Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Jumaat, 26 Februari 2010

Ketagih video lucah,rumah sendiri dirompak



Seorang pelajar perempuan yang ketagih menonton rakaman klip video lucah yang dibeli daripada dua rakannya sehingga berhutang lebih RM1,000 bertindak nekad membenarkan rumahnya di Jalan Haji Wan Latiff, di sini, dirompak rakannya itu bagi melunaskan hutang.

Pelajar Tingkatan Empat itu mengambil kesempatan ketika mereka sekeluarga bercuti di Kuala Lumpur, Khamis lalu, dengan membenarkan dua rakannya itu yang juga pembekal klip video lucah memecah masuk ke rumah dengan membuka selak tingkap rumah yang sebelum itu sudah dikunci kemas bapanya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata pelajar itu bertindak merenggangkan kunci tingkap rumahnya bagi membolehkan dua rakan perempuannya itu memecah masuk dan mengambil barangan berharga bagi melunaskan hutangnya.

Baca selanjutnya

# Penyakit sosial yang semakin tenat. Antara penyebab kebanjiran kelahiran anak luar nikah. Penyakit yang dicari bila syariat Islam dipinggirkan. Nak ditunding jari pada siapa? Ibu bapa,guru,sekolah,rakan rakan,masyarakat atau pemerintah? Tepuk dada tanyalah iman.

Tegak sunah Rasulullah s.a.w. sepanjang hayat


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Generasi anakku ibarat buih buih??

Dah sejam duduk depan komputer ni mencari baris baris ayat yang sesuai untuk menjadi entry terbaru. Ada idea tapi kadang terbantut separuh jalan. Sebolehnya tak mahu sekadar copy paste tanpa sebarang ulasan.

Sebetulnya umi dan anak anak baru pulang dari solat hajat di sekolah anak yang akan mengambil UPSR tahun ini. Pihak sekolah menjemput ibubapa untuk solat hajat sempena kelas malam UPSR yang akan diadakan sekaligus untuk sambutan maulidur Rasul. Oleh kerana suami umi sedang bermusafir maka umi menggantikan tempatnya ke majlis tersebut.

Majlisnya simple saja. Solat maghrib,bacaan yasin,solat isyak,solat hajat dan selawat. Tak ada ceramah atau tazkirah. kaum emak yang datangpun hanya dua orang dan dua orang guru perempuan,yang ramai kaum bapa. Turut sama pelajar pelajar tahun 6.

Apa yang umi nak ceritakan mungkin sesetengah orang merasakan ianya perkara remeh dan biasa tapi bagi umi sesuatu yang penting untuk generasi akan datang.

Ruangan yang kecil menyebabkan saff hanya memuatkan 8 orang sebaris,bermakna 4 dewasa dan 3 pelajar berada di saff hadapan.Pelajar perempuan lebih kurang dalam 20-25 orang. Suasana agak bising dan sedikit tenang bila azan berkumandang,itupun masih ada desas desus suara bercerita.

Bila solat maghrib nak dimulakan,ada suara dari belakang bertanya pada kawannya.."Ni nak sembahyang maghrib ke sembahyang jemaah?"..Ada ke sembahyang jemaah? Kemudian hanya di rakaat pertama saja semua diam tapi bermula rakaat kedua dan seterusnya suara bersembang semakin rancak. Sesudah memberi salam,umi berpaling ke belakang,alahai rupanya semua dah bersandar di tepi dinding. Terdetik di hati,mereka ni solat ke tidak. Begitulah juga selepas solat Isyak,suara imam membaca zikir dan doa dah tak kedengaran,tenggelam dek suara pelajar perempuan bercerita. Bila solat hajat bermula,rupanya hanya kami di saff hadapan yang solat. Apa nak jadi?

Rasanya usia 12 tahun sudah boleh berfikir. Tapi umi merasakan seolah olah berada di majlis bersama budak budak Tadika. Apa hal? Solat yang menjadi tiang agamapun masih tak tahu. Solat maghrib dan solat berjemaah pun boleh bertukar.

Hal ini mungkin biasa saja kalau di bandar besar seperti Kuala Lumpur tapi di sini bukan bandar. Tempat umi tinggal (walau baru 2 bulan)ada banyak surau dan masjid. Tapi kenapa berlaku keciciran dalam soal agama terlebih lagi dalam soal solat dan menghormati orang lain bersolat. Apa yang berlaku? Apakah kerana tidak dimakmurkan masjid dan surau dengan majlis ilmu? Apakah masjid dan surau yang ada hanya sekadar meninggikan syiarnya tapi bukan melaksanakan syariatnya? Besar tapi 'lompong' di dalamnya. Berjuta RM seperti masjid Hadhari (anak umi panggil masjid hotel) tapi majlis ilmu pendengarnya hanya satu dua saf.

Apakah ibu bapa mereka tahu anak anak meraka cuai dalam mengerjakan solat? Bukankah solat itu tiang agama? Bukankah tanggungjawab ibubapa untuk menyuruh anaknya solat di usia 7 tahun dan di usia 10 tahun boleh dirotan sekiranya meninggalkan solat. Nak dikatakan orang bandar yang keluar pagi balik malam,tak juga.

Mungkin umi tersilap,harapnya gitulah. Kalau tidak kasihan pada generasi puteri puteri Islam ini. Mungkin itulah antara yang cuba disampaikan oleh Rasulullah:"Umatku di akhir zaman ramai tapi mereka ibarat buih buih di pantai"

Khamis, 25 Februari 2010

Ceramah Maulidur Rasul: Non muslim turut hadir

Keterbukaan untuk mendengar adalah sesuatu yang baik apatah lagi bila berkait dengan Junjungan Besar Rasulullah SAW dan kegemilangan tamadun Islam. Sesuatu yang amat jarang berlaku bila ceramah berkisar tentang kemuliaan Rasullullah dan keagongan sejarah Islam turut dihadiri oleh orang orang bukan Islam.

"Sampaikan dariKu walau satu ayat." Seruan untuk kita menyampaikan dakwah walaupun hanya dengan satu ayat. Beriman atau tidak,itu bukan kerja kita. Itu hidayah dan petunjuk yang menjadi hak milik Allah swt. Kerja kita sebagai hambaNya,menyampaikan risalah Islam kepada semua manusia tak kira Islam ataupun tidak.

Dan sesuatu yang patut dipuji dan diteruskan bila ceramah yang disampaikan oleh Menteri Besar Rakyat Negeri Perak, YB Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin di Surau Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi, Ipoh hujung minggu lalu turut dihadiri oleh beberapa orang bukan Islam termasuk Ahli Parlimen Gopeng, YB Lee Boon Chai, ADUN Simpang Pulai, YB Chan Ming Kai dan ADUN Teja, YB Chang Lih Kang.Antara yang disampaikan Nizar apakah kewajaran serta nas dan dalil-dalil yang menegah penggunaan nama Allah oleh bukan Islam. Sikap begitu mengundang umat Islam kepada perbuatan syirik kerana beriktikad adanya tuhan selain Allah dengan mengatakan Tuhan sebahagian insan lain itu bukan Allah. Bahkan ayat AlQuran yang pertama surah Al-fatihah menyatakan Alhamdulillahi Rabbul alamin (Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam)

sumber:http://bumiperak.blogspot.com/

Kelantan: Tiada halangan wanita berjawatan tinggi


Kelantan terus mendahului dalam menjaga kebajikan kaum wanita. Tidak ada diskriminasi antara kaum wanita dan kaum lelaki. Kalau ada pihak yang beranggapan Kelantan di bawah kepimpinan Ulama' menidakkan hak kaum wanita,ternyata ianya jauh tersasar.

Ketika Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin Isnin lepas membuat kenyataan bahawa trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Menteri Besar Kelantan pula mempunyai pandangan yang berbeza.

Kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang halangan dan masalah dengan lebih ramai wanita memegang jawatan tinggi di dalam sektor awam berbanding lelaki.

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata perkara yang paling penting adalah mutu perkhidmatan dan kualiti kakitangan awam itu yang perlu diambil kira tanpa mengira kakitangan itu wanita ataupun lelaki.

“Di dalam Islam lelaki dan wanita sama sahaja. Tiada siapa yang lebih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Aziz berkata di dalam Islam, lelaki hanya mendahului wanita sebagai pemimpin dalam rumahtangga.

“Bagi saya ianya tidak menimbulkan sebarang masalah jika ramai wanita memegang jawatan tertinggi di dalam sektor awam,” katanya.

Sumber

Rabu, 24 Februari 2010

2 billion VS 20 juta


Kelantan hari ini memperbetulkan kenyataan yang dibuat kerajaan Pusat di mana tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion dan bukannya RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa pula kerajaan negeri patut menerima sebanyak RM600 juta mengikut hasil pengeluaran 2008.

“Royalti sebanyak RM20 juta hanya diperolehi dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008.

“Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta.

”Kita berharap kerajaan Malaysia dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

lagi berita..

# Rakyat Kelantan (termasuk Tok Pa) nak yang mana? RM 20 juta atau RM 2 billion (2000 juta) mana yang lebih banyak? Orang yang cerdik tentu nak yang lebih banyak apatah lagi itu memang hak dia sendiri. Atau umno Kelantan dah tak pandai mengira sejak kenal 1 Malaysia..ya lah 1 boleh dikira dengan jari...2 billion camne nak kira..

Selasa, 23 Februari 2010

Dimana Cantiknya Seorang Puteri..


Mungkin pada sepasang mata heningnya
yang menjeling selalu,
tajam atau yang kadang kala
malu malu memberikan kerlingan manja.
Boleh jadi pada bibirnya
yang tak jemu jemu menyerlahkan senyuman manis
atau kadang kala memberikan kucupan mesra
di dahi ibu juga ayah,suami dan pipi mungkil anak anak.

Atau juga pada hilai tawanya yang gemersik
dan suara manjanya yang memukau
sekaligus melembutkan perasaan.

Sejuta perkataan belum cukup
untuk menceritakan kecantikan wanita.
Malah berjuta kali ganda perkataanpun
masih belum cukup untuk mendefinasikan tentang keindahan wanita..

Andalah wanita itu..puteri puteri Islam.

Panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah
kerana menjadikan anda wanita
dan memberikan keindahan keindahan itu.

Namun betapapun dijaga dipelihara,
dibelai dan ditatap
di hadapan cermin saban waktu,
tiba masanya segalanya akan pergi jua.

Wajah akan suram,
mata akan kelam,
bibir akan gersang,
lipatan kedut di pipi semakin jelas,
rambut diwarnai keputihan uban,
gigi yang tersusun indah semakin tiada,
suara yang manja akan garau,
langkahmu semakin lemah.

Namun
satu sahaja yang tidak akan dimamah usia,
sifat kewanitaan yang dipupuk dengan
IMAN,IBADAH DAN TAQWA

Dari buku PuteriKu


Iklan isu royalti : keliru...


Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

Baca lagi..

# Penjelasan yang makin mengelirukan..kalau semua negeri tidak berhak kenapa tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah. Mungkin atas asas budi bicara persekutuan..alangkah berbudinya kerajaan 1 Malaysia...

Ahad, 21 Februari 2010

Pendidikan anak anak



Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapanya.

"tuan, bagaimana tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya?"

jawab bapa Imam Abu Hanifah: "Aku mendidik anakku 40 tahun sebelum beliau dilahirkan"


Peristiwa ini memiliki makna falsafah yang mendalam. Apa maknanya? Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat dan perilaku anak-anak yang akan lahir. Ertinya, perbuatan dan sikap orang tua sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi yang akan lahir. Di antara pendapat pakar itu dengan peristiwa diatas sebenarnya memiliki kesesuaian dan sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak ‘40 tahun sebelum kelahirannya’ adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam satu syair: “ Kaifama takun yakun abna’aka ” yang bermakna bagaimana kamu hari ini,begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan.

Rasulullah s.a.w membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat tingkatan,iaitu:

Pertama:
Umur 1-7 tahun. Pada masa ini,Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak terbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.

Kedua:
Umur 7 – 14 tahun. Pada masa ini Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan menyuruh mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah sepuluh tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat.

Berdasarkan kajian pakar-pakar jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7-14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Pada saat ini pula seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang muslim atau Yahudi, Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibulah yang akan mencorakkannya.

Ketiga:
Umur 14-21 tahun. Pada masa ini orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada yang rasional. Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar anak berasa dirinya punyai tanggungjawab mengambil berat hal-hal dalam keluarga.

Keempat:
Umur lebih 21 tahun. Pada masa ini , orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa. Dalam kehidupan kita sebagai muslim,kadang-kadang pendidikan yang diajar oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali.

Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sehingga umur 14 tahun dan baru mula mengajar dan menyuruhnya solat pada tahun 15 tahun sehingga mereka bukan sahaja enggan melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang. Apabila seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu solat, maka perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan? Padahal hakikat solat mampu mencegah seseorang untuk tidak melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Sumber ILoveIslam

#pepatah melayu mengatakan.."melentur buluh biarlah dari rebungnya.." Bila dah jadi buluh baru nak dilentur,akibatnya mungkin akan patah. Kalau dipaksa lagi mungkin akan pecah membidas diri sendiri. Pepatah Arab ada mengatakan "mengajar anak kecil ibarat menulis atas batu..mengajar orang dewasa ibarat menulis di atas air."

Sabtu, 20 Februari 2010

Royalti : Tok Pa belum yakin..

K'jaan siar fakta royalti K'tan di media esok

Feb 20, 10 5:29pm
Kerajaan pusat akan menyiarkan iklan satu muka surat penuh di semua akhbar perdana berbahasa Melayu esok mengenai isu royalti minyak di Kelantan bagi memberikan fakta sebenar kepada seluruh rakyat negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Esok seluruh rakyat Malaysia akan memahami dengan sejelas-jelasnya isu ini apabila semua akhbar akan menyiarkan iklan mengenai isu tersebut dan saya yakin fakta yang akan diberikan itu akan lebih meyakinkan semua pihak," katanya selepas Ceramah Perdana Isu Royalti Minyak di Kota Bharu malam tadi.

lagi berita...

# Rupanya masih Tok Pa belum yakin dapat memahamkan rakyat walaupun isu royalti ini hampir saban hari berlegar di media cetak dan media eletronik. Beruntungnya pemerintah kerana berpeluang menggunakan semua saluran media dan sedikit malangnya kerajaan kelantan kerana ruang untuk penjelasan sangat terhad. Gunakanlah seberapa banyak yang dikehendaki kerana sesuatu yang benar tak mungkin dapat disembunyikan.

Khamis, 18 Februari 2010

hukuman sebat....

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri..

Tiga wanita yang menjalani hukuman sebat syarie menyatakan rasa reda dan insaf mereka terhadap kesalahan yang dilakukan selepas pelaksanaan hukuman pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.

Pengakuan mereka dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berdasarkan maklum balas yang diterima.


"Mereka melahirkan rasa keinsafan sebab mereka merasakan hal ini melepaskan diri mereka daripada dosa dan rasa bersalah kepada Allah S.W.T," katanya kepada pemberita semasa Program Pemukiman agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Jamil berkata, mereka kini sedar perbezaan antara sebatan syariah dan sivil, selain terharu selepas mengetahui apa yang didengar tentang sebatan syariah sebelum ini ternyata tidak benar. "Kata mereka, 100 sebatan syariah tidak sama walaupun dengan satu sebatan sivil. Dia rasa keinsafan kesedaran sehingga dia memohon supaya rakan-rakan yang lain untuk tidak melakukan kesalahan seperti yang dilakukan mereka," katanya.


Ini pula ulasan Ketua Dewan Muslimat Pusat

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh berkata, pelaksanaan hukuman sebat belum memenuhi kehendak Islam sepenuhnya kerana dilakukan secara tertutup, buka secara terbuka seperti yang dianjurkan dalam Islam.

"Hukuman sebat mesti dilakukan secara terbuka, bukan tertutup dalam penjara. Kita kena ingat, tujuan dilakukan secara terbuka adalah untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada rakyat agar tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak berwajib agar melaksanakan hukuman sebat seperti yang dituntut dalam Islam, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

#Ana cuma merahkan sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib. Hukuman dalam Islam bukan untuk mendera tapi lebih kepada memberi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat.

Rabu, 17 Februari 2010

Bahagia begini...


Aduhaaaii...
Saya suka tengok jari awek saya...
Cantik betul... Sungguh!
Sampai takut nak pegang...
Bukan takut patah...
Tapi takut nanti jari kitorang tak boleh tolong nanti..
Di satu hari time berhadapan dgn yang Maha Esa...

Saya suka tengok rambut awek saya...
Cantik betol... Sungguh!
Sebab tu saya belikan tudung...
Bukan sebab jeles orang lain tengok jugak....
Tapi takut nanti terbakar dek api neraka
Di suatu hari time berhadapan dgn yang Maha Esa

Saya suka tengok body awek saya...
Cantik betol... Sungguh!
Sebab tu saya belikan dia abaya, telekong..
Bila berjumpa dengan Kekasih die Yang Utama
dia lagi nampak cantik dan berseri menghadap Nya.
Saya pun tumpang dapat pahala. Pheh syoknye...

Saya sedih tengok awek saya..
Tak tido, tak makan rindu kat saya...
Saya pun macam tu jugak,
Ada problem yang sama..
Die tanya apa ubatnya?
Saya pun bagi die Quran untuk penenang jiwa...
Semoga lebih cintakan Nya dari saya...

Saya sedih tengok awek saya
Selalu pesan macam-macam kat saya...
"Makan, minum, study elok-elok tau..
Nanti awak sakit saye susah ati bla bla bla bla" katenya...
Tapi bila ajak chatting sama-sama burn asar maghrib gitu
Die tak kata satu aper pun...
Berdosanye saya....

Kesimpulannya saya memang sayang dia...
Nak jumper die ..
rindu pun ader...
Di dunia dan akhirat terutamanya,
Janji nak share syurga sama-sama...
Bahagia selamanya...
Semoga kami saling mengingati,
Dosa kiter..kompem setel sendiri...
Nak tanggung dosa dia lagi pulak lepas ni...
Semoga kami menginsafi diri...
Ya Allah ampunkanlah kami....
Semoga kami dapat bersama selamanya nanti...


# Alangkah baiknya kalau remaja Islam yang bercouple mempunyai pandangan dan citarasa begini..bahagia dunia dan bahagia jua di akhirat. Cinta adalah anugerah Ilahi dan cinta yang hakiki adalah cinta kepadaNya.
Bukankah lebih baik mencintai seseorang dan bertekad untuk membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah.
Cinta adalah pemberian Ilahi maka jagainyalah dengan baik.

Ahad, 14 Februari 2010

Kerana selembar bulu mata



Diceritakan di Hari Pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Ia dituduh bersalah, mensia-siakan umurnya di dunia untuk berbuat maksiat. Tetapi ia berkeras membantah.

"Tidak. Demi langit dan bumi sungguh tidak benar. Saya tidak melakukan semua itu."

"Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa," jawab malaikat.

Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu ke segenap penjuru. Tetapi anehnya, ia tidak menjumpai seorang saksi pun yang sedang berdiri. Di situ hanya ada dia sendirian. Makanya ia pun menyanggah,

"Manakah saksi-saksi yang kau maksudkan? Disini tidak ada siapa kecuali aku dan suaramu."

"Inilah saksi-saksi itu," ujar malaikat.

Tiba-tiba mata angkat bicara, "Saya yang memandangi."

Disusuli oleh telinga, "Saya yang mendengarkan. "

Hidung pun tidak ketinggalan, "Saya yang mencium."

Bibir mengaku, "Saya yang merayu."

Lidah menambah, "Saya yang mengisap."

Tangan meneruskan, "Saya yang meraba dan meramas."

Kaki menyusul, "Saya yang dipakai lari ketika ketahuan."

"Nah kalau kubiarkan, seluruh anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu itu", ucap malaikat.

Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahannya lagi. Ia putus asa dan amat berduka, sebab sebentar lagi bakal dimasukkan ke dalam jahanam. Padahal rasa-rasanya ia telah terbebas dari tuduhan dosa itu. Tatkala ia sedang dilanda kesedihan itu, sekonyong-konyong terdengar suara yg amat lembut dari selembar bulu matanya:

"Saya pun ingin juga mengangkat sumpah sebagai saksi."

"Silakan", kata malaikat.

"Terus terang saja, menjelang ajalnya, pada suatu tengah malam yg lengang, aku pernah dibasahinya dengan air mata ketika ia sedang menangis menyesali perbuatan buruknya. Bukankah nabinya pernah berjanji, bahawa apabila ada seorang hamba kemudian bertaubat, walaupun selembar bulu matanya saja yang terbasahi air matanya, namun sudah diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka saya, selembar bulu matanya, berani tampil sebagai saksi bahawa ia telah melakukan taubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan."

Dengan kesaksian selembar bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan dihantarkan ke syurga. Sampai terdengar suara bergaung kepada para penghuni syurga:

"Lihatlah, Hamba Tuhan ini masuk syurga karena pertolongan selembar bulu mata."

# Betapa besar Rahmat dan Kasih sayang Allah terhadap hambaNya. At Tauwab..Tuhan yang sangat suka menerima taubat hambaNya. Sebanyak mana sekalipun dosa yang dilakukan oleh hambaNya,sekiranya hambaNya bertaubat necaya Dia akan menerima taubat hambaNya.

Namun janganlah dipandang mudah dan ringan hanya kerana bila melakukan dosa boleh terampun hanya dengan airmata yang membasahi bulu mata. Kerana kita tidak tahu bila masa ajal kita. Entahkan sempat bertaubat entahkan tidak..
Bertaubatlah selalu kerana kadang kita tidak berupaya membendung diri dari berbuat dosa dan sentiasalah beristigfar kerana takut kalau kalau air mata yang mengalir itu mengundang rasa riak..moga Allah sentiasa memimpin hati hati kita untuk terus berada di jalan yang diredhaiNya.

Sabtu, 13 Februari 2010

Jangan buang bayi merata-rata...



Jangan buang bayi merata-rata, pelbagai tempat untuk mereka


KUALA LUMPUR: Ibu bapa diingatkan jangan membuang bayi merata-rata jika menghadapi masalah untuk menjaganya kerana kerajaan telah mengadakan pelbagai tempat bagi mereka menempatkan bayinya dengan selamat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ibu bapa boleh menempatkan bayi mereka di semua cawangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), rumah perlindungan serta hospital.

sumber

# Tajuk dan ulasan awal akhbar ini mungkin tepat dengan 'fenomena' buang bayi yang makin kerap berlaku di negara yang tercinta. Itulah yang terjadi bila nilai kemanusiaan semakin terhakis..Sesungguhnya hanya Perundangan Islam saja yang mampu mengembalikan nilai kemanusiaan..

Adik Presiden PAS meninggal dunia

KUALA TERENGGANU, 12 Feb:

Adik Presiden PAS, Hajah Aishah Awang, 58, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, jam 7.28 malam ini.

Beliau yang mengalami penyakit buah pinggang, kencing manis dan jantung sejak beberapa tahun lalu sering berulang-alik ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan susulan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berada di sisi adindanya itu ketika menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah allahyarhamuha akan dibawa pulang ke rumah Tuan Guru Abdul Hadi malam ini juga.

Solat jenazah akan dilaksanakan di Masjid Rusila sekitar jam 9.00 pagi esok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rusila.

Semasa hayat, allahyarhamuha pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

harakahdaily

Al Fatihah...

Maafkan cikgu....

Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.

Ceritanya:

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.


Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya

"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"

" Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ……."

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;

i. Solat sunat

ii. puasa sunat

iii. berzikir

iv. bersedekah

v. mengusap rambut anak yatim

vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain

Sumber blog KITA

Selasa, 9 Februari 2010

Zamry MB Perak??? pelik ke??


Teka teki siapa MB Perak dah terjawab. Keputusan yang dah dijangka. Tak pelik dan tak ada ajaibnya. Yang ajaib kalau Nizar diumumkan menang. Hebatnya Nizar walaupun kalah tapi beliau melangkah keluar dari Istana Keadilan dengan langkah yang penuh yakin. Beliau tak senyap senyap menghilangkan diri macam halimunan.Kalah 5-0 tidak mematahkan semangat Nizar dan semangat itu patut ada pada semua penyokong dan pendokong PR.


Yang menang memanglah gembira. Tapi seronoknya takkan bertahan lama. Teka teki 9 Feb dah terjawab tapi bagaimana dengan teka teki PRU 13? Mahkamah Persekutuan buat keputusan Zamry sebagai menteri Besar Perak tapi bagaimana dengan mahkamah rakyat yang mempunyai kuasa penentu siapa MB yang mereka mahukan. Kerusi MB Perak tetap panas macam perak yang berjemur di tengah panas.




"Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan. Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."Ali 'Imran ayat 26

Entry tak bertajuk

Salam ukhuwah..

Lama tak update blog ini. Lega rasanya bila streamix dah okey. Penat pindah rumah belum reda. Tiga bulan telekom dapat bayaran free. Mana taknya..bil berjalan tapi penggunanya tak ada. Tiga bulan jugaklah kejap duduk sana..kejap sini. Baru seminggu dapat duduk rumah sendiri..bahagia tak terkira..alhamdulillah.

Mana mana entry dalam tempoh 3 bulan tu sebenarnya menumpang komputer orang lain. kadang hanya sempat masuk draf je..Biasalah adat menumpang orang punya. Harapnya lepas ini dapat kerap update blog ni. Tupun kalau telekom berbaik hati tak potong sebab bil tertunggak..maklum budget awal tahun ni sampai paras hidung..sekolah anak anak lagi..pindah rumah lagi..Barang Naik lagi..gula naik lagi..oopppss..tersilap..gula naik harga sebab nak selamatkan rakyat dari penyakit kencing manis..tu kira untuk keutamaan rakyatlah..

Baru ni sorang biras merungut..harga barang naik melambung lambung..bawang..tepung. kebetulan dia berniaga kedai makan. agaknya biras ni lupa..bawang dan tepung tu dari luar Malaysia..so kena naik kapal laut ke kapal terbang ke..Nasib baik sampai jugak bawang dan tepung ke malaysia..Kalau injin kapal tu hilang macam 2 injin jet tu lagilah teruk. Apapun Rakyat didahulukan..ketirisan sebanyak 28 billion pada 2009 pun untuk rakyat..rakyat mana yang bertuah dapat wang yang tiris dan bocor tu... wallahuaklam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails