Teman teman Blogger
Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.
Selasa, 4 Mei 2010
Integriti PDRM harus dikembalikan
Kematian adik Aminulrasyid Amzah yang baru sahaja berumur 14 tahun akibat ditembak oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memilukan hati ramai pihak.
Namun kesedihan orang awam sudah pasti tidak akan dapat menandingi kesedihan yang dialami oleh ibu dan keluarga kepada arwah Aminulrasyid Amzah yang sehingga kini masih lagi tersentak dengan kejadian yang ngeri dan menyayat hati itu.
Jika ahli keluarga kita yang menjadi mangsa kejadian seperti ini, sudah pasti kita akan turut merasakan kesedihan yang sama. Persoalannya ialah, apakah kita mahu menunggu sehingga anggota keluarga kita menjadi mangsa untuk mula melakukan sesuatu?
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan menjadi sangat defensif bila dikemukan persoalan mengenai kes ini sehinggakan beliau mengeluarkan kenyataan yang “kebudak-budakan” seperti, “Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak.
“Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya.”
Ramai pihak yang terkejut bagaimana kenyataan sebegini boleh keluar dari mulut seorang KPN. Sebagai seorang ketua kepada PDRM, beliau seharusnya lebih berjiwa besar dan memahami kemarahan orang awam terhadap kes seumpama ini.
Satu lagi yang Musa perlu faham ialah kes seumpama ini melangkaui perbezaan politik yang ada di negara ini. Lihatlah bagaimana ahli-ahli politik daripada kedua-dua kerajaan dan pembangkang yang mengecam kejadian ini.
Sudah pasti apabila berlakunya kes seumpama ini, ramai yang akan marah apatah lagi mangsa adalah seorang remaja yang baru sahaja berumur 14 tahun!
Bukankah lebih banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghentikan kenderaan yang dipandu oleh anak muda tersebut selain daripada menembaknya di kepala?
Beliau seharusnya bersyukur oleh kerana orang-orang di Malaysia majoritinya masih bertindak secara rasional dan menunggu siasatan dijalankan terhadap kes ini tanpa melakukan tindakan diluar batasan undang-undang.
Respon Menteri Dalam Negeri
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut memarahi orang awam yang bising mengenai isu ini. Beliau meminta rakyat supaya berlaku adil terhadap anggota PDRM.
Apakah ketidakadilan rakyat terhadap PDRM? Lupakah beliau bahawa walaupun telah benyak kejadian kematian rakyat ditangan anggota PDRM, rakyat masih terus membayar pelbagai cukai agar kerajaan boleh membayar gaji anggota PDRM.
Tambahan lagi rakyat sedikitpun tidak melakukan apa-apa apabila baru-baru ini kerajaan menggunakan wang cukai yang dibayar oleh mereka untuk kenaikan gaji anggota PDRM. Tidak adilkah lagi rakyat kepada PDRM? Bagaimanakah pula dengan keadilan kepada rakyat yang diberikan oleh PDRM?
Seperti biasa, apabila berlaku kejadian seumpama ini, Menteri Dalam Negeri akan memberikan jawapan yang “standard”.
“Satu panel memantau siasatan polis terhadap kes itu akan dibuat, saya beri jaminan lantikan itu nanti akan pertimbangkan mereka yang benar-benar bebas, kita simpati terhadap apa yang berlaku, dalam masa yang sama ianya perlulah melalui proses keadilan,” kata Hishamuddin selepas merasmikan mesyuarat serentak 30 cawangan Umno bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat Raub pada 2 Mei lalu.
Berapa lamakah lagi rakyat perlu menanti agar panel yang bakal atau telah ditubuhkan ini untuk menyelesaikan kes ini? Apakah keluarga adik Aminulrasyid Amzah dan rakyat Malaysia perlu menanti selama bertahun-tahun barulah kes ini dapat diselesaikan?
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa siasatan terhadap kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah akan dilakukan secara terbuka dan “no cover up”. Lega hati rakyat mendengar jaminan perdana menteri itu. Akan tetapi bukankah perdana menteri turut memberikan jaminan yang sama apabila Teoh Beng Hock terbunuh dahulu? Sehingga kini kes Teoh Beng Hock masih belum selesai.
Kes-kes seperti ini akan terus berterusan jika masalah pokoknya tidak diselesaikan. Suka atau tidak, integriti PDRM sebagai pasukan yang seharusnya menjaga keselamatan awam perlu dikembalikan.
Salah satu cara yang paling baik untuk menggembalikan kepercayaan rakyat terhadap anggota PDRM ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis atau dalam bahasa inggerisnya di panggil Independent Police Complaint and Misconduct Commission (IPCMC).
Penubuhan IPCMC adalah cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang mana salah seorang anggotanya adalah Tun Hanif Omar yang juga bekas KPN. Suruhanjaya ini telah dilantik sendiri oleh kerajaan Malaysia sewaktu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.
Apa kebaikan IPCMC?
IPCMC adalah badan yang berperanan sebagai sebuah badan bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. Dengan adanya badan seperti IPCMC, anggota-anggota polis tidak boleh lagi bertindak sewenang-wenangnya kerana ada sebuah badan yang mengawasi mereka.
Selain daripada itu, mereka juga akan dikenakan hukuman jika melakukan kesilapan. IPCMC akan membantu PDRM untuk menggembalikan kepercayaan orang awam terhadap institusi tersebut yang semakin hari semakin hilang wibawanya akibat daripada pelbagai kes-kes sumpama kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah ini.
Kerajaan harus serius untuk membantu menggembalikan integriti PDRM dengan menubuhkan IPCMC. PDRM juga tidak harus melihat badan seperti IPCMC sebagai ancaman kepada mereka sebaliknya IPCMC boleh dijadikan sebagai salah satu sebab kepada anggota-anggota PDRM untuk bekerja dengan lebih baik.
Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar, exco-exco, ahli parlimen dan adun itu sendiri dipantau oleh rakyat dan “ujian penilaian” akan diberikan kepada mereka pada musim pilihanraya.
Jadi apa masalahnya dengan IPCMC untuk mengawasi PDRM?
sumber
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan