11 November 2009

Gegaran Allah untuk Pas


Mutakhir ini pelbagai 'insiden' melanda Pas. Ujian dalam perjuangan,inilah mehnah dan tribulasi yang mesti ditempuhi bermula dari Mursyidul Am,Presiden,Pemimpin pusat,Perhubungan Negeri,Kawasan dan cawangan hatta orang yang berada diluar PAS pun turut merasai dan tumpang sekaki 'kemelut' yang melanda. Samada ianya terjadi kerana kesalahan individu dalam PAS sendiri ataupun diciptakan dengan tambahan rempah ratus untuk memanaskan dan menyedapkan lagi cerita,Tafsirlah dengan pemikiran yang berhemah.

Tak salah kalau kita melihat dari sudut yang lain. Mesyuarat Khas sudah,seminarpun sudah..tunggulah apa keputusan dan tindakan dari Jawatankuasa Disiplin pula. Harapnya ianya mampu menutup mulut dan menghentikan tulisan tulisan liar yang menghentam 2 TG dan pemimpin PAS.

Manusia tidak hebat. Tuan Guru pun tidak hebat. Yang lebih hebat ialah Allah Taala. Allah mengaturkan segala sesuatu kerana Allah tahu segalanya. Sesekali Allah memberikan goncangan dan tamparan kecil bila kita mula lupa dan lalai. Tamparan yang bukan untuk melumpuhkan tapi untuk menyedarkan kita agar kembali kepada matlamat dan prinsip sebenar.

Apa yang berlaku adalah kasih sayang Allah. Bila manusia merasakan dia hebat dan manusia merasakan ada manusia lain yang hebat maka Allah memberikan peringatan bahawa Allah lebih hebat.Bila manusia mulai lalai,maka Allah datangkan peringatan agar sedar. Apa yang berlaku adalah satu proses pembersihan samada untuk membersihkan hati hati dari cinta pangkat,harta dan dunia atau membersihkan perjuangan dari insan yang tidak ikhlas.

Segala amal kebaikan akan terhapus hanya dengan ada sedikit rasa riya'. Rasa riya' bukan sesuatu yang boleh dikawal dengan tangan atau mulut. Ianya berada jauh di dasar hati. Yang boleh mengawalnya hanya apabila kita benar benar ikhlas dengan apa yang dilakukan. Tidakkah merugikan bila pelbagai kebaikan dilakukan tapi di sisi Allah,ianya kosong,hampas saja. Mungkin kerana itu Allah memberikan sedikit gegaran.
Itu tanda Allah kasih,Allah sayang.Bukan kerana Allah benci dan bukan kerana jalan perjuangan itu salah.

Musuh musuh Allah samada dari jenis syaitan atau manusia,akan terus mengintai ruang ruang yang kosong untuk mencucuk jarum berbisa bagi melumpuhkan gerakan Islam. Mereka akan sentiasa menyusun strategi dan perancangan untuk menghancurkan Islam. Dan kadang kita tidak sedar kita menolong melengkapkan perancangan itu atau kita sudah terlupa siapa sebenarnya musuh kita lalu 'pisau pisau tumpul' dihunuskan pada sahabat sendiri. Walau tidak sampai mematikan tetapi tercalar dan rasa sakit tetap singgah di hati sahabat tadi.

Musuh akan terus melaksanakan tugas untuk menghancurkan Islam. Dan tugas kita yang berada dalam jamaah Pas,teruskan kerja kerja dakwah untuk mendaulatkan prinsip prinsip Islam. Kalaupun adapun sesuatu yang tidak dipersetujui,tegurlah dengan berhemah. Seperti kata TGHH,jangan jadi seperti beruang yang menampar lalat di pipi tuannya.

Ingatlah kisah Syaidina Ali bila ditanya dikalangan sahabatnya: Mengapa di zaman engkau banyak berlaku perselisihan tidak seperti di zaman Umar dan Abu Bakar? Jawab Ali: kerana di zaman Abu Bakar dan Umar,rakyatnya adalah aku. Tapi di zaman aku,rakyatnya adalah kamu"

Sekadar untuk renungan:
"Adakah kamu menyangka kamu akan dimasukkan ke dalam syurga padahal kamu belum menempuh pengalaman umat terdahulu daripada kamu,mereka mengalami pelbagai penderitaan,kemudaratan dan gegaran sehingga Rasul dan orang yang bersamanya berkata:"Bilakah lagi pertolongan Allah akan tiba." ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir tiba."
Al Baqarah:214

Salam ukhuwah.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails