Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Khamis, 30 Julai 2009

HADIAH TERBAIK DAN TERBURUK



Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Loqman al-Hakim seraya berpesan: “Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan.” Setelah disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.

Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik daripada kambing iru.

Setelah kambing disembelih, Loqman mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu. “Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?” tanya ibu tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab: “Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya.”

Mendengar jawapan itu, mengertilah ibu itu akan maksud Loqman, kerana hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan; begitu juga sebaliknya dari hati dan lidah itu terbit segala kejahatan dan keburukan.

Hati dan anggota badan merupakan nikmat nikmat utama Allah untuk hamba hambaNya. Hatilah yang akan mengarahkan setiap gerak laku anggota yang lain. Hati adalah ketua kepada anggota yang lain.Barangsiapa yang menggunakan nya untuk ketaatan terhadap Allah Taala dan menyerikannya dengan perbuatan yang menimbulkan kasih sayang Allah bermakna dia telah mensyukuri Allah Taala. Malah dia juga telah meletakkan anggota badanya pada kedudukan dan tempat yang baik kerana itulah sebab kenapa ia diciptakan. Maka dia akan mendapat ganjaran pahala dari ALLAH.

Di mana agaknya tingkat iman kita. Muqarrabin? Soleh? Atau mungkin hanya memiliki iman ilmu sahaja iaitu baru setakat tahu tentang Allah tapi belum mencintaiNya.Kerana belum mencintaiNyalah maka kita masih menderhaka,banyak larangan Allah kita langgar. Banyak suruhan Allah kita tinggalkan. Banyak nikmat Allah kita kufuri.

Mendengar perkataan neraka, sepatutnya terbit gerun di hati kita. Terpancar kengerian dan ketakutan di wajah kita. Begitu juga bila disebut pasal syurga. Sepatutnya akan meleleh air liur kita ingin merasai nikmat Syurga. Terpancar kegembiraan, seronok, rasa tak sabar menjadi penghuni syurga. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sama saja bagi kita. Kadang kita lebih takut majikan dari neraka. Kadang lebih takut hilang kawan dari hilang syurga.

Walaupun telinga disumbat pelbagai kengerian alam neraka, pelbagai keindahan di alam syurga. mata pula melihat pelbagai bala bencana bangunan runtuh, penyakit berjangkit seperti H1N1,thunami,jerebu,kepanasan global dan penyakit penyakit sosial tapi hati tetap tidak goyah dengan amaran Allah itu.

Hati yang bersih kecintaannya Pada Allah saja yang akan gerun dengan perkataan neraka dan akan merindui kehadiran syurga. Hati yang bersih, hati yang aman tenteram kerana hati hati yang beginilah yang akan menyelamatkan tuannya di dunia, mengawal tuannya dari derhaka kepada Allah dan menyelamatkan tuannya dari terjun ke neraka.

Moga moga Allah menggolongkan kita ke dalam kumpulan orang orang yang lurus dan bersih nalurinya lahir dan batin serta nmengikuti jejak dan kepercayaan yang haq dan beramal dengannya.

Salam ukhuwwah.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails