Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Selasa, 18 Mei 2010

Video yang mesti dilihat........



Ibu bapa sering mementingkan pencapaian terbaik untuk anak anak tapi mengabaikan pengisian rohani sebagai seorang Muslim. Sanggup berhabis untuk kelas kelas math,sains,muzik dan bermacam lagi tapi memandang ringan kewajipan solat dan keutamaan membaca Al quran.

Hayati kepintaran dan kepetahan kanak kanak berusia dua tahun ini. Anak anak seperti kain putih,ibu bapanya yang mencorakkannya mengikut apa bentuk acuannya.

Isnin, 17 Mei 2010

Syabas Sibu...berjaya bebaskan minda dari kotak yang sempit..



Tahniah dan syabas buat Pengundi di Sibu kerana berani membuat perubahan dalam sejarah politik di Sibu. Keberanian mengubah laskap politik Sibu sejak 28 tahun menjadi kubu kuat BN.

Agak mengejutkan apatah lagi selepas prk Bagan Pinang dan prk Hulu Selangor yang melihat betapa umpan ringgit yang lebat mencurah curah mengena di Bagan Pinang dan Hulu Selangor. Umpan yang sama,modul yang sama malah rasanya lebih hebat dicurahkan di Sibu. Dan ternyata pengundi di Sibu lebih celik dalam menilai perlunya satu perubahan.

Yang jelas umpan lesen judi yang diluluskan oleh BN ternyata ditolak oleh rakyat Sibu. Mungkin penyokong UMNo boleh menjadikan keputusan prk Sibu ini sebagai satu tazkirah untuk mereka. Cubalah berfikir di luar dari kotak kebiasaan. Cubalah renungkan betapa kalau non muslim boleh menolak 'gula gula' judi,apakah wajar penyokong umno yang melayu Islam masih terus memberi sokongan kepada parti yang menghalalkan judi.

Fikir fikirkan..jangan biarkan diri dan minda terus berada dalam 'kotak'yang sempit dan gelap...

Rabu, 12 Mei 2010

Sharizat Bantah Ujian Kehamilan Ke Atas Peserta PLKN Wanita

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dn Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini berkata kementeriannya membantah ujian kehamilan dijalankan sebagai keperluan bagi semua pelatih wanita dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata ini kerana ia membabitkan isu privasi sebagai perkara dasar. Oleh itu, beliau meminta Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) untuk menimbangkan semula cadangan kementerian bagi memperkenalkan modul kesihatan reproduktif dalam kurikulum PLKN.

Beliau menjelaskan mengikut undang-undang sedia ada, sebarang prosedur yang membabitkan kanak-kanak di bawah 18 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa.

"Saya amat bimbang dengan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak. Adalah malang jika wanita muda melahirkan anak di dalam situasi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sebagai respons terhadap satu laporan berita hari ini bahawa seorang pelatih berumur 18 tahun yang melahirkan anak di dalam tandas di kem Ovai di Papar, Sabah.

Berikutan insiden itu, MLKN mencadangkan untuk mewajibkan ujian kehamilan bagi pelatih wanita pada masa akan datang.

Katanya kementerian akan terus menyokong pandangan bahawa mendidik generasi muda mengenai reproduktif dan kesihatan sosial adalah penting bagi memberikan pengetahuan dalam hubungan yang sihat dan mengelak kehamilan remaja.

Katanya cadangan untuk memperkenalkan modul itu pada mulanya dicadangkan pada 2008 dan diluluskan Kementerian Pertahanan. - BERNAMA

Judi HALAL versi umno...


Menurut akhbar harian Cina, Sin Chew, menteri kewangan semalam secara rasminya memberi lesen judi judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan itu pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini.

BERJAYA akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak di negara ini yang mempunyai lesen.

Ia dijangka akan menggunakan lebih dua ratus kedai pertaruhan Toto yang dimilikinya itu untuk menerima pertaruhan.

#
"Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala dan mnengundi nasib dengan batang anak panah (yang digunakan mengundi nasib) adalah kekejian yang termasuk perbuatan syaitan.Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu mendapat keberuntungan.”...(Al Maidah : 90)

Bertambah lagi judi yang 'halal'.

Kemaruk sangatkah kera..jaan dengan keuntungan hasil judi? Yang haram dijelmakan menjadi halal. Kenapa? Adakah kerana Pak Jib cukup yakin dengan sokongan orang Melayu seperti yang diterjemahkan melalui 2 prk sebelum ini. Sokongan yang cukup kuat sehingga walau apa yang dilakukan oleh kera..jaan,orang melayu takkan bantah????


Menurut sumber lagi, masyarakat Islam akan dilarang daripada terbabit dengan pertaruhan bolasepak itu.

#
1. Walaupun dilarang..yang kaki judi akan tetap bertaruh...apa heran dengan 'dilarang' sedangkan lesen judi dah 'sah'. Sedangkan Judi yang Allah larang pemerintah boleh buat tak nampak apa sangat yang pemerintah larang....

2. Bila masyarakat Islam dilarang.. bermakna judi ini untuk orang bukan Islam....Adakah ini bermakna masyarakat bukan Islam..India,china,Singh,kadazan, dusun dan lain lainnya memang penggemar judi???

Rabu, 5 Mei 2010

Mahfuz: Tugas PAS memang untuk melawan BN..



Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan, apa salahnya menggunakan wang RM4 juta untuk mengalahkan Umno dalam pilihan raya umum ke 12 lalu asalkan ia bukan dari sumber yang tidak betul.

Bahkan, beliau sendiri sanggup untuk melakukan kerja menjatuhkan Umno dan BN yang sememangnya tidak baik itu jika diberikan wang sebanyak itu.

Bagi Mahfuz, isu itu sebenarnya, tidak wajar dipolemikkan kerana sebagai sebuah parti, memang menjadi kerja dan tugas PAS melawan kerajaan yang ada untuk menubuhkan kerajaan yang lebih baik.

Katanya, ahli PAS sanggup menggadaikan apa sahaja yang mereka ada untuk memperjuangkan Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas dakwaan blogger Sheikh Kickdefella atau Syed Azidi Abdul Aziz yang mendakwa beliau diberikan wang RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf menjatuhkan Umno dan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelang pilihan raya umum ke 12 lalu.

Jika sekiranya tidak benar pun dakwaan Kickdefella itu, beliau berkata, PAS sebagai sebuah parti politik akan tetap berkempen supaya rakyat menolak politik perkauman dan kezaliman yang dilaksanakan oleh para pemimpin Umno dan BN yang menggunakan prasarana kerajaan untuk melawan rakyat.

“Benar tidak benar dakwaan RM4 juta itu, memang saya tidak tahu, tetapi kalau tak benar pun, PAS tetap buat kerjanya berkempen supaya Umno BN kalah dalam pilihan raya depan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

“Kalau betul pun, apa salahnya, memang keberadaan PAS dan parti-parti pembangkang yang lain sejak PRU 12 lalu adalah untuk pertahan kerajaan negeri (Kelantan), kuasai negeri-negeri (hatta) kerajaan Persekutuan sendiri,” tegas beliau.

Menurut Mahfuz, imej Abdullah sememangnya buruk bukan sahaja di kalangan pembangkang, malah di kalangan ahli-ahli Umno.

Maka, media-media pro Umno tidak seharusnya menyalahkan PAS dan pembangkang, sekiranya kelemahan Abdullah itu dijadikan modal berkempen pada PRU 12 lepas.

“Dia (Abdullah) sendiri memang lemah (dan) kelemahannya itu melengkapkan kelemahan yang sedia ada pada Umno itu sendiri (iaitu) mengamalkan rasuah, perkauman melampau dan sebagainya.

“Dia adalah simbol kepimpinan Umno, kalau kita berkempen menyerang Umno, tetapi tidak menyerang Abdullah, itu ajaib namanya,” ujarnya.

Seperti sekarang, fokus PAS sendiri, menurut beliau sudah tentu berkempen kepada rakyat supaya menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sama juga sekarang, Najib adalah simbol kejahatan, simbol korupsi, simbol jenayah berprofil tinggi yang bukan saya saja pertikai, malah dunia sendiri sedang persoalkannya, kalau kita tak berkempen, itu kurang bijak namanya.”

Lanjutan itu, beliau turut meminta pihak berwajib yang dilihat cuba melaga-lagakan PAS dengan penulis Kickdefella, http://kickdefella.wordpress.com supaya menjelaskan motif di sebalik kenyataan masing-masing tentang senario politik tanah air belakangan ini.

“Berapa juta ringgit agaknya yang pemimpin Umno guna wang rakyat untuk rampas kerajaan negeri Perak?

“Benarkah RM100 juta duit rakyat dihabiskan oleh Umno BN untuk rampas semula Hulu Selangor baru-baru ini?

“Yang mereka (Umno) tahu memburukkan Datuk Zaid Ibrahim yang sudah pun bertaubat dengan pelbagai fitnah di media masa.

“Kenapa tindakan Umno menggadai dua telaga minyak kita (Blok L dan M) bernilai USD320 bilion pada Brunei tidak dilaporkan dengan baik?" soal beliau.

Menurut beliau, sepatutnya semua pihak lebih prihatin terhadap inisiatif kerajaan pusat membayar lebih RM77 juta pada firma perunding antarabangsa APCO Worldwide (IAC), firma yang dikaitkan dengan Zionis-Israel demi memperbaiki imej seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“RM77 juta dibayar pada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Zionis-Israel, sepatutnya (isu APCO) ini yang lebih dipedulikan,” jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya ada mana-mana jutawan sudi memberi sejumlah wang yang sama, RM77 juta kepada beliau untuk berkempen supaya Umno BN kalah dalam PRU13 kelak, beliau bersedia untuk mengambil duit tersebut.

“Iya...kalau ada jutawan mana-mana yang nak beri saya RM77 juta, bukan beri kepada syarikat pro Zionis-Israel, agar PAS boleh berkempen untuk mengalahkan Umno BN dalam pilihan raya (umum) ke-13 untuk dedah siapa Najib sebenarnya, saya akan terima,” ujarnya dalam nada berseloroh.

“Saya ingat, semua parti pembangkang pun sudi terima sumbangan ikhlas oleh mana-mana pihak kerana mereka pun mahu selamatkan Malaysia dari terus dimusnahkan oleh politik perkauman Umno ini,” katanya.

Beliau berkata, tanpa RM4 juta pun, ahli-ahli PAS tetap akan turun berkempen dalam pilihan raya demi menghadapi Umno BN.

“PAS bukan setakat RM4 juta, nyawa pun mereka akan wakafkan untuk perjuangan Islam, demi menjatuhkan kerajaan yang nyata menerima petunjuk APCO Zionis-Israel.”

Sejak beberapa bulan lalu, Kickdefella dilihat mengkritik Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta beberapa pemimpin PAS Kelantan secara terbuka menggunakan blog peribadinya.

Ekoran kritikan tersebut, beberapa pihak seperti Datuk Nik Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan), Fadli Shaari (Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri) serta blogger Tulang Besi atau Abdul Rahman Talib (pemilik blog MalaysiaWaves) bertindak mencabar beliau mendedahkan dalang di sebalik aktiviti korporatnya melalui Global Media Channel.

Demi membuktikan diri terlibat mempertahan kerajaan negeri Kelantan dari jatuh ke tangan Umno, Kickdefella mendedahkan bahawa beliau menerima RM4 juta dari pihak tertentu untuk menjalankan kerja-kerja mempertahankan kerajaan negeri.

Kini beliau disiasat oleh SPRM dan telah mendedahkan bagaimana dan daripada siapa wang itu diterimanya.

Dalam sidang medianya tengah hari tadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS terlibat memberikan wang itu kepada Syed Azidi namun beliau tidak tahu kalau-kalau ada pemimpin PAS terlibat.

Selasa, 4 Mei 2010

Integriti PDRM harus dikembalikan


Kematian adik Aminulrasyid Amzah yang baru sahaja berumur 14 tahun akibat ditembak oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memilukan hati ramai pihak.

Namun kesedihan orang awam sudah pasti tidak akan dapat menandingi kesedihan yang dialami oleh ibu dan keluarga kepada arwah Aminulrasyid Amzah yang sehingga kini masih lagi tersentak dengan kejadian yang ngeri dan menyayat hati itu.

Jika ahli keluarga kita yang menjadi mangsa kejadian seperti ini, sudah pasti kita akan turut merasakan kesedihan yang sama. Persoalannya ialah, apakah kita mahu menunggu sehingga anggota keluarga kita menjadi mangsa untuk mula melakukan sesuatu?

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan menjadi sangat defensif bila dikemukan persoalan mengenai kes ini sehinggakan beliau mengeluarkan kenyataan yang “kebudak-budakan” seperti, “Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak.

“Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya.”

Ramai pihak yang terkejut bagaimana kenyataan sebegini boleh keluar dari mulut seorang KPN. Sebagai seorang ketua kepada PDRM, beliau seharusnya lebih berjiwa besar dan memahami kemarahan orang awam terhadap kes seumpama ini.

Satu lagi yang Musa perlu faham ialah kes seumpama ini melangkaui perbezaan politik yang ada di negara ini. Lihatlah bagaimana ahli-ahli politik daripada kedua-dua kerajaan dan pembangkang yang mengecam kejadian ini.

Sudah pasti apabila berlakunya kes seumpama ini, ramai yang akan marah apatah lagi mangsa adalah seorang remaja yang baru sahaja berumur 14 tahun!

Bukankah lebih banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghentikan kenderaan yang dipandu oleh anak muda tersebut selain daripada menembaknya di kepala?

Beliau seharusnya bersyukur oleh kerana orang-orang di Malaysia majoritinya masih bertindak secara rasional dan menunggu siasatan dijalankan terhadap kes ini tanpa melakukan tindakan diluar batasan undang-undang.

Respon Menteri Dalam Negeri

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut memarahi orang awam yang bising mengenai isu ini. Beliau meminta rakyat supaya berlaku adil terhadap anggota PDRM.

Apakah ketidakadilan rakyat terhadap PDRM? Lupakah beliau bahawa walaupun telah benyak kejadian kematian rakyat ditangan anggota PDRM, rakyat masih terus membayar pelbagai cukai agar kerajaan boleh membayar gaji anggota PDRM.

Tambahan lagi rakyat sedikitpun tidak melakukan apa-apa apabila baru-baru ini kerajaan menggunakan wang cukai yang dibayar oleh mereka untuk kenaikan gaji anggota PDRM. Tidak adilkah lagi rakyat kepada PDRM? Bagaimanakah pula dengan keadilan kepada rakyat yang diberikan oleh PDRM?

Seperti biasa, apabila berlaku kejadian seumpama ini, Menteri Dalam Negeri akan memberikan jawapan yang “standard”.

“Satu panel memantau siasatan polis terhadap kes itu akan dibuat, saya beri jaminan lantikan itu nanti akan pertimbangkan mereka yang benar-benar bebas, kita simpati terhadap apa yang berlaku, dalam masa yang sama ianya perlulah melalui proses keadilan,” kata Hishamuddin selepas merasmikan mesyuarat serentak 30 cawangan Umno bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat Raub pada 2 Mei lalu.

Berapa lamakah lagi rakyat perlu menanti agar panel yang bakal atau telah ditubuhkan ini untuk menyelesaikan kes ini? Apakah keluarga adik Aminulrasyid Amzah dan rakyat Malaysia perlu menanti selama bertahun-tahun barulah kes ini dapat diselesaikan?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa siasatan terhadap kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah akan dilakukan secara terbuka dan “no cover up”. Lega hati rakyat mendengar jaminan perdana menteri itu. Akan tetapi bukankah perdana menteri turut memberikan jaminan yang sama apabila Teoh Beng Hock terbunuh dahulu? Sehingga kini kes Teoh Beng Hock masih belum selesai.

Kes-kes seperti ini akan terus berterusan jika masalah pokoknya tidak diselesaikan. Suka atau tidak, integriti PDRM sebagai pasukan yang seharusnya menjaga keselamatan awam perlu dikembalikan.

Salah satu cara yang paling baik untuk menggembalikan kepercayaan rakyat terhadap anggota PDRM ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis atau dalam bahasa inggerisnya di panggil Independent Police Complaint and Misconduct Commission (IPCMC).

Penubuhan IPCMC adalah cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang mana salah seorang anggotanya adalah Tun Hanif Omar yang juga bekas KPN. Suruhanjaya ini telah dilantik sendiri oleh kerajaan Malaysia sewaktu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.

Apa kebaikan IPCMC?

IPCMC adalah badan yang berperanan sebagai sebuah badan bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. Dengan adanya badan seperti IPCMC, anggota-anggota polis tidak boleh lagi bertindak sewenang-wenangnya kerana ada sebuah badan yang mengawasi mereka.

Selain daripada itu, mereka juga akan dikenakan hukuman jika melakukan kesilapan. IPCMC akan membantu PDRM untuk menggembalikan kepercayaan orang awam terhadap institusi tersebut yang semakin hari semakin hilang wibawanya akibat daripada pelbagai kes-kes sumpama kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah ini.

Kerajaan harus serius untuk membantu menggembalikan integriti PDRM dengan menubuhkan IPCMC. PDRM juga tidak harus melihat badan seperti IPCMC sebagai ancaman kepada mereka sebaliknya IPCMC boleh dijadikan sebagai salah satu sebab kepada anggota-anggota PDRM untuk bekerja dengan lebih baik.

Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar, exco-exco, ahli parlimen dan adun itu sendiri dipantau oleh rakyat dan “ujian penilaian” akan diberikan kepada mereka pada musim pilihanraya.

Jadi apa masalahnya dengan IPCMC untuk mengawasi PDRM?

sumber

Saksi nafi Aminulrasyid cuba rempuh polis



Penumpang yang juga rakan remaja 14 tahun yang ditembak mati oleh polis - Aminulrasyid Amzah menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis.

"Apabila ditembak, badannya terkulai di peha saya tetapi kakinya (Aminulrasyid) masih di accelerator yang menyebabkan kereta bergerak dan polis terus menembak,” katanya pada sidang media di rumah keluarga Aminulrasyid, hari ini.

Menceritakan kejadian Isnin lalu, Azamuddin Omar, 15 berkata, kereta berkenaan kemudian berlanggar dengan sebuah tembok dan polis terus menembak.

Azamuddin yang cedera pada bahagian lengan dan belakangnya juga mendakwa lima anggota polis kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah diri.

Pelajar tingkatan tiga itu masih ketakutan kini menjalani rawatan untuk trauma.

Bapa saudara kepada mangsa, Kamaruddin Hassan yang berada pada sidang media itu berkata pihaknya tidak mahu inkues berhubung pembunuhan itu seperti yang dicadangkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Kami mahu siasatan diraja kerana hanya itu sahaja cara bagi mendapatkan siasatan yang telus dan adil,” katanya.

Menurut peguam keluarga berkenaan, N Surendren, tidak perlu diadakan inkues kerana tidak ada pertikaian mengenai cara remaja itu meninggal dunia.

Kamaruddin juga membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan berkata pihaknya sedia mengundurkan polis jika orang ramai tidak lagi mahu mereka menguat-kuasakan undang-undang.

"Kami hormati polis tetapi mungkin ada yang diibaratkan sengai 'buah busuk' di kalangan mereka,” katanya.

Keluarga berkenaan juga merayu kepada semua pihak bagi menghentikan spekulasi dan membuat kenyataan yang boleh melukakan perasaan ibu Aminulrasyid.

Antara kenyataan itu, termasuk dakwaan bahawa dua remaja berkenaan adalah penjenayah dan keluarga mereka patut dipersalahkan kerana membiarkan budak-budak berkenaan memandu tanpa lesen pada waktu tengah malam.

“Ada juga ura-ura bahawa kakak mangsa akan juga didakwa kerana keretanya digunakan,” katanya lagi.

Malaysiakini

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails