Teman teman Blogger

Bonda uminas Hajjah Khatijah Awang telah meninggal dunia pada hari Khamis 3.25 pagi 19hb Mei 2011. Hadiahkan Al Fatihah dan doa moga arwah sentiasa dilapangkan dan ditempatkan bersama hamba hambaNya yang soleh dan solehah. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Al Fatihah.

Jumaat, 31 Julai 2009

ADUN Permatang Pasir Pulau Pinang meninggal dunia.



TERKINI : ADUN Pakatan Rakyat (PAS) bagi DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, Dato' Hj. Mohd. Hamdan Abd.Rahman telah kembali kerahmatullah di IJN KL pagi ini, demikian menurut sumber yang saya perolihi dari talifon dan sms seorang kenalan sebentar tadi.

Menurut sumber itu beliau telah mendapat pengesahan dari saudara terdekat almarhum dan Bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli. Malumat itu juga telah mengesahkan bahawa sehingga berita ini diterbitkan, jenazah masih berada di IJN Kuala Lumpur.

Semuga rohnya ditempatkan ditempat yang terpuji...Al Fatihah..

Sumber:DRS. KHALIL IDHAM LIM




Khamis, 30 Julai 2009

Makluman pergerakan Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos



KUALA LUMPUR - Bagi melancarkan Himpunan Aman Mansuhkan ISA pada 01 Ogos 2009, Sekretariat Himpunan Aman Mansuhkan ISA mengumumkan tempat berhimpun dan pergerakan himpunan seperti berikut:

1. Tempat berhimpun dan negeri-negeri berkaitan:

a. Sogo:
Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak

b. Masjid Jamek Kuala Lumpur:
Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan

c. Masjid Negara:
Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

(Peserta-peserta himpunan aman dikehendaki berkumpul mengikut negeri masing-masing)

2. Perarakan ke Istana Negara akan dimulakan tepat jam 2 petang untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat membantah ISA

3. Semua peserta dikehendaki mengikut arahan pihak keselamatan (Jabatan Amal) yang berpakaian merah

4. Peserta digalakkan masuk awal ke Bandaraya Kuala Lumpur dengan meggunakan kenderaan awam untuk mengelakkan kesesakan

Sekian,

Kamaruzaman Mohamad
Timbalan Pengarah Himpunan Mansuh ISA,
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat.

- Harakahdaily





Keluarga Hebat dan Ihsan




Ceritanya Gini...
Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Sisuami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik- adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam.


Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku' apabila imam ruku'.. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah..., adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk... ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.


Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.


Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.


Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa... ". Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.


Subhanallah..., bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya... Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu... Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki... Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman... cuba kita tanya diri kita sendiri...


Kisah ini saya jumpa dalam blog seorang rakan blogger. Tertarik dengan kisah ini kerana dalam zaman yang serba mencabar ini payah dan jarang boleh kita jumpa dengan anak anak yang berjaya ditarbiyyah sedemikian rupa. Anak anak yang mempunyai sifat Ihsan.

Ihsan yang disebut didalam hadis Rasullullah SAW: "Engkau menyembah Allah seolah olah engkau melihat akan Dia. jika engkau tidak dapat melihat Dia maka sesungguhnya Dia melihat engkau."
Ibadat yang dilaksanakan menurut hakikat Ihsan hanya ditumpukan kepada Allah,tidak kepada yang lain ATAU kerana yang lain. Itulah yang dikatakan makam musyahadah iaitu mempersaksikan Tuhan dari dekat dalam mengerjakan ibadat. Ibadat seperti ini menyebabkan seseorang lebih bertanggungjawab di atas ibadatnya hingga dilakukan dengan penuh kejujuran samada dikhalayak ramai ataupun bersendirian. Kerana dia yakin apa yang dilakukannya dilihat oleh Tuhannya.

Mungkin anak anak ini tidak fahampun tentang Ihsan. Tetapi terapan akhlak seorang mukmin yang diasuh oleh ibubapanya melahirkan anak anak yang taat pada tanggungjawab sebagai seorang muslim walaupun tanpa disuruh dan diberitahu. Inilah anak anak yang hebat.

Bukan hebat hanya jika anak mendapat keputusan yang baik dalam exam sekolah,bukan hebat hanya jika anak jaguh dalam kokurikulum sekolah. Bukan juga hebat jika anak pandai bermain piano,muzik,menyanyi,menari. Malang sungguh keluarga muslim yang lebih berbangga jika anak anak hebat dalam semua ini sedangkan membaca Al quran merangkak rangkak seperti kura kura. Berhabis untuk kelas muzik tapi untuk kelas agama dikatakan membuang masa.

Hakikatnya berapa kerat agaknya keluarga yang terasuh seperti kisah ini. Dan sebenarnya soalannya lebih kepada diri sendiri. Apakah asuhan ini telah berjaya diterapkan dalam keluarga sendiri..anak anak..Apakah sifat Ihsan itu telah tertanam di jiwa anak anak dan diri sendiri? Atau adakah ia sekejap datang dan pergi? Sekejap merasakan Allah dekat dengan kita dan sekejap pula merasakan kita jauh dari perhatian Allah?

Semoga Taufik dan Hidayah Allah akan sentiasa menyuluh di jalan kehidupan ini. Semoga Allah memberi kemudahan dan keringanan dalam melaksanakan ibadat kepadaNya.
Salam ukhuwwah.




HADIAH TERBAIK DAN TERBURUK



Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Loqman al-Hakim seraya berpesan: “Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan.” Setelah disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.

Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik daripada kambing iru.

Setelah kambing disembelih, Loqman mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu. “Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?” tanya ibu tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab: “Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya.”

Mendengar jawapan itu, mengertilah ibu itu akan maksud Loqman, kerana hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan; begitu juga sebaliknya dari hati dan lidah itu terbit segala kejahatan dan keburukan.

Hati dan anggota badan merupakan nikmat nikmat utama Allah untuk hamba hambaNya. Hatilah yang akan mengarahkan setiap gerak laku anggota yang lain. Hati adalah ketua kepada anggota yang lain.Barangsiapa yang menggunakan nya untuk ketaatan terhadap Allah Taala dan menyerikannya dengan perbuatan yang menimbulkan kasih sayang Allah bermakna dia telah mensyukuri Allah Taala. Malah dia juga telah meletakkan anggota badanya pada kedudukan dan tempat yang baik kerana itulah sebab kenapa ia diciptakan. Maka dia akan mendapat ganjaran pahala dari ALLAH.

Di mana agaknya tingkat iman kita. Muqarrabin? Soleh? Atau mungkin hanya memiliki iman ilmu sahaja iaitu baru setakat tahu tentang Allah tapi belum mencintaiNya.Kerana belum mencintaiNyalah maka kita masih menderhaka,banyak larangan Allah kita langgar. Banyak suruhan Allah kita tinggalkan. Banyak nikmat Allah kita kufuri.

Mendengar perkataan neraka, sepatutnya terbit gerun di hati kita. Terpancar kengerian dan ketakutan di wajah kita. Begitu juga bila disebut pasal syurga. Sepatutnya akan meleleh air liur kita ingin merasai nikmat Syurga. Terpancar kegembiraan, seronok, rasa tak sabar menjadi penghuni syurga. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sama saja bagi kita. Kadang kita lebih takut majikan dari neraka. Kadang lebih takut hilang kawan dari hilang syurga.

Walaupun telinga disumbat pelbagai kengerian alam neraka, pelbagai keindahan di alam syurga. mata pula melihat pelbagai bala bencana bangunan runtuh, penyakit berjangkit seperti H1N1,thunami,jerebu,kepanasan global dan penyakit penyakit sosial tapi hati tetap tidak goyah dengan amaran Allah itu.

Hati yang bersih kecintaannya Pada Allah saja yang akan gerun dengan perkataan neraka dan akan merindui kehadiran syurga. Hati yang bersih, hati yang aman tenteram kerana hati hati yang beginilah yang akan menyelamatkan tuannya di dunia, mengawal tuannya dari derhaka kepada Allah dan menyelamatkan tuannya dari terjun ke neraka.

Moga moga Allah menggolongkan kita ke dalam kumpulan orang orang yang lurus dan bersih nalurinya lahir dan batin serta nmengikuti jejak dan kepercayaan yang haq dan beramal dengannya.

Salam ukhuwwah.

Rabu, 29 Julai 2009

PERMOHONAN MAAF


Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.

Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut.

Selasa, 28 Julai 2009

Pelaris....

Sebuah riwayat Bukhari dan Muslim dari ibn Abbas yang bermaksud,"Sesungguhnya Nabi SAW orang yang paling murah tangannya, baginda paling bermurah pada bulan Ramadan, ketika Jibril datang kepada Rasulullah untuk mendengar bacaan Al-Quran Nabi, Rasulullah lebih cepat memberikan sesuatu, melebihi kecepatan angin berhembus, di bulan Ramadan baginda tidak meminta sesuatu tetapi baginda sentiasa memberikan sesuatu kepada orang lain".

Bill Gate,seorang jutawan pemilik syarikat komputer terbesar dunia "Intel" pernah menyebutkan bahawa duit mempunyai sifirnya sendiri iaitu:"Semakin banyak anda memberi semakin banyak anda akan dapat. Maknanya jika kita nak mendapatkan wang yang banyak kita mesti banyak menyumbang,samaada beliau sedar atau tidak konsep itu sebenarnya sudah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Qur'an. "Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!"(Al-Hadid:ayat 11)

Pelaris yang terbaik ialah dengan banyak bersedekah bukannya dengan tangkal azimat atau sebagainya.Satu lagi contoh jutawan yang berjaya yang banyak bersedekah ialah Tan Sri Sayid Mokhtar Al-Bukhari,beliau bermula dengan berniaga nasik lemak,kemudian semakin berkembang sehingga sekarang.Sekarang beliau mempunyai beberapa buah syarikat yang menghasilkan pulangan jutaan ringgit setahun.Walaupun begitu beliau seorang yang low profile.
Biodata Syed Mokhtar:
Umur - 53 tahun Pendidikan - SPM
Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan -RM1,425 juta
Ke 7 terkaya di Malaysia
Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

Ketika di tanya apakah rahsia beliau,Sayid Mokhtar Al-Bukhari berkata,beliau selalu membahagikan 1per 3 dari keuntungan setiap tahun untuk menderma.Ini adalah pesanan dari bonda beliau sendiri.Sekaran,Sayid Mokhtar Al-Bukhari telah menubuhkan sebuah syarikat yang memang diwakafkan untuk derma, seratus-peratus hasil dari syarikat tersebut telah di salurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Alim ulama menyatakan hukum alam yang Allah tetapkan ini tidak terkecuali ke atas orang bukan Islam.Seperti hukum alam yang lain,air apabila di letakkan atas api akan mengelegak tidak kira siapa yang meletakkanya sama ada muslim atau bukan.Begitu juga dengan hukum peredaran harta tadi.Sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dimurahkan rezeki dan di mudahkan kehidupannya.Tetapi apa yang membezakan ialah,sedekah orang muslim selain mendapat imbuhan di dunia juga mendapat ganjaran pahala di akhirat.Bagi orang bukan Islam,setiap perbuatan baik yang dia lakukan hanyalah di beri ganjaran di dunia sahaja.

Tokguru Nik Aziz pernah memperkatakan tentang perkara ini dalam kuliahnya,kadang-kadang kita lihat ada orang bukan Islam yang dimudahkan kematiannya,ini mungkin kerana ganjaran dari amalan baik yang dia lakukan selama ini,tetapi tiada ganjaran baginya di akhirat.Begitu pula sebaliknya kata Tokguru,jangan kita berprasangka buruk jika melihat ada saudara seIslam yang susah nak meninggal ,ini mungkin kerana Allah hendak membersihkannya dari dosa-dosa semasa di dunia lagi jadi dengan ini dia pulang ke hadrat Allah dalam keadan ringan dari dosa-dosanya.Ini merupakan tanda-tanda kasihsayang Allah kepadanya.

Berbalik kepada cerita menderma tadi saya ingin berkongsi pengalaman sedikit,Biasanya jika ada masaalah sama ada kecil atau besar saya akan menderma sebagai cara penyelesaian masaalah itu.Memang berkesan,Semakin besar masaalah semakin banyak kita derma.Insyaallah ,Allah akan tunjukkan jalan penyelesaian nya.Ulama sering berpesan,jika kita di timpa musibah,maka perhatikanlah dirimu,jangan salahkan orang lain kerana setiap dosa yaang kita lakukan akan mengundang masaalah samaada kita sedari atau tidak.walahuaklam..-ijoks2009-

Segala amalan baik samada bersedeqah dan sebagainya seumpama kita menabung. Kalau di dunia bila menabung wangnya boleh kita ambil bila bila masa tapi menabung amalan kebaikan ganjarannya akan kita perolehi di akhirat nanti malahan tabungannya akan bertambah berlipat kali ganda. Bak kata seorang pak ustaz,segala amalan itu akan menjadi wang ringgit di akhirat untuk membeli syurga Allah.Apapun segala amalan tersebut perlu hadir dengan niat ikhlas kerana Allah. Perasaan riya' yang wujud akan mensia siakan segala amalan kebaikan seumpama daun daun kering yang dibakar.

Salam ukhuwwah.

Isnin, 27 Julai 2009

Himpunan Khas Bekas Pelajar & Guru Institiut Berakan / Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Kuala Terengganu




Tetamu Undangan :

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Mursyid Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah, Darul Iman


Tarikh : 09 Ogos 2009 ( Ahad )
Masa : 03.00 - 06.00 petang
Tempat : Markaz Tarbiyyah PAS Pusat
Taman Melewar, Kuala Lumpur


Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi :
Pejabat MTT : 09-6669550
Ustaz Mohd Saiful Ambia' (Pengarah) : 019-922 9158
Ustaz Muzaihar Kamal : 017- 412 0225
Ustaz Awang Embong : 019-928 4609


" Semua Bekas Pelajar & Guru IB/MTT DiJemput Hadir "



Ahad, 26 Julai 2009

Surat rasmi - Cara minta kawin lagi

Suami bin Lelaki
17, Jalan Angkasa ,
24300, Kemaman
Terengganu ..

Isteri binti Perempuan
17, Jalan Angkasa ,
24300, Kemaman
Terengganu .

31 April 2006

Puan,


PERKARA : PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI

Perkara di atas adalah di rujuk.

2. Sebab utama permohonan ini di lakukan adalah kerana saya ingin melengkapkan kuota yang telah di peruntukkan bagi saya . Buat masa ini kuota yang telah di isi cuma satu , memandangkan masih ada 3 kekosongan , eloklah jika dapat dipenuhi secepat mung kin . Pihak yang akan mengisi satu kekosongan ini buat masa ini ialah Cik Hana Fazura binti Ramli yang merupakan setiausaha saya di pejabat . Memandangkan komitmen yang beliau tunjukkan di pejabat amat baik , eloklah jika kita masukkan dia bersama kita di dalam organisasi keluarga kita . Kekosongan yang selebihnya akan diisi di masa akan datang.

3. Untuk makluman pihak puan , yang sebenarnya masalah ini telah lama saya fikirkan tetapi memandangkan poket saya yang selalu nipis , terpaksalah saya tangguhkan dulu permohonan ini di samping kurangnye rasa keyakin an untuk mengemukakan permohonan ini . Kini, setelah saya dapat mengeluarkan kesemua duit pelaburan ASB saya , saya merasakan kembalinya semangat saya yang telah hilang selama ini.

4. Permohonan ini amat setimpal kerana dengan kedudukan sekarang ia menguntungkan kedua belah pihak dan juga pihak ketiga . Selama ini hidup kita bahagia sebab jika tidak , manakan mung kin puan dapat menjadi seperti sekarang . Semua yang puan miliki sudah bertambah besar. Kereta besar , rumah besar , rantai besar dan pakaian besar . Jika dulu potongan puan seperti gitar, kini sudah bertukar menjadi drum. Oleh itu, sudilah kiranya dapat kita kongsi bersama insan lain kebahagiaan kita ini.

5. Pihak puan juga dapat menikmati faedah dari kelulusan permohonan ini kerana puan akan tetap menikmati apa yang telah puan miliki sekarang dengan waktu bekerja lebih singkat dan sistem syif akan di perkenalkan iaitu 1 hari kerja dan 1 hari cuti rehat . Waktu bekerja yang selebihnya akan ditampung oleh pihak ketiga. Kebaikan yang puan akan nikmati ialah waktu rehat yang bebas kerana dalam waktu puan bercuti, saya selaku Penyelia tidak akan memantau aktiviti yang puan lakukan . Pada waktu itu saya cuma akan fokus kepada hasil kerja pihak ketiga . Menguntungkan bukan?

6. Segala kerjasama dari pihak puan saya dahulukan dengan ribuan terima kasih. Saya amat berharap pihak puan dapat meluluskan permohonan saya ini kerana adalah lebih baik jika kita dapat berkongsi kebahagiaan kita ini bersama insan lain. Saya harap permohonan saya ini di balas dengan senyuman penuh keikhlasan dari pihak puan dan tandatangan puan di atas kertas yang saya lampirkan bukannya balingan periuk nasi , pinggan-mangkuk , ketukan senduk dan perkara-perkara yang menyukarkan pihak puan untuk melakukannya.

7. Saya harap puan sudi meluluskan permohonan ini . Hadirkanlah senyumanmu sebagaimana ketika kita menyambut orang baru iaitu bayi kita kedalam keluarga kita 10 tahun lepas ..... Situasinya lebih kurang sama dengan masa kini . Kita akan menerima orang baru juga cuma bezanya ialah jika 10 tahun yang lepas kita perlu menjaga dan membelainya dengan manja bersama tetapi kali ini, setiap urusan penjagaan dan belaian manja akan di laksanakan oleh saya sepenuhnya.

8. Akhir kata , saya harap permohonan saya ini dapat dibalas secepat mungkin. Semoga kita bersama-bersama dengan pihak ketiga akan dapat melaksanakan program ini dengan jayanya.

Sekian , Terima Kasih.

"BERKORBAN DAN BERKONGSI KEBAHAGIAAN LAMBANG RUMAHTANGGA BAHAGIA"

Yang Ikhlas Memohon ,

Suami bin Lelaki


Tak tahu lah samada memang ada suami suami yang buat surat rasmi macam ni..
macammanalah agaknya surat balasan dari si isteri...
Ada yang berani?? Fikir fikirkan

Sabtu, 25 Julai 2009

Mendidik Kaum Wanita



Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dariNya. JANGAN CUBA JINAKKAN MEREKA DENGAN HARTA, NANTI MEREKA SEMAKIN LIAR. JANGAN HIBURKAN MEREKA DENGAN KECANTIKAN, NANTI MEREKA SEMAKIN MENDERITA. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, disitulah suisnya.

AKAL SETIPIS RAMBUTNYA, TEBALKAN DENGAN ILMU. HATI SEPARUH KACA, KUATKAN DENGAN IMAN. PERASAAN SELEMBUT SUTERA, HIASILAH DENGAN AKHLAK. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak menjadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau women gladiator. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan. Kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja - negarawan, karyawan, jutawan dan 'wan-wan' yang lain. Tidak akan lahir superman tanpa superwoman. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkannya. LEBIH RAMAI LELAKI YANG DIROSAKKAN OLEH PEREMPUAN DARIPADA PEREMPUAN YANG DIROSAKKAN OLEH LELAKI. SEBODOH-BODOH PEREMPUAN PUN BOLEH MENUNDUKKAN SEPANDAI-PANDAI LELAKI.

Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharapkan ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepadaNya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah kepimpinan kita.

JANGAN MENGHARAPKAN ISTERI SEPERTI SAYYIDATINA FATIMAH RA, KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYYIDINA ALI RA...


Jumaat, 24 Julai 2009

TG Nik Aziz Ulas Pasal lilin



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui perbuatan memegang lilin di majlis memperingati kematian orang bukan Islam adalah “sesuatu yang meragukan” tetapi berpendapat perbuatan itu tidak haram di sisi Islam.

Beliau mengulas tindakan Menteri Besar Rakyat Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang memegang lilin dalam majlis memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan perbuatan itu tidak bercanggah dengan agama jika umat Islam dapat membezakan antara adat resam dan budaya dengan agama sesuatu kaum.

“Tapi saya, selalu (apabila) orang (beragama) Hindu jemput saya pergi ke majlis dia, Cina jemput pergi majlis dia, saya akan tanya ini agama ke atau adat resam.

“Saya kata kalau agama saya tak boleh pergi tapi kalau adat resam saya boleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, di sini, Khamis.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar mempertahankan tindakan Mohd Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula mahukan ulama Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohd Nizar itu.

Nik Abdul Aziz berkata, lilin ini sudah menjadi budaya kepada orang Melayu di mana anak-anak turut menggunakan lilin sewaktu menyambut hari jadi dan ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat sekarang.

“Jadi lilin digunakan sebagai satu simbolik untuk masalah umur,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pandangannya mengenai tindakan seorang model yang rela dirotan selepas didapati bersalah kerana minum arak oleh Mahkamah Majistret Kuantan kelmarin, Nik Aziz berkata tindakan itu wajar kerana menunjukkan pesalah terbabit sudah insaf.

Menurutnya, jika model itu boleh menerima hukuman sebat, maknanya dia sudah terlepas hukuman di akhirat dan ini bertepatan dengan langkah Pas mahu melaksanakan hukum hudud.

Khamis, 23 Julai 2009

Tinta Pagi jumaat

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah. Masih diberi kesempatan untuk kembali menulis dalam blog kecil ini. Seminggu tidak menjenguk dan menulis dalam blog ini. Malah seminggu juga tidak dapat mengikuti sebarang perkembangan semasa melalui internet. Dah ditentukan moniter yang lama sampai ajalnya. Tiba tiba je gelap dan berbau hangit..isyarat bahawa sejumlah duit akan terbang. Nak dapatkan yang baru kena sabar . Alhamdulillah dapat juga gantinya. Kena sabar menunggu, baru berbaloi baloi...

Seminggu tak berinternet, lain macam rasanya. Banyak isu semasa yang terlepas. Terbaru misteri kematian mendiang Beng Hock. Banyak pandangan, ulasan dan cadangan. Tapi tak tahulah samada semuanya akan sampai ke tangan PDRM dan SPRM. Berita TV semalam melaporkan 10% lagi siasatan akan selesai. Kita mengharapkan satu hasil yang benar benar telus. Sekalipun mendiang berbangsa cina dan non muslim,tragedi kematian mendiang melangkaui sempadan bangsa,politik dan agama. Rakyat tertunggu tunggu untuk mengetahui hasil siasatan. Salam Takziah kepada keluarga mendiang Beng Hock.

Salam ukhuwwah.

Khamis, 16 Julai 2009

KISAH LIMA PERKARA ANEH

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Rabu, 15 Julai 2009

PRK MANIK URAI: Satu pandangan

Kemenangan tipis PAS di prk Manik Urai sedikit sebanyak agak mengejutkan. Semalam bila menerima mesej tentang majoriti yang Pas perolehi semacam tak percaya. Rasanya ramai yang termangu bila mengetahui kemenangan tipis ini. Majoriti 65 undi.

Umno menangis kerana kalah,Pas terkedu kerana majoriti yang banyak hilang. Ramai yang mula mencari sebab musababnya. Rasanya dalam seminggu ini,warung warung kopi akan ada forum forum tak rasmi yang cuba menganalisa sebabnya. Tentunya antara sebabnya adalah janji janji umno dan hujan RM yang turun sebelum pengundian.

Barangkali ramai rakyat di Manik Urai yang benar benar mahukan jambatan 7 juta terutama bila umno diberi kemenangan di peti Undi MU. Barangkali juga kerana pemberian sampul yang berisi mempengaruhi rakyat MU. Betul ke andaian ini? Bukankah selama inipun Umno suka berjanji yang mana perkataan diakhir ayatnya "..sekiranya umno dipilih dalam pilihanraya ini.." Pemberian sampul sampul berisipun bukan perkara baru. Pendek kata Kalau tak ada janji dan pemberian sampul berisi,itu bukanlah umno namanya.

Rakyat di Mu seperti bermain tarik tali. Umno tak diberi kekalahan yang teruk,Pas tidak diberi kemenangan yang besar. Kehilangan undi sebanyak 1,287 undi memberikan satu kejutan kepada PAS dan PR. PAS menang tapi bukan menang bergaya.

Apakah umno dah mula diterima semula? Rasanya itu bukan sebabnya. Terlalu banyak kejelekan umno yang menyebabkan mustahil itu faktornya. Cuma PAS dan PR kena ingat, kemenangan yang bathil bukan kerana dia adalah benar dan kuat tapi kerana pihak yang benar itu masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Prk Mu memberi isyarat awal kepada PAS dan PR.

Masanya untuk kembali bermuhasah diri. Mungkin kemenangan kemenangan sebelum ini menimbulkan rasa riak. Mungkin kemenangan juga sebelum ini menyebabkan PAS berasa cukup selesa. Mungkin kemenangan sebelum ini menyebabkan terlalai,terleka, terlena dengan keindahan kemenangan. Masa sudah sampai untuk kembali merapatkan saf yang renggang dan longgar. Kembali seperti bangunan yang tersusun kukuh.

Tahniah dan takziah kepada abang Uji. Tahniah kerana berjaya menewaskan umno,Takziah kerana amanah kemenangan sangatlah besar. Biarpun hanya dengan majoriti 65 undi teruskan berbakti untuk rakyat MU. Buktikan peraih ikan juga mampu menunaikan tanggungjawab dan amanah. Tahniah juga untuk semua petugas PR.




Selasa, 14 Julai 2009

PRK Manik Urai

Hari ini pengundi di Manik Urai seramai 2,293 pengundi akan membuat keputusan besar untuk memilih siapakah calon yang akan mewakili mereka. Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dan Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah.

Siapa agaknya yang menjadi calon pilihan rakyat? Hanya pengundi di Manik Urai saja yang boleh menjawabnya. Apakah janji TPM untuk membina jambatan 2 lorong yang kosnya dijangka berharga RM 7 juta yang akan dibina dengan segera sekiranya BN menang akan menambat hati pengundi di MU? Janji TPM juga bahawa MU akan dijadikan anak emas,MU sebagai kawasan pembangunan baru di kelantan dan MU akan dijadikan kota agropolitan akan diterima bulat bulat oleh Pengundi MU? Jawapannya akan diketahui malam nanti.

TPM juga dengan bangganya telah menyatakan sebanyak 564 masjid telah dibina di zaman UBN. Banyaknya.. Rasanya jumlah itu termasuklah masjid yang dibina di Pulau Wan Man, Terengganu. Rasanya TPM agak terkhilaf, yang mana syiar dan yang mana syariatnya. Siapalah agaknya yang boleh jelaskan pada TPM beza antara syiar dan syariat.

Selamat Mengundi buat Rakyat di Manik Urai. Pilihan anda menentukan masa depan generasi anda.

Isnin, 13 Julai 2009

Ilmu Dan Harta


Rasulullah telah bersabda: 'Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya'
Diriwayatkan sekumpulan orang telah pergi menemui Ali r.a bagi tujuan untuk menguji kehebatan ilmunya. Mereka berkata:"kita uji Ali dengan satu soalan,jika Ali memberi jawapan yang sama maka Ali tidak seorang yang hebat ilmunya. Kalau Ali memberikan jawapan yang berlainan maka sahlah Ali itu seorang yang alim seperti yang dikatakan Rasulllah saw."

Maka mereka berpakat pergi menemui Ali seorang demi seorang dengan bertanya :"Wahai Ali,manakah yang lebih baik diantara Ilmu dan harta?"

Ali r.a berkata:" Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta."
Orang yang pertama berkata:"Atas dalil apakah kamu berkata begitu wahai Ali?"
Kata Ali r.a:" Wahai saudaraku,ilmu itu warisan para nabi dan harta itu pula warisan Qarun,Firaun,Syaddad dan lain lain."

Kemudian datang pula orang yang kedua dan berkata:'Wahai Ali,manakah yang lebih baik antara ilmu dan harta?"
Jawab Ali r.a:" Tentu ilmu itu lebih baik dari harta."
Berkata orang yang kedua:"Atas dalil apakah kamu berkata demikian?"
Ali r.a berkata:" Wahai saudara,ilmu itu sebenarnya menjaga kamu sedang harta itu pula kamu yang menjaganya"

Datang pula yang ketiga:'Wahai Ali diantara ilmu dan harta manakah lebih baik?"
Jawab Ali:"Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta."
Maka berkata yang ketiga:" Wahai Ali katakan padaku atas dalil manakah kamu berkata demikian?"
Jawab Ali r.a:"Sebenarnya orang yang memiliki harta mempunyai banyak musuh,sedang orang yang memiliki ilmu akan mempunyai banyak teman."

Datang pula yang keempat bertanyakan soalan yang sama.
Maka jawab Ali r.a:"Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta>"
Maka bertanya juga yang keempat apakah dalil Ali berkata demikian.
Jawab Ali r.a:"Wahai saudaraku harta itu bila dibelanjakan ianya akan berkurangan sedang ilmu pula kalau kamu amalkan ianya akan bertambah."

Datang pula yang kelima bertanyakan soalan yang sama.
Maka jawab Ali r.a:"Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta>"
Maka bertanya juga yang kelima apakah dalil Ali berkata demikian.
Jawab Ali r.a:"Wahai saudaraku,pemilik harta biasa dikenali dengan sikedekut dan hina Tetapi pemilik ilmu akan dihormati dan disegani."

Datang pula yang keenam bertanyakan soalan yang sama.
Maka jawab Ali r.a:"Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta>"
Maka bertanya juga yang keenam apakah dalil Ali berkata demikian.
Jawab Ali r.a:"Wahau saudaraku,pemilik harta tetap akan dihisab pada hari kiamat sedangkan orang yang memiliki ilmu akan memberi syafaat pada hari kiamat."

Datang pula yang ketujuh bertanyakan soalan yang sama.
Maka jawab Ali r.a:"Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta."
Maka bertanya juga yang ketujuh apakah dalil Ali berkata demikian.
Jawab Ali r.a:"Wahai saudaraku, harta itu semakin lama dibiarkan maka ia akan semakin usang,ilmu itu pula sama sekali tidak akan lapuk dan usang."

Datang pula yang kelapan bertanyakan soalan yang sama.
Maka jawab Ali r.a:"Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta."
Maka bertanya juga yang kelapan apakah dalil Ali berkata demikian.
Jawab Ali r.a:" Wahai saudaraku,harta itu boleh menjadikan hati seseorang itu keras,sedang ilmu pula dapat menerangi hati seseorang."

Datang pula yang kesembilan bertanyakan soalan yang sama.
Maka jawab Ali r.a:"Sudah tentu ilmu itu lebih baik dari harta."
Maka bertanya juga yang kesembilan apakah dalil Ali berkata demikian.
Jawab Ali r.a:"Wahai saudaraku,pemilik harta dikatakan pemilik disebabkan harta sedang orang yang berilmu mengaku dia adalah hamba Allah>"

Sabtu, 11 Julai 2009

Ahli, penyokong PAS diminta puasa sunat, solat hajat, 12 Julai

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli, penyokong parti serta mereka yang bersimpati dengan perjuangan Islam agar melakukan puasa sunat pada hari Ahad, 19 Rejab bersamaan 12 Julai nanti.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, dalam satu kenyataannya kepada Harakah, berkata puasa sunat bersempena pilihan raya kecil Manek Urai yang bakal berlangsung pada 14 Julai ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, pada sebelah malamnya diminta semua ahli PAS solat hajat dan bermunajat untuk memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan yang cemerlang kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Semua ahli PAS diminta melaksana arahan daripada Mursyidul Am dan Presiden itu.

"Kerjasama dan komitmen semua pihak bagi memastikan kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil itu didahului dengan ucapan Jazakallahu Khairan Khathira," ujarnya. _

Jumaat, 10 Julai 2009

Maria Hertogh (Natrah) meninggal dunia di Belanda

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika dahulu, dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu baru-baru ini.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, demikian menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama Khamis.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British / Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandung di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr Fauziah berkata Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya, ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

"Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah melalui emelnya kepada Bernama.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan. _

Sumber-harakahdaily



Tinta Pagi jumaat:Kamar Kamar D Syurga

Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahwa di dalam syurga itu terbahagi dalam kamar-kamar. Dindingnya tembus pandang dengan hiasan di dalamnya yang sangat menyenangkan. Di dalamnya pula terdapat pemandangan yang tidak pernah dilihat di dunia dan terdapat satu hiburan yang tidak pernah dirasakan manusia di dunia.

“Untuk siapa kamar-kamar itu wahai Rasulullah S.A.W?” tanya para sahabat.

“Untuk orang yang mengucapkan dan menyemarakkan salam, untuk mereka yang memberikan makan kepada yang memerlukan, dan untuk mereka yang membiasakan puasa serta solat di waktu malam saat manusia lelap dalam mimpinya.”

“Siapa yang bertemu temannya lalu memberi salam, dengan begitu ia bererti telah menyemarakkan salam. Mereka yang memberi makan kepada ahli dan keluarganya sampai berkecukupan, dengan begitu bererti termasuk orang-orang yang membiasakan selalu berpuasa. Mereka yang solat Isya’ dan Subuh secara berjemaah, dengan begitu bererti termasuk orang yang solat malam di saat orang-orang sedang tidur lelap.” Begitu Nabi menjelaskan sabdanya kepada sahabatnya.
Salam Ukhuwwah

Implan gigi:RM40-50 Ribu?

Isu rumah agam Dr. Khir jadi perbahasan hangat
09/07/2009 5:10pm

SHAH ALAM 9 Julai — Sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini hangat dengan isu rumah agam bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang dikatakan bernilai RM24 juta.

Isu itu mula dibangkitkan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mempersoalkan kemampuan Dr. Mohamad Khir untuk memiliki dua lot tanah dan rumah agam itu.

Beliau secara sinis berkata, mungkin Dr. Mohamad Khir mempunyai begitu ramai pelanggan di klinik giginya di Kajang yang menjadi sumber pendapatan beliau semasa sebelum menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dr. Mohamad Khir menjawab, pendapatan daripada klinik giginya adalah tinggi kerana ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan mencabut gigi tetapi juga perkhidmatan kosmetik pergigian.

“Harga kos implan gigi adalah tinggi iaitu RM40,000 ke RM50,000 bagi satu implan gigi,” katanya memberikan contoh.

***
Tinggi rupanya kos untuk implan gigi dari RM40.000 - RM 50.000 untuk satu implan gigi. Boleh beli sebuah rumah kos rendah untuk satu keluarga miskin atau beli sebuah kereta MYVI. Agaknyanya golongan VVIP mana yang menjadi pelanggan Klinik Dr Mohammad Khir Toyo.
Besarnya perbezaan darjat manusia. RM 50.000 untuk golongan kaya hanya untuk kosmestik gigi tapi untuk rakyat yang miskin Rm 50.000 adalah untuk rumah kediaman sebagai tempat perlindungan mereka.
Salam ukhwwah.

Khamis, 9 Julai 2009

Ujian Dalam Perjuangan

Assalamualaikum warahmatulah.
Beberapa hari ini idea untuk menulis bagaikan dilanda kemarau. Sering terputus putus dan akhirnya ditinggalkan begitu saja. Ujian bagi saya yang hanya insan kerdil yang tidaklah sarat dengan ilmu di dada. Dapat menghasilkan satu penulisan adalah sesuatu yang berharga dan satu kejayaan bagi saya walau mungkin pada orang lain,ia tak ada nilainya.

Ujian ini jauh lebih kecil dari ujian yang terpaksa dihadapi oleh sahabat sahabat yang berada dalam landasan perjuangan Islam. Mereka berdepan dengan ujian dan tribulasi perjuangan yang berliku yang menguji tahap kekuatan iman. Samada sedar atau tidak,mahu atau tak mahu ujian ini mesti mereka lalui.

Sama juga dengan seorang pelajar,nak tak nak seorang yang bernama pelajar wajib berdepan dengan peperiksaan untuk menguji sebanyak mana ilmu yang dah dikutip sepanjang tempuh belajar. Setiap orang akan berdepan dengan ujian masing masing berpandukan lapangan apa yang dia ceburi.Pelajar,peniaga,guru atau siapapun dia ujian pasti akan datang. Samada ujiannya besar atau kecil,hanya diri dia sendiri yang menentukan keberhasilan mengharunginya.

Begitulah juga dengan orang orang yang berada dalam landasan perjuangan Islam. Ujian yang dihadapi tentunya lebih besar bersesuaian dengan amanah yang dipikul. Ujian datang dalam pelbagai bentuk. Dari segenap sudut. Samada dari luar atau dari dalam. Samada pada jasadnya atau pada rohani,mental atau perasaannya. Samada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan. "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan 'kami telah beriman',sedang mereka belum lagi diuji" Al Ankabut:2
Mus'ab bin 'Umair diuji dengan tekanan dari ibunya sendiri. Mus'ab terkenal sebgai anak yang sangat taat kepada ibunya. Apa jawapan Mus'ab pada tekanan yang dilakukan oleh ibu kesayangannya "Demi Allah wahai ibuku,kalaulah engkau mempunyai seratus nyawa kemudian nyawa itu keluar satu persatu,aku tetap tidak meninggalkan agama Muhammad SAW". Mus'ab berjaya menempuhi ujian dari tekanan keluarganya.

Ujian adalah untuk menapis siapakah yang benar benar ikhlas dalam perjuangan. Yang tercicir,yang gugur di pertengahan jalan dakwah adalah benih benih yang tidak elok yang boleh merosakkan perjuangan itu sendiri. Ujian juga untuk mematangkan,menambah nilai yang memberikan harga yang mahal bukan dengan wang ringgit tapi denga janji Allah SWT. "Hai orang orang yang beriman,sukakah kamu Aku tunjukkan satu pernigaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman dengan Allah dan RasulNYa dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah lebih baik bagimu apabila kamu mengetahui" As Saff:10-11
Berjaya atau gagal menghadapinya,berlaku keciciran atau tidak dalam perjalanan perjuangan hanya kekuatan iman yang menentukannya. Hanya kekuatan setakat mana keyakinan kita terhadap janji janji Allah yang mampu menangkisnya. Setiap keciciran yang berlaku,sedikit atau banyak tetap akan memberi impak kepada perjuangan itu sendiri kerana ia akan membuka pintu pintu fitnah.

Ujian adalah rempah ratus kehidupan yang menambahkan kemanisan dalam perjuangan. Tidak ada perjuangan tanpa ada ujian yang mesti dilalui. Itulah warisan perjuangan yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw yang dititipkan dan diwariskan kepada pejuang pejuang hari ini.
Salam Ukhuwwah.

Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012. Malaysiakini.

Ahad, 5 Julai 2009

Kelebihan Usrah

Assalamualaikum warahmatullah.
Pagi tadi saya menghadiri usrah yang dah lama 'terberhenti' atas sebab yang tak dapat dikenalpasti. Inilah first time saya menghadiri usrah sejak berpindah ke sini. Kalau kuliah tu biasalah tapi usrah tak sama dengan kuliah.

Usrah adalah keluarga. Bermakna takde usrah tak adalah keluarga. Usrah adalah satu proses untuk mengikat hubungan di kalangan ahlinya untuk melakukan kerja kerja Islam dengan lebih mantap. Tegur menegur dan nasihat menasihati adalah asas kepada kekuatan jamaah. Seperti yang disarankan dalam surah Al Asr "Hendaklah kamu nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran..."

Bukan mudah untuk menegur dalam perkara kebenaran dan bukan mudah juga untuk menegur tanpa menyinggung perasaan seseorang. Bukan mudah juga untuk sabar dalam menegur dan mengajak orang lain bersabar. Apatah lagi bila yang ditegur itu lebih dari kita samada dalam ilmunya,statusnya atau 'anginnya'. Tapi itulah yang diajar dalam Islam. Itulah yang diajar dalam Surah Al Asr "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang orang yang beriman dan beramal soleh,nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.

Semua ini boleh dipraktikkan dalam usrah kerana ahli usrah adalah ahli keluarga. Dalam usrah juga dapat diperkukuhkan ikatan ukhwwah malah dapat dipertingkatkan lagi mutu ukhwwah atau persaudaraan di antara ahli usrah. Itu adalah kelebihan usrah. Kemanisannya hanya dapat dirasai bila pelaksanaannya menepati kehendak usrah .

Inilah kerugian besar yang didapati bila tidak berada dalam program usrah. Lama tak berusrah menyebabkan kotak pemikiran pun sedikit jumud kerana lama tidak diasah dan digasak dengan perbincangan dengan ahli usrah. Perbincangan yang terbimbing. Perbincangan yang menjadikan sirah perjuangan nabi nabi dan para sahabat sebagai garis panduan dan idola. Perbincangan yang peringkat awalnya adalah perbualan dan pandangan teori kepada peringkat amalan dan perbuatan. Semuanya tidak mampu secara sendirian. Nabi SAW berpesan " Orang mukmin bagi seorang mukmin yang lain ibarat bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain"

Dalam Usrah ada rukunnya;
1. Taaruf atau berkenalan-'Tak kenal maka tak cinta'.
Asas kepada gerakan dakwah ialah kasih sayang dan ia bermula dari pengenalan mendalam antara dua sahabat. Berkenalan bukan hanya kenal nama dan hobinya tapi juga keluarganya malah 'peel' perangainya. Yang lebih utama kenal dan berkasih sayang atas semangat cinta kepada agama Allah. Tautan ukhwah yang kukuh akan membuahkan hasil yang baik dalam pergaulan dan seterusnya kerja kerja dakwah.
2.
Tafahum iaitu bersefahaman
-Tidak akan ada ikatan ukhwah tanpa adanya persefahaman. Persefahaman yang kuat akan dapat menggelakkan sebarang perasaan syak wasangka,hasad dengki,jauh hati yang banyak memberi kepincangan dalam tautan ukhwah. Persefahaman menjadikan amalan memberi dan menerima nasihat berlangsung dengan baik.
3.
Takaful iaitu berseimbangan
-Membantu dan membela nasib saudaranya,jangan sampai ada yang terbiar atau terlantar. Takaful ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhwwah. Ianya dilaksanakan bermula dengan bertanya khabar,menziarahi dan tolong menolong. Sabda Nabi SAW,"Keluar seorang dari kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf selama sebulan di masjidku ini"

Inilah 3 rukun usrah yang perlu diamalkan dan dipelihara agar matlamat usrah tercapai dan supaya usrah itu tidaklah semata mata menjadi satu beban yang tidak mempunyai sebarang erti.
Salam Ukhwwah.

Sabtu, 4 Julai 2009

Nak Tahu?

Ketika menjelajah dari satu blog ke blog,terjumpa sesuatu yang agak menarik di blog Cg Mohamad Fauzi. Saya copy paste kan di sini. Tak mintak izin pun sebab bahagian comment cikgu Fauzi payah nak ditembusi.
Renung renungkan. Salam Ukhuwwah.





Cantiknya Seorang Muslimah



Anda ingin lebih Cantik Dan Menarik?


Jadikanlah Ghandhdul Bashar (menundukkan pandangan)
sebagai "hiasan mata" anda..
nescaya akan semakin bening dan jernih
Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda,
nescaya akan semakin manis

Gunakanlah "pemerah pipi" anda
dengan kosmetik yang diperbuat dari rasa malu
yang diperbuat di salon iman

Pakailah "sabun istighfar"yang menghilangkan
semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan

Rawatlah rambut anda dengan "selendang islami"
yang akan menghilangkan "kelemumur "
pandangan lelaki yang membahayakan

Hiasilah kedua tangan anda dengan "gelang tawadhu'"
dan jari jari anda dengan "cincin ukhuwwah"

Sebaik baiknya kalong anda adalah "kalong kesucian"
"Bedakilah" wajah anda dengan air wudhu
nescaya akan bercahaya di akhirat

"Sesungguhnya Malu itu Separuh dari Iman"
*Malu itu sebahagian dari iman. Malu melakukan maksiat adalah terpuji.
*Perempuan malu pada lelaki tanda bermaruah diri.
*Malu berbuat kebaikan adalah dikeji.
*Malu dikala ramai tetapi "ligat" bila bersendirian
menunjukkan lemahnya iman.
*Malu itu Sunnah Anbiya'

Dipetik dari buku PUTERIKU







Pesanan Ibrahim Adham

Dalam sebuah kisah, Ibrahim b. Adham sedang berjalan-jalan di negeri Bashrah. Penduduk Bashrah melihatnya segera datang, dan bertanya, "Ya Ibrahim, mengapa doa kami tidak dimakbulkan, padahal Allah telah berfirman, 'Apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakan bahawa aku dekat. Aku memakbulkan doa orang yang berdoa, apabila ia berdoa kepadaKu...'2:186."

Lantas Ibrahim menjawab, "Wahai penduduk Bashrah, hal itu adalah kerana HATI kalian TELAH MATI dengan 10 perkara. Jika begitu, bagaimana ALLAH akan memakbulkan doa kalian?" "Ya Ibrahim, apakah 10 perkara itu?" Tanya penduduk Bashrah....

1) Kalian kenal ALLAH tetapi tidak menunaikan hak-hakNYA.
2) Kalian membaca ALQURAN tetapi tidak mengamalkan isi-isinya.
3) Kalian mengakui cintai RASULULLAH tetapi tidak amalkan sunnahnya.
4) Kalian mengakui membenci SYAITAN tetapi menuruti ajakannya.
5) Kalian mengakui ingin masuk SYURGA tetapi tidak memenuhi syarat-syaratnya.
6) Kalian mengakui ingin selamat dari api NERAKA tetapi kalian menjerumuskan diri ke dalamnya.
7) Kalian meyakini kepastian KEMATIAN tetapi kalian tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
8) Kalian sibuk membicarakan KEBURUKAN ORANG tetapi kalian mengabaikan keburukan sendiri.
9) Kalian MENGUBURKAN orang mati tetapi kalian tidak mengambil pengajaran daripadanya.
10) Kalian mendapat NIKMAT ALLAH tetapi tidak pernah mensyukurinya.

**Doa adalah senjata orang mukmin. Allah akan mengabulkan doa orang mukmin samada cepat atau lambat. Tapi untuk Allah menepati janjiNya untuk mengabulkan doa hambaNya,apakah hamba hambaNya benar benar menepati janjinya sendiri dengan Allah swt.

Apakah kita sudah menunaikan hak hak Allah? Apakah kita menjadikan Al Quran sebagai panduan kehidupan atau sekadar hiasan dinding?Apakah kita telah melaksanakan suruhan dan sunnah Nabi SAW sebagai tanda kecintaan padanya atau sekadar berarak di hari kelahirannya berkilometer jauh sedang akhlak dan sirah kehidupannya tidak dijadikan sandaran kita.

Apakah kita merasakan kita akan memasuki syurga Allah hanya dengan solat,puasa dan zakat sedangkan kita saban hari mengambil haq orang lain. Kita bermewah tapi mengabaikan anak anak yatim. Rumah kita besar tapi menidakkan hak orang orang miskin.Menjadi pemimpin orang Islam tapi kepimpinan kita tidak mengikut acuan Rasulullah.Membanyakkan syiar Islam tapi meninggalkan syariah yang diwasiatkan.

Apakah kita benar yakin dengan syurga dan neraka,sedang kita tidak mendidik isteri dan anak anak agar benar benar mentaati perintah Allah. Tidak berani menegur atau bertindak bila isteri dan anak anak melanggar perntah Allah samada dalam menutup aurat atau akhlaknya. Sedangkan doa anak yang soleh itu adalah bekalan kita di akhirat.

Semoga pesanan Ibrahim Adham akan benar benar menjadi obor penyuluh untuk meneliti kembali kesilapan dan keterlanjuran kita dan kembali bermuhasabah untuk meletakkan diri kita sebagai hambaNya yang beramal soleh.
Salam Ukhuwwah.

Khamis, 2 Julai 2009

Tinta Malam Jumaat

Assalamualaikum warahmatulllah.
Alhamdulillah. Hari ini dah 8 Rejab. Tahniah pada sesiapa yang berpuasa pada hari ini. Sebenarnya dah beberapa kali saya cuba menulis di blog ini tapi akhirnya separuh jalan dan masuk dalam ruangan draf. Ilham yang tiba tiba datang dan tiba tiba hilang menyebabkan baris baris ayat hanya separuh jalan. Rupanya susah juga nak menulis satu artikel di blog cebisan ini.

Saya ditanya apa hala tuju blog saya ini,susah juga nak menjawab sebab saya sendiri tak pasti atau sebenarnya belum yakin. Mungkin lebih kepada kekeluargaan atau motivasi atau keagamaan atau politik? Mungkin lebih sesuai sebagai blog rojak atau apa apa aje.

Saya akan menulis selagi tulisan itu tidak melanggar batas batas syariat. Apakah tulisan juga boleh melanggar batas batas syariat? Memang ya! Berapa banyak hasil tulisan yang mampu melalaikan dan mempengaruhi terutama remaja dan anak anak muda ke arah yang tidak bermoral. Cubalah check di toko toko buka atau di gerai di tepi jalan,banyaknya majalah majalah dan apa saja bahan bacaan yang boleh merosakkan minda dan pemikiran anak remaja. Bahan bahan inilah yang menjadi kegilaan pada remaja.

Jangan menuding jari hanya pada anak anak yang ibubapanya "tak tahu apa apa",kerana mereka mungkin tidak ada role model yang terbaik untuk diikuti. Justru itu mereka jadikan artis artis sebagai idola mereka,majalah majalah hiburan sebagai rujukan kehidupan mereka. Merekalah yang selalu ditemui di shopping kompleks atau di mana mana saja. Mereka juga yang berebut rebut untuk pergi ke sessi uji bakat samada nyanyian,tarian atau lakonan. Apatah lagi sekarang rancangan realiti tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Ganjaran yang menangpun bukan sedikit. Kalau nak dibandingkan ganjaran menang rancangan hiburan dengan akademik Al Quran,jauh panggang dari api,macam langit dengan bumi. Apalah sangat akademik al Quran..tidak menarik..tidak mengujakan..alahai..

Macam mana pula remaja yang ibubapanya "tahu apa apa"..atau lebih tepat golongan agama..tak kira ustaz ustazah,imam ke,orang biasa ke..asal condong pada agama. Kalau hanya ibubapa yang "condong" pada agama tanpa membawa anak anak bersama,masalah yang sama seperti di atas akan menimpa anak remaja tersebut. mungkin tidaklah sampai berebut rebut ke uji bakat tapi memberi sumbangan dalam bentuk undian misalnya. Menjadi peminat setia yang membantu menaikkan ranking rancangan tersebut. Justru itu,ibubapa yang "tahu apa apa" ini mesti cakna apa yang anak "lihat",apa bahan bacaan yang anak baca.Memang kita tak boleh mengawal ketat pergerakan anak anak tapi bila ibubapa cakna dan prihatin terhadap aktiviti mereka,ianya akan memberi signal pada anak anak bahawa kita mengambil berat untuk kebaikan mereka.

Anak anak adalah amanah yang perlu dilaksanakan sebaiknya. Samada dia golongan yang "tahu" atau "tidak tahu",amanah itu telah termaktub bermula anak dilahirkan. Nabi SAW pun berpesan..anak itu ibarat kain putih,ibubapalah yang akan mencorakkannya. apa corak sekalipun hijau,kuning,hitam,putih..semuanya akan dipersoalkan di hadapan Rabbul Jalil. .
Tinta ini berhenti di sini. Masih ada sambungannya cuma biasanya orang malas membaca coretan yang panjang,jadi sambungannya akan menyusul. Sudi sudikan untuk terus membacanya.
salam Ukhwah.

Rabu, 1 Julai 2009

H1N1:Malaysia Rekod 20 Lagi Kes Baru

PUTRAJAYA: Dua puluh lagi kes influenza A(H1N1) dilaporkan di Malaysia iaitu 16 adalah kes import dan empat lagi ialah kes jangkitan tempatan menjadikan jumlah kes yang melibatkan penyakit itu kini mencecah 144, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

Katanya 20 kes baru berkenaan melibatkan 13 rakyat Malaysia dan tujuh rakyat asing - Vietnam (1), Jerman (1), Australia (1), Jepun (1), Amerika (1) dan dua lagi ialah rakyat Indonesia.

"Daripada 16 kes import itu, mereka mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan wabak influenza A (H1N1) iaitu Australia (6), Indonesia (5), United Kingdom (2), Jepun (1), Singapura (1) dan Thailand (1).

"Empat kes jangkitan tempatan melibatkan rakyat tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan peningkatan kes import dari Indonesia dan Thailand, Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan menetapkan mulai sekarang, semua pelawat yang datang dari kedua-dua negara itu akan diperiksa sebaik tiba di Malaysia seperti yang dilaksanakan terhadap pelawat dari Filipina, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Kes tempatan terbaru iaitu yang ke-19, melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun dan kontak kepada tiga kes wabak itu (isteri dan dua anaknya).

Beliau mula menunjukkan gejala sakit tekak pada 25 Jun semasa menjalani kuarantin rumah sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Pulau Pinang dua hari lepas dan disahkan positif pada hari yang sama serta berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan antiviral.

Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban menjadi kes tempatan ke20 dan beliau merupakan adik pelajar Malaysia yang baru pulang dari Melbourne, yang juga telah dijangkiti wabak influenza A (H1N1).

Beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban Sabtu lepas sementara 46 rakan sekelas serta 12 guru dari sekolahnya dikenakan kuarantin di rumah sehingga 3 Julai.

Kes tempatan ke-21 membabitkan seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu Jumaat lepas dan disahkan positif semalam.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Tsun Jin Height, Jalan Loke Yew, Cheras di sini menjadi mangsa tempatan ke-22 dijangkiti wabak itu selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh Sabtu lepas dan disahkan positif semalam.

Menurut kenyataan itu, pengesanan kontak sedang dijalankan dan rakan sekelas pelajar terbabit diminta supaya menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Mohd Ismail berkata jumlah pesakit A (H1N1) yang masih dirawat di hospital berjumlah 42 orang dan kesemuanya telah menunjukkan respons yang baik kepada rawatan tanpa komplikasi manakala jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya serta dibenar keluar dari hospital setakat ini adalah 102 orang.

Jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah berjumlah 618 orang, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki dijangkiti A (H1N1) setakat ini ialah sebanyak 2,343 kes iaitu 144 kes disahkan positif manakala 28 kes masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memaklumkan bahawa sehingga pukul 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) adalah 61,688 kes dengan 265 kematian daripada 112 negara, iaitu menyaksikan peningkatan sebanyak 497 kes.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, tiada pertambahan jumlah kematian dan negara baru.Australia muncul sebagai negara yang melaporkan pertambahan kes paling tinggi dengan 180 kes, Singapura (145), China (51), Hong Kong (66), Korea (21), New Zealand (16), Malaysia (12) dan Brunei (4).mstar.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails